Kenyataan Media oleh YB Zuraida Kamaruddin

Tarikh: 25 August 2015

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperingatkan perwakilan Alor Setar UMNO Mukhriz Mahathir bahawa perlantikan beliau sebagai Menteri Besar begitu mudah jalannya, dalam erti lain, tiada cabaran seperti menteri-menteri besar terdahulu. Apakah yang cuba disampaikan oleh Perdana Menteri disini?

– Adakah Najib sedang memberi amaran kepada ahli-ahli partinya?
– Adakah Najib cuba untuk mengancam Tun Dr Mahathir?
– Adakah Najib cuba untuk mengatakan bahawa tiba masanya untuk memberi halangan kepada Mukhriz?
– Apakah dilarang mempersoalkan sebarang kemusykilan atas nama kesetiaan?
– Adakah Najib sedang mengemis agar tidak ditinggalkan oleh ahli UMNO?
– Persoalannya, apakah Najib cuba mengalihkan perhatian ahli UMNO dari 1MDB dan wang derma 2.6 Billion?

Perdana Menteri seolah-olah tidak konsisten dengan pendirian beliau kecuali menekankan betapa pentingnya kesetiaan dan ketaatan daripada ahli-ahli UMNO. Adakah Najib benar-benar percaya bahawa orang Melayu begitu mudah tertipu dengan kuasa yang beliau ada? Adakah mereka benar-benar bersetuju walaupun ianya bertentangan dengan suara hati mereka?

MB Mukhriz tidak boleh berdiam diri dalam isu ini. Bagaimana dia boleh membiarkan Presiden UMNO memperlekehkan kredibiliti beliau sebagai seorang Menteri Besar dan memperkecilkan ahli-ahli UMNO Kedah yang menyokong penuh terhadap MB mereka? Ini adalah satu cabaran terbuka daripada Perdana Menteri kepada Tun Mahathir dan MB Kedah. Dua susuk tubuh ini wajar bertindak balas terhadap Najib bagi mempertahankan diri mereka.

Moralnya, isu 1MDB dan 2.6 Billion ini tidak boleh lagi dipandang ringan dan terpengaruh dengan cerita lapuk Perdana Menteri tentang kesetiaan dan ketaatan. Ahli-ahli UMNO tidak seharusnya terperdaya dan tertipu lagi oleh Presiden mereka. Ahli-ahli UMNO perlu menuntut kebenaran dan ketelusan. Jika Perdana Menteri boleh memberi jawapan yang baik dan memuaskan tanpa cuba untuk berdolak dalih, makanya barulah beliau dianggap sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jika beliau tidak boleh membuat sedemikian, layaklah untuk memberi undi tidak percaya dan terus menendang beliau keluar dari UMNO.

YB Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita Keadilan
Ahli Parlimen Ampang