Dalam apa-apa usaha dan tindakan, kerjasama sentiasa dianggap sebagai faktor penting dalam kejayaan. Kerjasama membawa maksud beberapa pihak terlibat secara bersama dalam mencapai sesuatu objektif yang dipersetujui bersama.

Kerjasama ini boleh berlaku dalam banyak keadaan dan peringkat, sama ada sesama individu atau kumpulan, dalam perkara kecil atau besar. Dalam kalimah bahasa, kerjasama dalam perkara keburukan pun dianggap kerjasama.

Namun berpandukan Al-Qur’an, ayat 2 Surah Al-Maidah, kerjasama mestilah berasaskan kepada melaksanakan kebaikan dan bukan kerosakan. Mafhum ayat tersebut ialah “…Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksaNya.”

Dalam sebuah Hadith Riwayat Bukhari Rasulullah S.A.W bersabda, “Bantulah saudaramu, baik dalam keadaan sedang berbuat zalim atau sedang teraniaya. Ada yang bertanya: “Wahai Rasulullah, kami akan menolong orang yang teraniaya. Bagaimana menolong orang yang sedang berbuat zalim?” Baginda menjawab: “Dengan menghalanginya melakukan kezaliman. Itulah bentuk bantuanmu kepadanya.””

Justeru, asas kerjasama wajib kepada prinsip-prinsip yang didokong yang membawa manfaat kepada umum namun tidak boleh sama sekali bekerjasama dalam perkara dosa seperti berdusta dan perkara melampaui batas seperti pecah amanah dan kezaliman. Kepekaan dan kesedaran terhadap pendirian pihak yang terlibat dalam kerjasama amatlah penting supaya kita tidak terjerumus sama dalam membuat kerosakan.

Dalam konteks politik negara sekarang, amatlah jelas kepincangan UMNO-BN dalam memerintah dan mentadbir. Krisis ekonomi dan kepemimpinan berlaku kerana kelemahan dan kebobrokan mereka yang berkait dengan prinsip amanah, keadilan, kebenaran, tatakelola dan pertanggungjawaban.

Skandal hutang 1MDB, derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, pelaksanaan GST dan penggunaan undang-undang seperti akta hasutan sebagai ancaman adalah antara pelanggaran prinsip-prinsip tersebut oleh UMNO-BN yang akibatnya amat buruk buat rakyat.

Sementara itu, dana awam yang kebanyakannya merupakan wang amanah orang Melayu dan Bumiputera turut dicemari dengan keputusan serta tindakan yang amat meragukan. Contohnya penggunaan dana Kumpalan Wang Amanah Pencen, Tabung Haji dan lain-lain untuk menyelamatkan 1MDB. Begitu juga dengan dakwaan penyalahgunaan dana dan aset MARA dalam pembelian hartanah serta salahguna dana amal jariah YaPEIM.

Justeru, dalam konteks cadangan kerjasama di antara UMNO dan PAS yang masih lagi rakan tahaluf siyasi KEADILAN, saya ingin menegaskan pendirian Biro Politik KEADILAN bahawa bekerjasama tidak ada salahnya malah digalakkan dalam rangka usaha yang jelas ke arah mewujudkan kemakmuran ekonomi, menjamin keadilan sosial dan kepemimpinan yang amanah. Namun pertimbangan yang bijaksana perlu diambil apabila rakan kerjasama tidak serius malah menjadi penyumbang kepada kerosakan, penyelewengan, rasuah dan kezaliman.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat