Pakatan Harapan Budget 2016 (English)

 

Ucapan YB Ketua Pembangkang di Majlis Pelancaran Belanjawan Pakatan Harapan 2016

 

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis,

Barisan pimpinan parti KEADILAN, DAP dan Amanah,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

 

 

  1. Izinkan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Belanjawan Negara Pakatan Harapan yang telah bertungkus-lumus merangka dan seterusnya menerbitkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016 ini. Kerjasama berterusan di antara pakar-pakar dalam beberapa bidang ekonomi daripada parti Keadilan, DAP dan Amanah ternyata telah berjaya memastikan penghasilan dokumen Belanjawan ini.

 

 

  1. Saya amat berharap agar komitmen dan semangat kesatuan yang diamalkan oleh pasukan Belanjawan ini dapat terus dipupuk dan dicontohi di dalam segala kerjasama bersama kesemua parti-parti komponen dalam keluarga besar Pakatan Harapan. Kerjasama dan kesatuan yang erat ini akan memastikan kejayaan kita berdepan dengan kerajaan Barisan Nasional, seterusnya mengukuhkan keyakinan rakyat akan kebolehan kita merangka dasar-dasar utama negara seperti Belanjawan Negara ini.

 

 

  1.           Terlebih dahulu kita harus sedar bahawa Maqasid atau tujuan Belanjawan adalah untuk merancang dan merangka kutipan Hasil Pendapatan Kerajaan dan Perbelanjaan Kerajaan untuk mencapai Pembangunan Sosio-Ekonomi yang mampan dan inklusif (sustainable and inclusive socio-economic development).

 

 

  1. Ia mesti berpandukan kepentingan bersama memenuhi prinsip keadilan sosial (social justice) dan mengambil kira keutamaan (priority) dan penyesuaian (adjustment) sesuai dengan realiti ekonomi global semasa  untuk:

terus membina keupayaan ekonomi negara untuk berdaya-saing (competitiveness capacity building) terus memperkukuhkan daya ketahanan ekonomi (economic resilience) untuk menghadapai cabaran ekonomi global yang tidak menentu mengurangkan jurang atau kesenjangan pendapatan dan kekayaan rakyat (reduce income and wealth inequality).

 

  1. Selaras dengan itu, pelaksanaan segala perancangan pembangunan sosio-ekonomi mesti berpaksikan Tata Kelola Urus Tadbir Baik dengan Timbang Tara dengan penuh adil, bertindak professional dan amanah (Good Governance with Check and Balances based on fairness, professionalism and integrity)

 

 

  1. Kita wajib melaksanakan reformasi politik dan ekonomi yang menyeluruh agar kita tidak kekal dengan ‘status quo’ yang terus memerangkap negara dalam ekonomi berpendapatan menengah sahaja. Satu pendekatan reformasi politik dan ekonomi baru dapat dilihat di dalam konsep Agenda Ekonomi Malaysia atau Malaysia Economic Agenda (MEA-2008).

 

 

  1. Agenda Ekonomi Malaysia (MEA-Malaysia Economic Agenda) dilancarkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2008 sebagai kenyataan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi membangunkan negara secara mampan dan inklusif. Dasar-dasar ini telah mendahalui Model Ekonomi Baru (NEM-New Economic Model dan Economic Transformation Program – 2010) yang dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional.

 

 

  1. Malaysian Economic Agenda (MEA -2008) sudah pun mengenal pasti matlamat dan halatuju dalam membentuk negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini termasuklah menggariskan strategi utama serta mengenal pasti halangan-halangan struktural kepada pembangunan negara secara jelas dan jitu.

 

 

  1. Pasca-1998 selepas krisis ekonomi Asia 1997, menyaksikan unjuran trajektori pertumbuhan KDNK 9.4% tersasar dan jatuh merudum ke paras unjuran kadar pertumbuhan purata 5.7% setahun sehingga sekarang. Satu anjakan regresif telah berlaku dan berterusan sehingga ke hari ini. Malah unjuran pertumbuhan KDNK ETP juga gagal mencapai kadar purata 6% setahun yang diperlukan untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

 

 

  1. Defisit Fiskal kita pula sudah berlanjutan 18 tahun semenjak 1998. Ini juga memperlihatkan hutang kerajaan menghampiri 54% KDNK. Namun, ini tidak termasuk ‘contingent liability’ yakni hutang yang dijamin kerajaan jika diambil kira meletakkan beban hutang melebihi 70% KDNK.

 

 

  1. Pelaburan Asing atau FDI juga mendatar. Purata pelaburan sebagai peratusan KDNK (investment per GDP) sebanyak 42.32%  pada 1994-1997 berbanding purata 25% sahaja dari 2010-2014. Ini perlu diubah dengan meningkatkan daya tarikan pelaburan luar negara oleh warga asing dan kemasukan kembali pelaburan dari luar negara (capital return) yang dimiliki rakyat Malaysia. Tanpa pertambahan pelaburan, potensi pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas.

 

 

  1. Justeru itu, sebagai permulaan analisa masa depan ekonomi negara, kita harus ‘muhasabah’ yakni menilai kembali dan belajar daripada sejarah mengenai kelemahan pengurusan sosio-ekonomi semenjak merdeka. Segala pencapaian ekonomi negara apabila diukur daripada kekayaan sumber asli dan sumber manusia adalah dibawah paras potensi yang mampu (underperforming economic potential).

 

 

  1. Prestasi di bawah paras potensi boleh dinilai daripada ‘Jurang-KDNK’ (GDP-Gap) berbanding beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura seperti yang pernah dihuraikan mantan Ketua Pembangkang Saudara Anwar Ibrahim dalam Agenda Ekonomi Malaysia (Malaysia Economic Agenda) pada 2008.

 

 

  1. Contoh jurang KDNK antara Malaysia dan Korea Selatan di mana pada tahun 1970 KDNK adalah hampir setaraf. Malah Malaysia dengan KDNK per kapita sebanyak USD 400 mengatasi Korea Selatan dengan USD270. Tetapi pada hari ini kita telah jauh ketinggalan apabila untuk 2014 Korea Selatan yang tiada sumber asli seperti petroleum mendahului Malaysia sebanyak USD26,205 berbanding USD10,060; iaitu melebihi 260 peratus atau 2.6 kali ganda. Bila dibandingkan dengan KDNK per kapita Singapura USD 56,319, ia melebihi kita sebanyak 500% atau 5 kali ganda.

 

  1. Ini yang  maksudkan oleh saya didalam Ucapan Perbahasan RMK-11 bahawa kita sudah mengalami ‘Kehilangan Potensi KDNK Malaysia’  (Malaysia GDP Potential Loss) sebanyak 500 peratus. Maka kita boleh andaikan bahawa, KDNK per kapita rakyat Malaysia sepatutnya adalah USD50,000 dan bukan USD10,060 sekarang.

 

 

  1. Analisa pembangunan sosial pula menyaksikan kesenjangan pendapatan dan kekayaan masih melebar. Indeks atau Pekali GINI Pendapatan pada 0.401, GINI Kekayaan pada 0.518 dan GINI Aset Kewangan pada 0.90 menjadi pengukur bahawa banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menjadikan pembangunan negara lebih inklusif dan bukan eksklusif yang menguntungkan segelintir kecil rakyat sahaja.

 

 

  1. Apabila 3.85 juta isi rumah hanya memperolehi pendapatan purata bawah RM4,000 sebulan dengan kadar hutang isi rumah negara mencapai 86% KDNK mencecah lebih RM900 billion dan peratusan gaji pekerja hanya 32% KDNK (berbanding 43% KDNK Korea Selatan dan 41% KDNK Singapura) adalah menjadi petanda pendekataan sedia ada atau ‘business as usual’ tidak boleh diteruskan.

 

 

  1. Oleh demikian, usaha merangka belanjawan jelas menunjukkan bahawa cabaran besar adalah bukan untuk merangka  dasar, strategi serta perancangan pembangunan sosio-ekonomi sebuah negara tetapi adalah dari faktor pendekatan pelaksanaan.

 

 

  1. Cabaran dan kunci kejayaan terletak kepada pelaksanaan dasar serta strategi dan perancangan yang bergantung kepada dua (2) prinsip asas yang membezakan pendekatan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional iaitu: Pertama, perlu wujud tata kelola urus tadbir baik (Good Governance), ketelusan (Transparency), akauntabiliti (Accountability) dan kejujuran (Honesty). Kedua, perlu dipandu Prinsip Keadilan Sosial (Social Justice).

 

 

  1. Tanpa wujudnya prinsip asas seperti Tata Kelola Urus Tadbir Baik, Ketelusan, Akauntabiliti dan Kejujuran; akhirnya negara ini berdepan dengan krisis seperti 1MDB dan ketirisan sumber kewangan negara yang melampau.

 

  1. Tanpa Keadilan Sosial untuk mengatasi kesenjangan pendapatan dan kekayaan; kita akan terus menerima BR1M yang tidak mampu merapatkan kesenjangan pendapatan dan kekayaan majoriti  tanpa penstrukturan ekonomi berkesan untuk meningkatkan pendapatan secara mampan.

 

 

  1. Justeru, perbezaan pendekatan perancangan dan pelaksanaan (planning and implementation) di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ini menjadi faktor penentu utama mencapai status negara maju yang dinikmati semua dan bukan hanya segelintir rakyat.

 

 

  1. Bilamana keadaan ekonomi negara dengan defisit fiskal saban tahun semenjak 1998 menuntut pengurusan ekonomi yang lebih baik. Pendekatan yang diambil Pakatan Harapan dalam merangka Belanjawan ini adalah untuk memastikan agar negara mempunyai ketahanan ekonomi (economic resilience) yang lebih baik dalam mengharungi rencam ekonomi dunia yang penuh ketakpastian. Keadaan ini ditambah lagi dengan norma baru penyusutan harga minyak mentah dunia yang bakal memberikan dampak negatif kepada pendapatan komoditi negara pada tahun 2016.

 

 

  1. Kemelut politik semasa yang penuh dengan beberapa ‘mega-scandals’ juga menuntut penyelesaian segera untuk mengembalikan keyakinan para pelabur tempatan dan asing. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, nilai ringgit dan penarafan kedaulatan negara (sovereign rating) akan terus terjejas dan boleh mengheret negara ke jurang kemelesatan ekonomi.

 

 

  1. Pada hemat saya, tidak wajar sekiranya rakyat terbanyak dipaksa untuk menanggung kesilapan dan kecuaian pihak kerajaan ini menerusi langkah-langkah seperti GST 6% dan kenaikan kadar tol. Sebaliknya, dalam kemurungan ekonomi dunia kini, ekonomi domestik harus dirancakkan untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan.

 

 

  1. Belanjawan yang memberikan tumpuan kepada pembinaan ketahanan ekonomi negara adalah bertepatan dengan objektif menyelamatkan Malaysia daripada terus terdedah kepada risiko kemelesetan ekonomi yang berkekalan. Pakatan Harapan telah menggariskan beberapa langkah penyelesaian segera di dalam belanjawan ini.

 

 

  1. Di antara langkah segera untuk memulihkan keyakinan pelabur adalah menyelesaikan skandal 1MDB dengan menutup syarikat ini dan mengheret individu-individu yang berkaitan ke muka pengadilan. Portfolio Menteri Kewangan juga tidak boleh terus dikuasai oleh individu yang juga Perdana Menteri. Kami juga menggesa agar perkhidmatan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz sebagai Gabenor Bank Negara disambung untuk tempoh dua tahun lagi.

 

 

  1. Pakatan Harapan juga menyarankan agar reformasi Institusi Perundangan, Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah terus dilaksanakan untuk memastikan kebebasan institusi-institusi ini dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka dengan lebih berkesan. Ini akan memastikan segala ketirisan kewangan dan rasuah yang saban tahun dilaporkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara boleh diatasi dengan berkesan, seterusnya menjamin penjimatan kewangan negara yang boleh disalurkan kembali menerusi lebih banyak program pembangunan untuk rakyat.

 

 

  1. Pakatan Harapan mencadangkan penghapusan GST dalam belanjawan alternatif ini untuk merangsang pengembangan ekonomi domestik. Walaupun pendapatan negara bakal terkesan dengan penghapusan GST, kami yakin dengan pendekatan perbelanjaan berhemah, dan penjimatan daripada ketirisan dan rasuah, akan membolehkan belanjawan kami mencatatkan defisit 2.42% pada 2016 berbanding defisit 3% unjuran pihak kerajaan.

 

 

  1. Di samping itu, Pakatan Harapan juga mencadangkan beberapa langkah penstrukturan semula tahap cukai pendapatan untuk mengurangkan bebanan pembayar cukai kelas rendah dan menengah.

 

 

  1. Pakatan Harapan menekankan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar Jadual 10 Bahagian 4 Perlembagaan Malaysia mengenai Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak, contohnya, pemberian khas setiap tahun yang berjumlah 2/5 daripada jumlah hasil bersih yang dikutip oleh kerajaan persekutuan dari Sabah. Walaupun Jadual tersebut telah menetapkan kadar 2/5, atau 40%, sebagai jumlah dari hasil bersih kepada Sabah, ia tidak pernah dilaksanakan dengan sepenuhnya. Justeru, Pakatan Harapan berpendapat bahawa kerajaan Barisan Nasional telah gagal mengimplementasikan Jadual 10 dan, secara tidak langsung, tidak berpegang teguh pada Perjanjian Malaysia 1963, yang jikalau ditepati, dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Sabah.

 

 

  1. Keupayaan tenaga kerja tempatan, wanita dan penduduk luar bandar juga perlu ditingkatkan bagi mengurangkan kesenjangan pendapatan yang semakin meruncing di antara kaum dan juga; di antara penduduk Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak. Dalam belanjawan ini, Pakatan Harapan mencadangkan agar sebahagian daripada 20% royalti minyak dan gas Sabah dan Sarawak diuruskan menerusi suatu endowment fund yang bukan sahaja menyumbang kepada keperluan pembangunan jangka pendek  seperti akses kepada elektrik, air bersih dan internet, tetapi juga melibatkan diri dalam beberapa pelaburan strategik untuk keperluan dana jangka panjang.

 

 

  1. Pakatan Harapan menyarankan agar Skim Subsidi Harga Beras (Rice Price Subsidy, RPS) dihapuskan dan Skim Subsidi Harga Padi (Paddy Price Subsidy, PPS) distruktur semula untuk menaikkan pendapatan para petani padi dan juga menggalakkan penyertaan lebih ramai gologan muda ke dalam industri penting ini. Langkah-langkah ini penting untuk memastikan penyaluran subsidi yang lebih berkesan kepada golongan sasar di seluruh negara dan bukan dikecapi oleh beberapa orang kroni politik sahaja.

 

 

  1. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Belanjawan Pakatan Harapan 2016. Terima kasih

 

 

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Presiden KEADILAN

21 Oktober 2016