Pada 12hb Ogos, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) telah melancarkan laman sesawang Higher Education Complaint and Advisory Portal (HEAP) versi 2015 supaya pelajar lepasan STPM, Matrikulasi dan setaraf yang gagal mendapat tawaran ke IPTA atau mendapat tawaran di luar pilihan boleh mengetengahkan aduan mereka.

Pelajar yang layak tidak harus dinafikan kemasukan ke IPTA

Sejumlah 290 pelajar telah membuat aduan kepada HEAP bahawa mereka tidak mendapat sebarang tawaran ke IPTA atau ditawarkan kursus di luar pilihan mereka. Tahun lepas 2014, seramai 254 pelajar membuat aduan kepada kami. Peningkatan 15% aduan menunjukkan masalah yang berulang saban tahun masih tidak diselesaikan oleh kementerian pendidikan tinggi. 290 pelajar adalah merupakan sebahagian yang kecil sahaja (tip of the iceberg).

Kes-kes yang dikesan oleh HEAP boleh dikategorikan kepada 2 jenis utama:

  1. Pelajar Cemerlang 3.0 ke atas dapat kursus luar pilihan (29 kes)

Contoh:    Saudari Nur Suhaili Mohamad Sirat dari Kedah yang memperoleh PNGK 3.89 dalam Matrikulasi Sains Hayat di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya tidak ditawarkan kursus Perubatan di keempat-empat universiti (USM, UiTM, UNIZA, UMS) yang dipilih oleh beliau. Beliau mendapat sains Bio-medik di USM, ini kursus di luar pilihan beliau.

 

  1. Pelajar Cemerlang 3.0 ke atas gagal dapat sebarang tawaran (95 kes)

Contoh:     Saudari Chiow Yi Han dari Pulau Pinang yang merupakan lepasan Politeknik Seberang Perai tidak diberikan sebarang tawaran ke IPTA walaupun mencapai PNGK 3.95 dalam Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan. Antara kursus ke IPTA yang dipohon oleh beliau termasuk Pengurusan Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), Pengurusan Operasi, Ekonomi, Sains Ekonomi, Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, di mana semuanya berkait dengan pembelajarannya di politeknik, tetapi tiada satu pun ditawarkan kepada beliau.

Big Data daripada HEAP mengesan isu kelayakan dan pemilihan yang songsang

Berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh para pelajar, kami mendapati bahawa terdapat ramai pelajar cemerlang yang tidak diberikan tawaran ke IPTA. Contohnya, pelajar yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 1.92 (paling rendah dalam rekod kami) mendapat tawaran ke IPTA. Kalau kita ambil 1.92 sebagai baseline, ada 234 orang pelajar tidak mendapat sebarang tawaran. Ada pula 43 orang diberi tawaran di luar pilihan.

Kalau kita anggap 3.0 ke atas adalah pelajar cemerlang, maka 95 orang pelajar lepasan STPM dan Matrikulasi yang memperoleh PNGK 3.0 dan ke atas tidak diberikan sebarang tawaran. Ini amat mengejutkan kami. Pelajar 1.92 dapat tawaran, kenapa 95 pelajar cemerlang gagal dapat tawaran?

KEADILAN mendesak Kementerian Pendidikan harus menjawab masalah tawaran yang songsang sedemikian. Selama ini, pihak kementerian dan UPU tidak pernah menjawab kenapa keadaan ini berlaku. Pelajar-pelajar yang ditolak tawaran terpaksa menerima nasib mereka dan akibatnya masa depan mereka terjejas. Dengan adanya HEAP dan big data yang kami perolehi, kami dapat mengesan pelajar yang paling rendah mendapat tawaran, kita amat terkejut apabila dapati ada ramai pelajar yang lebih cemerlang gagal mendapat tawaran.

 

Perkara ini umum dianggap dihadapi di kalangan pelajar bukan Bumiputra sahaja kerana ada sistem kuota. Kini, kami dapati pelajar Bumiputra juga menghadapi masalah yang sama. Ini bermaksud pelajar-pelajar kita tak kira bangsa, bumiputra atau bukan bumiputra, semua menjadi mangsa kepada sistem UPU yang tidak telus dan penuh dengan kelemahan.

Pihak Kementerian perlu memaparkan ketelusan dan menonjolkan sifat profesional dalam pengambilan pelajar ke IPTA. Sehingga kini, orang ramai masih keliru dengan ciri-ciri pemilihan, pihak Kementerian masih gagal mempamerkan ciri-ciri pemilihan yang jelas sejak STPM dan Matrikulasi diadakan 20 tahun yang lalu.

Perlu tambah tawaran IPTA kepada pelajar tempatan

Memandangkan berlakunya ketidakadilan, Keadilan mendesak agar Kementerian Pendidikan Tinggi menambahkan tawaran kepada pelajar yang menjadi mangsa kepada sistem UPU ini masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Merujuk data yang diperolehi dari parlimen dan media, pengambilan pelajar pada tahun 2015 hanya 40,438 pelajar adalah paling rendah berbanding tahun 2013 (41,573 pelajar), dan 2014 (42,795 pelajar). Ini bermaksud penurunan 5.5% berbanding tahun lepas. Kadar pengabilan pelajar pada tahun 2015 adalah 67.95% juga turun berbanding 2013 (71.9%). Parti KEADILAN membantah penurunan pengambilan pelajar secara mendadak.

Tahun

Permohonan

Layak

Penawaran

2013

68,702

57,802

41,573

2014

74,071

67,388

42,795

2015

63,942

59,511

40,438

 

Keadaan ekonomi juga tidak mengizinkan pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran di IPTS atau keluar negara memandangkan kejatuhan ringgit Malaysia. Maka pelajar-pelajar dari keluarga miskin mungkin telah sampai ke penghujung jalan akademik mereka.

Kini tibalah masanya bagi kerajaan untuk menghulurkan bantuan ketika rakyat memerlukannya. Dengan menawarkan lebih banyak tempat di IPTA, beban ibu bapa boleh dikurangkan.

Perjumpaan dengan pihak UPU dan Menteri Pendidikan Tinggi

Langkah seterusnya, kami bersedia membawa data-data yang kami ada untuk berjumpa dengan pihak UPU dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk membantu mereka memperbetulkan sistem UPU. Ini adalah cara constructive engagament yang kami akan laksanakan. Kami akan cuba mengaturkan perjumpaan dengan kedua-dua pihak dalam masa terdekat ini.

Sim Tze Tzin, MP Bayan Baru

Nik Nazmi, Exco Kerajaan Selangor

Manivannan, MP Kapar

 

Ahli-ahli Penal HEAP termasuk:

YB Sim Tze Tzin – MP Bayan Baru

YB Nik Nazmi – Exco Kerajaan Negeri Selangor

YB Wong Chen – MP Kelana Jaya

YB Manivannan – MP Kapar

Sdr Akmal Nasir – Pengarah Strategi AMK Pusat