Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah mengumumkan bahawa tiada sebarang dakwaan salahlaku membabitkan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak berhubung skandal kewangan membabitkan jumlah RM2.6 bilion. Lebih mengejutkan, pada hari yang sama, Tabung Haji (TH) turut mengesahkan pelantikan Mohamed Apandi sebagai ahli lembaga pengarah yang baru. Semakan saya di laman web rasmi TH menunjukkan nama serta foto Mohamed Apandi sudah tersenarai dalam organisasi berkenaan.

Khalayak tidak wajar dipersalahkan jika mereka menganggap bahawa pelantikan Mohamed Apandi sebagai ahli lembaga pengarah TH adalah sebagai satu bentuk ‘imbuhan’ kepada tindakan beliau yang menghenti dan menutup siasatan membabitkan Perdana Menteri. Ini kerana jangka masa pengesahan pelantikan beliau ke dalam TH adalah bersekali dengan tindakan beliau mempertahankan Perdana Menteri.

Apa yang lebih membimbangkan adalah wujudnya konflik kepentingan memandangkan kedudukan Mohamed Apandi yang pada ketika ini masih lagi memegang jawatan Peguam Negara. Kebimbangan ini saya kira berasas lantaran TH sebelum ini pernah terlibat dalam isu pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat yang terpalit dalam skandal kewangan serta mempunyai kaitan langsung dengan Perdana Menteri.

Justeru saya menuntut Mohamed Apandi supaya memilih salah satu dari kedua jawatan yang kini beliau duduki. Sekiranya beliau mahu berkhidmat sebagai Peguam Negara, moleklah jika dilepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah TH, dan begitulah sebaliknya.

Sebagai Peguam Negara, Mohamed Apandi sewajarnya sudah cukup matang dan bijak dalam menjaga integriti dan reputasi institusi yang beliau wakili. Beliau seharusnya menzahirkan contoh dan tauladan yang baik dalam memastikan wibawa beliau sebagai seorang penjawat awam tidak dipersoal dan diperlekehkan.

SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Bukit Katil