Hari ini DS Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN telah hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk pendengaran kes qazaf terhadap DS Jamil Khir. Ahli-ahli keluarga, pimpinan KEADILAN dan para penyokong telah hadir ke mahkamah untuk memberi sokongan serta bersalaman dengan beliau. Namun tidak seperti sebelum ini, hadirin dihalang dari bertemu dengan DS Anwar malah dihalang dari berada di aras di mana pendengaran kes qazaf tersebut diadakan. Ahli-ahli keluarga terdekat beliau juga dihalang dari bertemu DS Anwar.

Namun setelah hampir sejam menunggu tanpa sebarang maklumat dari pihak mahkamah, dan hanya setelah hal ini dibangkitkan dengan pihak keselamatan Penjara Sg Buloh, barulah ahli-ahli keluarga terdekat dibenarkan bertemu DS Anwar untuk seketika.

Sebagai tanda protes layanan pihak berkuasa khususnya pihak penjara termasuk layanan yang diterima sewaktu lawatan ahli-ahli keluarga terdekat beliau sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu, DS Anwar telah menyampaikan pesanan berikut:

“Saya datang ke mahkamah untuk perbincangan kes hari ini dengan baju serba putih penjara sebagai tanda protes dengan layanan pihak penjara.”

Sebagai seorang ahli politik kanan yang telah banyak menyumbang kepada negara, DS Anwar tidak patut diberi layanan sebegini. KEADILAN menggesa agar pihak Penjara Sg Buloh dan Menteri Dalam Negeri, DS Zahid Hamidi agar lebih prihatin tentang hal ini. Jangan lah terus menzalimi DS Anwar.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

27 Julai 2015