1. Kesejahteraan Untuk Semua
Belanjawan Kesejahteraan 2012 yang diluncurkan Pakatan Rakyat merupakan suatu permuafakatan merangka masa depan baru bagi Malaysia selari dengan pengikraran Agenda Bersama Disember 2009 dan Buku Jingga, Disember 2010.
Kesejahteraan Untuk Semua hanya boleh dicapai apabila mempunyai iltizam politik membawa reformasi secara menyeluruh terhadap institusi-institusi negara serta dipandu oleh prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik. Kepelbagaian Malaysia merupakan kekuatan kita. Pertumbuhan ekonomi kita bergantung kepada muafakat rakyat tanpa mengira gender, etnik dan agama.
Hanya melalui belanjawan yang responsif kepada gender dan berdasarkan agenda memperkukuh rakyat biasa untuk hidup dengan penuh rasa hormat serta punyai segala peluang akan membolehkan mereka menggunakan segala potensi yang ada dengan penuh semangat. Mengakui tekanan inflasi terhadap rakyat Malaysia. Belanjawan Kesejahteraan 2012 berhasrat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua melalui dasar dan kerangka yang bertujuan meningkatkan pendapatan 60 peratus isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM 3,000 sebulan.
Pengenalan gaji minima, mengurangkan jumlah pekerja asing tidak terlatih, meningkatkan kemahiran dan produktiviti secara besar-besaran akan memberi faedah kepada tenaga kerja rakyat tempatan. Keutamaan adalah memberi perhatian khusus untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, maka gaji, kemahiran dan produktiviti juga dapat ditingkatkan.
Mempertingkatkan keupayaan pengangkutan awam, perumahan dan penjagaan kesihatan membolehkan pendapatan boleh guna rakyat yang semakin tinggi. Pendapatan boleh guna yang tinggi akan memberi kesan baik kepada perbelanjaan tempatan; sesuatu yang penting dalam persekitaran global yang semakin tidak stabil.
Monopoli dan oligopoli yang dipecahkan akan meningkatkan persaingan serta membantu ahli perniagaan Malaysia untuk mengurangkan kos. Persaingan akan mengurangkan tekanan inflasi dan menjana lebih banyak pilihan kepada rakyat.
2. Negara Kaya, Rakyat Miskin?
Malaysia merupakan negara yang kaya dengan sumber. Tetapi bagaimana keuntungan dari sumber alam semulajadi yang banyak dapat diagihkan kepada rakyat Malaysia? Pada masa ini, rakyat tidak menikmati pendapatan yang sepatutnya. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan manakala kumpulan pertengahan yang juga meliputi 40 peratus menikmati pendapatan purata RM3,500 sebulan.
Secara keseluruhan 80 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM2,500 sebulan. Dari segi kelayakan, sesuatu yang memeranjatkan, 70 peratus penduduk hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan tertinggi manakala dari segi pekerjaan lebih satu pertiga ketua keluarga dalam sektor tidak rasmi. Ia sesuatu yang tidak memeranjatkan dalam ketidaksamaan pendapatan di Malaysia adalah tinggi di mana kumpulan 40 peratus dibawah hanya menikmati pendapatan 15 peratus manakala kumpulan 20 peratus diatas menikmati pendapatan 49 peratus.
Gejala sebuah negara yang terperangkap dengan kelembapan ternyata wujud di Malaysia berikutan dasar yang telah ketinggalan zaman dan pengurusan ekonomi yang lemah hanya mengutamakan sekumpulan individu.
Pada masa ini, apa yang kita lihat,
i) ketidakupayaan sekumpulan besar rakyat yang tidak mampu untuk berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.
ii) jumlah pengangguran di kalangan graduan tempatan yang tinggi dan pada yang sama wujud rungutan majikan mengenai kekurangan kemahiran dan bakat.
iii) perbelanjaan subsidi yang telah melambung naik 10 kali ganda.
iv) pelaburan tempatan dan asing adalah kurang menyebabkan Malaysia satu-satunya negara di ASEAN yang mengalami pengaliran keluar pelaburan asing (FDI) kasar.
Perkara ini tidak membantu apabila pada masa yang sama ekonomi global yang memasuki satu lagi fasa gelora. Keupayaan Amerika Syarikat dan Eropah untuk menjana pertubuhan adalah terhad. Eksport ke negara-negara barat bukan lagi sumber pertumbuhan untuk Asia. Kita perlu mencari sumber baru yang akan memberikan kelebihan.
Belanjawan Kesejahteraan 2012
Belanjawan Kesejahteraan Pakatan Rakyat 2012 menekankan pemerkasaan, peluang dan harga diri untuk seluruh rakyat Malaysia berteraskan kerangka kewangan dan lingkungan yang mampan. Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 menumpukan usaha membangun rakyat Malaysia, bukannya projek mega. Ianya bukan untuk kroni dan mereka yang berkepentingan akan tetapi demi memperkukuh keusahawanan, produktiviti dan kerja yang baik.
3. Perbelanjaan Berhemah
Pakatan Rakyat akan memperuntukkan sejumlah RM 220 billion untuk belanjawan 2012 namun akan memastikan dana tersebut dibelanjakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berkesan. Defisit akan dikurangkan kepada 4.4% dari KDNK berbanding 6% pada tahun 2011. Perbezaan itu bersamaan dengan RM 14 billion.
Pendapatan boleh ditingkatkan tanpa membebankan rakyat dengan memastikan konsesi kerajaan dan permit tidak disalahguna dan disalurkan dengan betul. Sebagai contoh, kita akan memperolehi pendapatan lebihan sekitar RM 1.2 billion sekiranya berjaya menaikkan harga Permit Import (AP).
Menumpukan usaha memastikan dana dibelanjakan secara berhemah dengan memastikan tiadanya ketirisan, pembaziran dan ketidakcekapan. Ini pastinya berjaya meransang lebih dari 20% keuntungan buat rakyat bersamaan dengan jumlah yang sama dibelanjakan. Sebagai contoh Pakatan Rakyat mampu untuk memperuntukkan RM 4.4 billion untuk:
Perkukuh pendidikan. Keseluruhan guru bakal menikmati elaun khas mengajar sejumlah RM 500 sebagaimana yang dijanjikan Buku Jingga.
Gaji minima yang memberi keuntungan buat 300 000 penjawat awam dan kenaikan keseluruhan skala gaji penjawat awam.
Formula dividen yang munasabah akan menggantikan amalan mendesak dividen yang besar jumlahnya dari Petronas. Sungguhpun harga petroleum kini lebih tinggi, dividen untuk 2012 hanya sekitar RM 26 billion, lebih rendah berbanding untuk tahun 2011 berjumlah RM 30 billion.
4. Meningkatan Pendapatan
Pakatan Rakyat akan mengutamakan polisi yang inisiatifnya menumpukan untuk meningkatkan tahap pendapatan keluarga dan kemahiran tenaga kerja.
Gaji adalah rendah di Malaysia. Kumpulan terbawah iaitu meliputi 40 peratus keluarga hanya menikmati pendapatan purata RM1,500 sebulan dan gaji rendah ini menyebabkan:
* Bekalan yang banyak untuk tenaga kerja asing tidak terlatih.
* Kekurangan tenaga kerja terlatih.
* Penghalang kepada syarikat swasta untuk meningkatkan produktiviti.
Mengakui bahawa gaji hanya boleh tumbuh secara mampan dengan peningkatan produktiviti, tetapi ia juga adalah satu realiti bahawa mekanisma penentuan gaji tidak berfungsi. Pakatan Rakyat mencadangkan iaitu:
- Gaji minima adalah gaji dasar yang dikuatkuasakan mengikut undang-undang untuk memastikan semua pekerja di peringkat terendah mendapat gaji berperikemanusiaan dan akibat langsung daripada ini, pekerja-pekerja lain akan turut menikmati peningkatan gaji.
- RM 2 bilion akan diperuntukkan untuk sebuah Tabung Pemudahan (Facilitation Fund) untuk membantu usahawan, pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) dan firma-firma kecil untuk memperbaharui peralatan, menjentera dan merubah operasi mereka untuk mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baru.
- RM 1.6 bilion akan disalurkan untuk memperluas latihan teknikal dan vokasional untuk mempertingkat kepakaran tenaga kerja.
- 10,000 orang guru akan dilatih dan RM200 juta akan diperuntukkan untuk mengatasi kekurangan guru-guru bahasa Cina, Inggeris, Tamil dan guru-guru agama, serta RM 200 juta akan diberikan dengan serta merta untuk memperbaiki bangunan-bangunan sekolah terutamanya SRJK (C), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan SRJK (T).
5. Menamatkan monopoli
Pakatan Rakyat akan membawa masuk suatu era baru dengan melaksanakan reformasi dasar-dasar dan peraturan-peraturan sedia ada untuk mengurangkan kos sara hidup, menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (SME) serta pelaburan.
- Dasar tender terbuka untuk perolehan kerajaan yang akan memberi ganjaran kepada mereka yang berkebolehan dan bukan mereka yang mempunyai kenalan dalam kerajaan.
- Langkah-langkah sokongan bagi golongan bumiputera dan mereka yang kurang bernasib baik akan menumpukan perhatian untuk menambah daya saing golongan-golongan ini melalui pendidikan, latihan dan bantuan kewangan.
- Suatu Akta Kontrak Awam Tidak Adil akan digubal untuk mengkaji semula konsesi-konsesi dan perjanjian-perjanjian yang dikenalpasti sebagai tidak adil kepada kepentingan umum.
- Mengembalikan tahap profesionalisme dan kemuliaan perkhidmatan awam agar mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat, dari individu ke peniaga kecil hinggalah ke pelabur besar.
- Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan dibebaskan dari gangguan politik dan dibenarkan untuk beroperasi berdasarkan keutamaan perniagaan. Di masa hadapan, hanya GLC dalam sektor strategik sahaja akan dikekalkan.
- Akta Persaingan 2010 akan diperluas ke semua sektor ekonomi, termasuk syarikat telekomunikasi, perkhidmatan televisyen berbayar dan sektor tenaga.
- Monopoli-monopoli berikut (bukan menyeluruh) yang menghakis pendapatan boleh guna rakyat Malaysia dan mengakibatkan kos perniagaan yang tinggi akan distruktur semula pada tahun 2012:
➢ Memansuhkan monopoli Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ke atas import beras. Sebaliknya, lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif, terbuka dan telus;
➢ Telekom Malaysia (TM) akan diarah melepaskan genggaman ke atas pasaran "jarak terakhir" ("last mile") perkhidmatan internet jalur lebar dan fokus kepada perniagaan asas - data dan telefoni - lalu melahirkan pasaran "jarak terakhir" yang tegap dan berdaya saing. Ini akan mengurangkan kos dan menambahkan tahap penembusan internet jalur lebar;
➢ Kartel syarikat telekomunikasi akan dihapuskan;
➢ Kartel akhbar dan media akan dihapuskan;
➢ Kartel perkhidmatan penerbangan akan dihapuskan;
➢ Monopoli Astro ke atas perkhidmatan televisyen satelit siar terus berbayar akan dihapuskan;
➢ Lesen teksi akan diberi terus kepada para pemandu teksi.
6. Mempertahan Martabat di Waktu Susah
Pakatan Rakyat peka dan prihatin dengan kegusaran di hati rakyat untuk hidup bermaruah tatkala menghadapi tuntutan kehidupan seharian sebelum dasar-dasar untuk meningkatkan pendapatan membuahkan hasil.
- Langkah-langkah berikut dicadangkan diambil:
➢ Bonus RM1,000 setahun bagi setiap warga emas di Malaysia;
➢ Bayaran RM1,000 di tahun 2012 untuk warga suri rumah yang layak;
➢ Menambah pendapatan isi rumah golongan miskin tegar kepada RM550 sebulan dan memperkukuh jaringan keselamatan sosial dengan menambah bayaran kebajikan terus sebanyak RM550 sebulan untuk memastikan penjajaran dengan bantuan kepada golongan miskin tegar; dan
➢ Elaun RM700 setahun bagi penjagaan anak berumur 12 tahun ke bawah bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan dan penubuhan pusat penjagaan kanak-kanak berkelulusan melalui penyediaan pinjaman khas dan insentif cukai. Pakatan Rakyat ingin melihat peningkatan kadar penyertaan buruh di kalangan wanita dari 46 peratus ke 55 peratus dalam masa lima tahun. Dasar-dasar lain untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh, melalui latihan dan peningkatan kebolehlenturan waktu bekerja, akan dibincangkan.
Bergantung kepada peningkatan pendapatan rakyat, subsidi ke atas barangan dan perkhidmatan akan dikekalkan pada jumlah RM 22 bilion. Dasar-dasar subsidi dan harga kawalan petrol akan dirombak untuk merasionalisasikan perbelanjaan kerajaan:
➢ subsidi kepada badan-badan dan syarikat yang bersifat monopolistik akan dihentikan;
➢ subsidi-subsidi umum akan distruktur semula untuk mendatangkan kebaikan terus kepada kumpulan-kumpulan sasar yang memerlukan.
7. Mengurangkan Jurang Bandar-Luar Bandar
Pakatan Rakyat akan meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia yang menetap di luar bandar.
Pembangunan serantau dan luar bandar akan digalakkan melalui desentralisasi pentadbiran
Monopoli import beras yang dipegang BERNAS akan dihapuskan. Lesen import akan diberi melalui proses yang kompetitif dan terbuka. Subsidi akan diberi terus kepada para petani melalui institusi-institusi pertanian.
RM 100 juta akan diperuntukkan kepada peniaga-peniaga kecil untuk pertingkat tahap kebersihan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih dan selesa.
8. Meningkatkan Kualiti Kehidupan
Pakatan Rakyat akan memperjuangkan kualiti kehidupan yang lebih baik buat semua rakyat Malaysia.
- Pasukan polis akan difokuskan semula kepada pencegahan jenayah dan meningkatkan keselamatan awam;
- Dasar "Bina dan Jual" ("Build then Sell") untuk projek perumahan kos rendah-sederhana akan diwujudkan, untuk menjaga keselamatan pengguna. Peruntukan kos perumahan awam akan dinaikkan ke RM 1 bilion.
- Dasar Pengangkutan Nasional akan mengutamakan pengangkutan awam dengan mengetengahkan prinsip "gerakkan rakyat, bukan kereta". Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pengangkutan.
- Mempertingkat penggunaan teknologi hijau untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih baik, efisyen, dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat melalui penjimatan kos kemudahan awam asas dan lain-lain perbelanjaan isi rumah, dan kepada industri dengan meningkatkan produktiviti dan keberuntungan.
9. Mereformasi Landskap Politik
Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan Persekutuan.
Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan prinsip dan pelaksanaan persekutuan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dimana negeri-negeri akan diberikan lebih banyak kuasa melalui perkongsian kuasa dan pengagihan sumber. Pakatan Rakyat juga akan memperkenalkan refomasi berikut:
• Memansuhkan semua perintah darurat dan menghapuskan semua undang-undang yang membabitkan tahanan tanpa perbicaran seperti yang terkandung di dalam Akta Pemansuhan Darurat yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat pada sesi Parlimen Mac 2011.
• Menstruktur semula Biro Pengaduan Awam menjadi sebuah institusi Ombudsman.
• Meletakkan beberapa institusi awam utama seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Perangkaan, Suruhanjaya Pelantikan Hakim, Suruhanjaya, Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan institusi Obudsman dibawah bidang kuasa Parlimen.
• Untuk memastikan kebebasan media dengan menghapuskan keperluan permit dengan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selaras dengan itu akan ditubuhkan Majlis Media yang bebas dan kawalan sendiri.
• Memulihkan autonomi dan kebebasan ahli-ahli akademik universiti- univesiti di Malaysia dengan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971,oleh itu membebaskan pelajar-pelajar daripadan cengkaman Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan kepimpinan universiti-universiti awam akan berdasarkan kepada merit.
• Memansuhkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat pada setiap peringkat kerajaan dengan dilengkapkan infrastruktur yang diperlukan. Ini akan memastikan akses kepada maklumat yang menjadi kepentingan awam, terkecuali ialah perkara-perkara yang secara tulen berkait dengan keselamatan negara.
Pakatan Rakyat berjanji untuk memperkukuh Parlimen sebagai sebuah institusi dan menolak amalan Perdana Menteri sebagai diktator:
- RM 10 bilion dari belanjawan budi bicara Perdana Menteri akan disalur keluar kepada Kementerian-Kementerian berkenaan.
- Cadangan-cadangan perbelanjaan akan diteliti dengan rapi di peringkat jawatankuasa parlimen. Sebagai langkah pertama, tujuh Jawatankuasa Belanjawan Parlimen akan ditubuhkan untuk meneliti belanjawan-belanjawan kementerian lalu membolehkan debat dan penilaian yang lebih berkualiti.
- Ahli-ahli jawatankuasa dan Ahli-ahli Parlimen akan diberi peruntukan untuk pembantu penyelidik parlimen demi meningkatkan keberkesanan kajian belanjawan serta meneliti implementasi dan hasil daripada perbelanjaan tersebut.
10. Anak Muda Mendepani Perubahan
- Bergantung kepada kajian semula dan siasatan yang menyeluruh ke atas perbelanjaan dan struktur kurikulum, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digantikan dengan program-program luar kurikulum atau program komuniti. RM 747 juta yang diperuntukkan kepada PLKN tahun lepas akan disalurkan kepada inisiatif terbaru ini.
- Sejumlah RM 100 juta akan diperuntukkan kepada program Pilihan Anak Muda, yang melibatkan anak muda Malaysia berumur bawah 30 tahun, untuk mengimplimentasikan projek-projek dan program-program pilihan mereka melalui sistem undian.
- RM 50 juta akan diperuntukkan kepada sebuah dana khas untuk meningkatkan penglibatan anak muda dalam aktiviti-aktiviti berdasar kreativiti dan mewujudkan lebih banyak ruang riadah dan rekreasi khusus untuk anak muda.
Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan datang ini tidak akan berjaya melaksanakan dasar-dasar yang mustahak dan bakal merubah wajah negara ini dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan. Rakyat Malaysia, sebagai majikan dan pekerja, sebagai suri rumah, sebagai pengasuh dan mahasiswa, dan yang paling utama sebagai warga negara mesti memainkan peranan sama ada secara individu mahupun bersama, dalam menjayakan agenda yang berani ini demi menggerakkan Malaysia ke hadapan, menuju masa depan yang lebih cerah buat semua.
1. Terima kasih dan tahniah kepada pasukan belanjawan Pakatan Rakyat yang berjaya menghasilkan sebuah dokumen yang lengkap dan menyeluruh, walaupun mereka tidak dibantu oleh perunding dan firma media antarabangsa yang mahal.
2. Keupayaan Pakatan Rakyat menghasilkan sebuah belanjawan menyeluruh yang berlandaskan semangat reformasi rakyat adalah satu mercu tanda kematangan dan kesediaan Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan yang baru. Belanjawan yang bertemakan "Kesejahteraan Untuk Semua" ini lengkap mencerakinkan dengan terperinci unjuran pendapatan, perbelanjaan dan peruntukan untuk program-program nasional yang meniupkan roh kebajikan seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat.
3. Belanjawan ini akan menjadi penanda aras dan penimbal balik kepada belajawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada 7 Oktober ini. Saya yakin rakyat yang serba matang dan mahir menilai akan membandingkan kedua-dua dokumen dan Insya Allah menguatkan lagi iltizam rakyat menuntut perubahan di negara yang kita cintai.
BAB 1: MAQASSID BELANJAWAN MENGANGKAT KEPERLUAN RAKYAT
4. Proses pembentangan dan meluluskan belanjawan setiap tahun hanya dijadikan rutin oleh Barisan Nasional hingga mengenepikan matlamat sebenar sebuah kerajaan merangka dan membentangkan belanjawan kepada rakyat.
5. Apakah wajar belanjawan hanya dilihat sebagai satu senarai gula-gula yang hendak ditawarkan kepada rakyat beberapa bulan sebelum pilihanraya umum, sedangkan bertahun-tahun sebelum itu rakyat ditindas? Di mana kewarasan sebuah kerajaan apabila fokus setiap belanjawan hanyalah kepada perkara-perkara yang penting kepada golongan kecil niagawan kaya dan kroni-kroni mereka, sedangkan kebajikan rakyat diketepikan?
6. Sebab itu Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mengambil pendekatan yang sangat berbeza. Sementara kita memberi perhatian kepada perkara-perkara makro ekonomi (baik persoalan defisit, pelaburan swasta, angka-angka pertumbuhan, keberdayasaingan ekonomi negara), kita jangan sekali-kali alpa bahawa maqassid perancangan belanjawan adalah untuk mengangkat keperluan rakyat mengatasi yang lain.
7. Makanya, prinsip asas yang menjadi teras kepada Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:
a. Membantu rakyat dalam masa terdekat untuk mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit;
b. Menjamin kelangsungan kewangan negara dengan tumpuan khusus untuk mengurangkan defisit;
c. Menambahnilai perbelanjaan negara agar peruntukan benar-benar sampai kepada rakyat dengan memerangi rasuah dan penyelewengan;
d. Memperkasakan keupayaan ekonomi rakyat dalam jangka masa sederhana dan panjang melalui rekayasa latihan teknikal, vokasional dan penggajian yang memartabatkan rakyat; dan
e. Mengukuhkan lagi arus reformasi politik yang menjadi prasyarat dan pendinding dari anasir-anasir yang mahu membolot kekayaan negara untuk mereka dan kaum kerabat mereka sahaja.
8. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan memperuntukkan RM220 bilion berasaskan kepada sasaran untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK. Walaupun jumlah ini melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM14 bilion dari kadar yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional, kita yakin melalui pengurusan wang negara yang lebih berhemah, telus, bertanggungjawab dan berkesan, jumlah RM220 bilion ini akan memberi 20% nilai tambah kepada rakyat, berbanding apa yang dibelanjakan oleh Barisan Nasional selama ini.
9. Keseluruhan RM220 bilion ini akan digunakan sebaiknya untuk mengimbangi keperluan membaiki kerangka ekonomi negara yang kian punah di bawah Barisan Nasional dan membela rakyat dalam suasana yang semakin mendesak.
10. Defisit tahun 2011 yang diunjurkan mencecah 6% dari KDNK membayangkan kegagalan Barisan Nasional menghentikan langkauan defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut akibat ketirisan, rasuah dan penyelewengan. Oleh itu, fokus untuk mengurangkan defisit kepada angka 4.4% telah menjadi satu keperluan mutakhir demi kelangsungan kewangan negara di masa akan datang.
BAB 2: KESEJAHTERAAN UNTUK SEMUA MELALUI PEMBELAAN RAKYAT TERBANYAK
11. Merujuk kepada angka-angka pendapat isi rumah yang terkini, seharusnya kita menginsafi ingatan Allah SWT yang cukup jelas di dalam Surah Al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu."
12. Realitinya di Malaysia sudah jauh menyimpang dari ketetapan ini. Walaupun ada pihak yang mendakwa satu Malaysia ini serupa, hakikatnya negara kita adalah negara yang majmuk kelas ekonominya.
13. Golongan mahakaya (super rich) membolot kekayaan negara dan dipisahkan dari golongan pesara tua dan warga emas yang dihimpit kenaikan harga walhal pencen dan pendapatan mereka semakin mengecil. Anak-anak muda yang memasuki alam pekerjaan terpaksa bertungkus lumus berkongsi rumah dan mengikat perut, sedang anak-anak golongan mahakaya ini seronok melancong dan berbeli belah beg-beg tangan mahal dan cincin permata.
14. Golongan pekerja masih memperjuangkan hak untuk dibayar upah yang bersesuaian dengan kos sara hidup kini dan masih ramai yang upahnya lebih kecil dari garis kemiskinan yang ditetapkan. 35% dari rakyat kita bekerja dalam sektor tidak formal seperti menjaja dan berniaga kecil-kecilan yang tidak mempunyai perlindungan kerja dan imbuhan sosial yang memadai.
15. Statistik-statistik rasmi dari Kerajaan sendiri jelas menunjukkan satu Malaysia yang caca merba dan tidak sekata agihan kekayaannya.
16. 40% dari rakyat Malaysia datang dari isi rumah yang pendapatannya kurang dari RM1,500 sebulan. ¾ dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh pemerintah. Lebih mendukacitakan, golongan 20% terkaya di dalam negara (termasuklah golongan mahakaya dan kaum kerabat mereka) membolot 50% kekayaan negara, sedang 40% golongan terbawah hanya menikmati 15% dari kekayaan negara.
17. Semua ini melambangkan kegagalan sebuah pentadbiran yang memusatkan kekayaan kepada segelintir kecil kroni dan kaum kerabat mereka, bertentangan dengan peringatan Allah SWT di dalam Surah Al-Hasyr tadi.
18. Kegilaan itu semakin menjadi-jadi. Terkini kita disajikan dengan berita-berita pengambilan aset-aset syarikat awam oleh entiti yang dikawal oleh beberapa kerat mahakaya dan kaum kerabat mereka, seolah-olah kekayaan sedia ada masih belum mencukupi. Jangan kita lupa bahawa senarai orang-orang terkaya di Malaysia dihiasi dengan kaum-kerabat pemerintah, baik anak-anak mantan mahupun adik kepada Perdana Menteri sedia ada.
19. Kalau anak mantan Perdana Menteri memiliki syarikat perkhidmatan petroleum yang kelima terbesar di dunia selepas penggabungan Kenchana Petroleum dan SapuraCrest yang melibatkan RM12 billion , apakah tiada anak Malaysia yang cemerlang di dalam bidang-bidang ini selain dari anak mantan Perdana Menteri?
20. Tidak cukup seorang anak mantan Perdana Menteri itu menguasai industri huluan petroleum, anaknya yang seorang lagi pula mahu menguasai industri hilirian petroleum melalui konglomerat San Miguel yang membina kekayaan hasil dari perniagaan arak .
21. Kebejatan ekonomi sebeginilah yang menyebabkan RM52 bilion saham yang diberikan kepada golongan-golongan atasan Melayu akhirnya hilang begitu sahaja. Sedang mereka bergembira dengan kekayaan mereka, rakyat di bawah merempat mencari sesuap rezeki.
22. Tatkala kadar inflasi terus kekal pada kadar sekitar 3% seperti sekarang, rakyat akan terus terbeban dengan harga barang yang menjadi jenama paling unggul Barisan Nasional.
23. Angka-angka ekonomi negara semuanya rendah-rendah belaka, kecualilah angka-angka kenaikan harga barang. Perbandingan harga barang di antara tahun 2008 dan 2011 menunjukkan bahawa harga gula telah melonjak sebanyak 66%, diikuti dengan harga 1 kilogram ayam bersih yang melonjak 37%, seterusnya harga susu bayi 1.8 kilogram mencecah kenaikan 26%, teh tarik mengalami kenaikan harga 25% dan sebungkus roti putih naik harganya sebanyak 20%.
24. Unjuran angka inflasi membayangkan sekiranya keadaan ini berterusan sehingga tahun 2015 akibat kegagalan Barisan Nasional mengawal harga barang, rakyat Malaysia akan menanggung kos barangan harian yang telah melonjak naik 50% lebih mahal dalam tahun 2015 berbanding tahun 2005, sedangkan purata kenaikan gaji dalam masa satu dekad hanyalah 2.6% .
25. Makanya, tema "Kesejahteraan Untuk Semua" adalah sangat bertepatan kerana Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan bantuan-bantuan berikut untuk mengalihkan sumber kekayaan negara dari golongan mahakaya kepada program khusus untuk mengurangkan bebanan rakyat:
a. Peruntukan subsidi sebanyak RM22 bilion dikekalkan dengan mengambil kira unjuran harga minyak mentah terkini. Ini dijangka akan mengelakkan sebarang kenaikan harga minyak di dalam tahun 2012.
b. Tumpuan khusus akan diberikan untuk menambahbaik sistem penyampaian subsidi agar ia sampai terus kepada rakyat yang memerlukan, bukannya ditadbir dan tersekat di pertengahan akibat monopoli yang diberikan kepada syarikat tertentu. Ini termasuklah penghapusan subsidi korporat yang selama ini menguntungkan golongan mahakaya dan kroni mereka seperti pemilik-pemilik penjana bebas (IPP), monopoli beras oleh BERNAS, monopoli lesen teksi oleh golongan berkepentingan dan lain-lain.
c. Kerajaan Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran bonus warga emas sebanyak RM1,000 setahun kepada warga emas yang layak, berdasarkan pendapatan kurang dari RM18,000 setahun. Ia dijangka akan menelan belanja RM1.7 bilion setahun tetapi difikirkan perlu untuk membantu golongan warga emas dan pencen yang kuasa beli mereka semakin terhakis akibat kenaikan harga barang.
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan bayaran suri rumah sebanyak RM1,000 dalam tahun 2012 kepada mereka yang layak, untuk mengurangkan bebanan keluarga dan menggalakkan suri rumah menabung melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Ini akan membabitkan peruntukan RM2 bilion.
e. Bayaran tambahan (top up payment) kepada isi rumah di dalam kategori miskin tegar untuk memastikan pendapatan bulanan mencecah sekurang-kurangnya RM550. Ini difikirkan wajar sebagai langkah segera membantu golongan terbawah di dalam ekonomi negara.
f. Pada masa yang sama, mengambil kira faktor semasa dan kenaikan harga mutakhir, bayaran kepada penerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat akan diselaraskan kepada RM550 sebulan, dari kadar sedia ada sebanyak RM300 sebulan.
BAB 3: MENGEMBALIKAN MARTABAT RAKYAT
26. Pemerintah sedia ada sering berkelakuan angkuh apabila berhadapan dengan kesusahan rakyat. Apabila harga minyak naik mendadak, Perdana Menteri meminta rakyat mengubah gaya hidup sedangkan beliau dan keluarga menghabiskan lebih banyak masa di luar negara atas pelbagai urusan .
27. Barisan Nasional juga menyalahkan segala-galanya kepada rakyat. Hutang negara yang mencecah kadar tertinggi dalam sejarah pun dek kerana rakyat, ekonomi yang tidak dapat dipulihkan pun kerana rakyat yang kononnya mahu bertongkat. Malah, pengangguran anak-anak kita sekali pun ditohmahkan kepada sikap anak-anak muda yang kononnya terlalu memilih, sedangkan ramai pula yang tidak malu melakukan kerja-kerja bawahan walaupun berijazah.
28. Hubungan rakyat dengan pemerintah sedia ada umpama khadam dengan tuan. Kalau tidak kerana puluhan ribu rakyat turun membanjiri Kuala Lumpur bersama-sama BERSIH2.0, warna kuning sekali pun hendak diharamkan; apatah lagi menerima dengan terbuka tuntutan agar reformasi pilihanraya dijalankan.
29. Hakikatnya, masih ramai rakyat Malaysia yang hidup umpama melukut di tepi gantang. Anggaran Bank Dunia meletakkan bahawa 34% daripada tenaga kerja masih dibayar di bawah kadar RM700 sebulan, bermakna satu pertiga daripada tenaga kerja Malaysia berada di bawah paras kemiskinan.
30. Persoalan gaji juga menjadi isu yang mahu dipadamkan oleh pemerintah sedia ada. Gaji yang bermaruah dan bertepatan dengan keperluan kewangan menampung hidup mengikut kos semasa bukanlah keistimewaan atau kemewahan yang dituntut oleh rakyat. Ia adalah satu konsep hak asasi manusia yang diterima pakai di seluruh dunia; bahawa setiap manusia wajar menerima upah yang membolehkan dia menampung kos asas kehidupan seperti kediaman, makanan, pendidikan dan perubatan.
31. Oleh yang demikian, kemelut tuntutan gaji minima yang berpanjangan dan tidak berkesudahan melambangkan persepsi pemerintah yang memandang rendah kepada rakyat, seolah-olah rakyat menagih dan meminta sedekah. Kuasa untuk menentukan gaji minima terus dipusatkan di tangan Menteri, justeru Akta Majlis Rundingan Gaji Kebangsaan yang dibentangkan baru-baru ini tidak lebih dari helah untuk menutup keengganan Barisan Nasional melaksanakan gaji minima.
32. Tabiat merendah-rendahkan martabat rakyat ini semakin berleluasa sehingga mengenepikan kakitangan perkhidmatan awam. Umum mengetahui bahawa pentadbiran Perdana Menteri lebih gemar menggunakan khidmat perunding luar atau mereka yang dibawa masuk dan dibayar gaji besar daripada tenaga pakar sedia ada di dalam perkhidmatan awam. Kerajaan mengeluh apabila berhadapan dengan masalah gaji perkhidmatan awam, tetapi kontrak ratusan juta kepada perunding asing diluluskan dengan sewenang-wenangnya.
33. Beberapa dasar pemerintah sekarang juga tidak membantu memperkasakan rakyat meningkatkan keupayaan ekonomi mereka. Kegagalan membina sistem latihan teknikal dan vokasional yang baik dan ketiadaan universiti-universiti berorientasikan teknikal yang menekankan kepada skim perintis dengan industri menyebabkan wujudnya jurang di antara kehendak industri dan kemahiran tenaga kerja.
34. Mengambil kira perkara-perkara ini, untuk mengembalikan martabat rakyat dan menghentikan pendekatan yang meremeh temehkan rakyat seperti yang diamalkan pemerintah sedia ada, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memperuntukkan perkara-perkara berikut:
a. Gaji minima akan diperkenalkan dan dikuatkuasakan. Pakatan Rakyat akan menggunapakai mekanisme penetapan gaji yang terbukti berkesan di negara-negara lain dengan meminda semua akta sedia ada. Gaji minima sebanyak RM1,100 akan disyorkan untuk diangkat dan dikuatkuasakan;
b. Pengenalan gaji minima dijangka akan memanfaatkan 300,000 orang kakitangan awam yang berada di bawah RM1,100;
c. Tangga gaji kakitangan awam akan diselaraskan berikutan pengenalan gaji minima dan melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam yang lain mengikut tangga gaji masing-masing;
d. Pakatan Rakyat akan melaksanakan pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi setiap orang guru seperti yang dijanjikan di dalam Buku Jingga;
e. Penyelarasan gaji kakitangan awam berikutan pengenalan gaji minima dan janji Buku Jingga akan melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.9 bilion;
f. Pakatan Rakyat akan menghentikan serta-merta kecenderongan dan amalan menggunapakai tenaga perunding dalam proses keputusan kerajaan seperti amalan sekarang dan mengembalikan pengaruh dan kedudukan kakitangan awam dalam proses kerajaan;
g. Peruntukan tambahan RM1.3 bilion untuk menambahbaik skim latihan vokasional dan teknik di semua peringkat termasuk naiktaraf kursus ijazah sedia ada supaya berorientasikan pendidikan universiti teknikal;
h. Peruntukan tambahan RM1 bilion untuk perumahan awam yang akan dipacu melalui perkongsian pintar bersama-sama dengan kerajaan-kerajaan negeri;
i. Pelaksanaan skim "Bina dan Jual" secara berperingkat bermula dengan skim perumahan awam untuk memastikan tiada rakyat Malaysia yang teraniaya akibat projek perumahan terbengkalai; dan
j. Penganugerahan lesen-lesen secara terus kepada rakyat dan pemohon dengan membatalkan sistem payung dan konsesi yang digunapakai; bermula dengan pemberian lesen teksi secara terus kepada pemandu-pemandu teksi.
BAB 4: MENJAMIN KELANGSUNGAN KEWANGAN NEGARA
35. Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah mencecah RM437 bilion. Jika unjuran KDNK bagi 2011 dibuat berdasarkan pertumbuhan 5%, maka kadar keberhutangan negara telah mencecah 53% dari KDNK negara. Pada tahun 2007, kadar ini hanyalah 42% dari KDNK negara.
36. Kadar keberhutangan rakyat Malaysia juga merunsingkan. Jumlah hutang oleh isi rumah Malaysia telah mencecah RM577 bilion pada akhir 2010, iaitu 77% dari KDNK sedangkan pada tahun 1997, ia hanyalah 33% dari KDNK. Maknanya, di bawah pentadbiran Menteri-menteri Kewangan yang kebetulannya semuanya Perdana Menteri sejak tahun 1998, rakyat Malaysia terpaksa berhutang lebih sehingga kadar keberhutangan meningkat sekali ganda dalam masa 13 tahun sahaja.
37. Keadaan diburukkan lagi dengan kadar defisit yang berpanjangan sejak mantan-mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sekarang memegang tampuk perbendaharaan negara. Defisit negara diunjurkan mencecah 6% bagi tahun 2011, jauh tersimpang dari janji Perdana Menteri untuk mengurangkan defisit ke kadar 5.2% seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan dan Rancangan Malaysia Kesepuluh.
38. Malaysia tidak memerlukan perunding ekonomi antarabangsa yang mahal-mahal untuk memahami ancaman defisit dan hutang kepada kelangsungan kewangan dan kestabilan negara.
39. Rentetan krisis kewangan di Eropah dan Amerika Syarikat secara jelas mengajar kita bahawa negara-negara yang tata kelolanya lemah, berbelanja berlebihan melalui hutang dan disalahtadbir ekonominya adalah negara-negara yang paling terkesan apabila berlaku kejutan ekonomi dunia.
40. Malangnya, apabila ini berlaku, rakyatlah yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung beban pelbagai tindakan susulan yang diambil.
41. Oleh yang demikian, tumpuan untuk mengekang defisit sewajarnya menjadi tumpuan utama agar kita berjaya menghentikan kitaran memusnahkan akibat tabiat berhutang yang diamalkan Barisan Nasional selama ini.
42. Saya juga ingin menegaskan bahawa persoalan defisit bukanlah persoalan melebarkan jaringan percukaian agar lebih ramai rakyat membayar cukai. Usaha mengekang defisit perlu ditumpukan kepada usaha mengawal perbelanjaan dan mewujudkan tata kelola kewangan terlebih dahulu; berbanding sikap Barisan Nasional yang cepat melatah untuk mengenakan cukai baru seperti Cukai Barangan dan Jualan (GST).
43. Mengambil kira keperluan untuk memulihkan asas kewangan negara dan menjamin kelangsungan kewangan negara, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut:
a. Memotong belanjawan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion dengan mengembalikan peruntukan ini kepada kementerian-kementerian yang berkenaan dan mengurangkan kecenderongan berbelanja berlebihan oleh Perdana Menteri;
b. Sasaran mengekang defisit yang drastik iaitu pada kadar 4.4% bagi tahun 2012, berbanding sasaran-sasaran yang menyimpang sebelum ini;
c. Dividen dari PETRONAS diunjurkan pada kadar RM26 bilion sahaja, iaitu RM4 bilion lebih rendah dari amalan semasa Barisan Nasional walaupun keuntungan PETRONAS dijangka melonjak naik dalam tahun 2012 akibat harga minyak mentah yang tinggi. Ini bertujuan memastikan PETRONAS mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkembang dan menjamin masa depan negara;
d. Penjualan lesen import (AP) akan dibuat melalui proses lelongan yang dijangka akan menambah pendapatan negara sebanyak RM1.2 bilion;
e. Pendekatan perolehan kerajaan akan dipinda untuk mengamalkan tender terbuka dengan jaminan skim-skim khas untuk Melayu/Bumiputra dan golongan-golongan yang memerlukan diperkenalkan bagi melatih usahawan-usahawan baru berteraskan kebolehan dan merit;
f. Menyemak kembali kontrak-kontrak pembelian senjata oleh Kementerian Pertahanan untuk memastikan nilai tambah kepada strategi dan keperluan pertahanan negara;
g. Tumpuan kepada memaksimakan pendapatan negara dengan mengutip hutang-hutang, tunggakan dan penyelewengan membabitkan dana dan aset negara; dan
h. Mengembalikan cukai-cukai eksais dan duti yang dibatalkan oleh Perdana Menteri ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, seluar dalam berjenama dan lain-lain atas pertimbangan kategori barangan ini hanya digunakan oleh golongan mewah. Maka sewajarnya cukai yang berpatutan disumbangkan untuk memperkemaskan kewangan negara.
BAB 5: MEMBINA KEANJALAN DAN DAYA SAING EKONOMI
44. Ekonomi negara perlu beralih kepada sektor bernilai tinggi untuk menambah pendapatan rakyat dan negara. Model ekonomi kos rendah yang banyak menggunapakai tenaga asing yang murah sebenarnya merompak rakyat Malaysia dari segi peluang ekonomi. Saban tahun, pekerja-pekerja asing juga menghantar puluhan bilion wang ringgit keluar dari Malaysia.
45. Niagawan-niagawan yang terlalu mempertahankan model ekonomi seperti ini sebenarnya mengambil subsidi dari rakyat Malaysia kerana keuntungan mereka adalah hasil dari menidakkan rakyat Malaysia dari peluang pekerjaan pada gaji yang munasabah.
46. Daya saing ekonomi negara juga memerlukan penglibatan lebih tinggi golongan wanita untuk merealisasikan potensi ekonomi mereka. Pakatan Rakyat mensasarkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja mencecah 55% menjelang 2015, berbanding kadar 43% sekarang.
47. Kita juga perlu merubah struktur ekonomi yang mempertahankan dan mengkayakan beberapa kerat mahakaya melalui konsesi-konsesi yang meningkatkan kos operasi dan perniagaan. Pertembungan di antara sektor swasta dan syarikat milik kerajaan juga perlu dikurangkan untuk mengembalikan kerancakan pelaburan swasta dalam ekonomi negara.
48. Oleh yang demikian, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat mencadangkan perkara-perkara berikut:
a. Menubuhkan Suruhanjaya Perjanjian Awam Negara untuk menilai kembali konsesi-konsesi yang tidak adil untuk menghentikan herotan kos operasi dan perniagaan yang ditanggung oleh rakyat dan niagawan;
b. Meminda Akta Persaingan 2011 supaya turut meliputi sektor-sektor penyiaran, telekomunikasi, tenaga dan sektor bermonopoli lain untuk memecahkan monopoli;
c. Sasaran pengurangan pekerja asing yang jelas menjelang 2015 mengikut sektor ekoran pengenalan gaji minima; dan
d. Elaun penjagaan anak sebanyak RM1,000 setahun kepada ibu-ibu yang layak untuk menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita di dalam tenaga kerja; dipadankan dengan pelaburan kerajaan untuk membina pusat penjagaan kanak-kanak yang menepati piawaian.
BAB 6: KESEJAHTERAAN SEKATA DAN SEADILNYA
49. Pemusatan sumber dan kawalan kewangan yang keterlaluan kepada Kerajaan Pusat menindas kerajaan-kerajaan negeri sehingga mewujudkan jurang ekonomi yang luas di antara wilayah-wilayah, terutamanya di antara Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Pantai Barat.
50. Oleh yang demikian, tumpuan yang jelas perlu diberikan untuk mempercepatkan pembangunan di wilayah-wilayah ini terutamanya pembinaan infrastruktur termasuklah jaringan lebuhraya-lebuhraya yang menghubungi seluruh Sabah dan Sarawak.
51. Konsep perkongsian sumber dan tanggungjawab kerajaan persekutuan dan negeri-negeri juga perlu dikaji semula untuk memastikan kebertanggungjawaban dan kepakaran pentadbiran dipadankan dengan sumber kewangan yang bertepatan.
52. Mengambil kira perkara-perkara ini, Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat memutuskan perkara-perkara berikut:
a. Pindaan kepada Akta Geran Kapita 2002 untuk beralih dari mekanisme bayaran tetap seperti sekarang kepada prinsip formula berdasarkan faktor-faktor seperti sumbangan ekonomi, keperluan pembangunan, pendapatan rakyat dan kedudukan sosio ekonomi setiap negeri;
b. Peruntukan tambahan sebanyak RM3.6 bilion untuk pembangunan luar bandar; dan
c. Peruntukan khas sebanyak RM100 juta untuk program-program pembersihan dan pengindahan desa di seluruh negara.
BAB 7: MENGUKUHKAN ARUS REFORMASI RAKYAT
53. Semua perancangan ekonomi yang dibuat hanyalah kekal menjadi diskusi akademik kecuali disertakan dengan iltizam untuk melaksanakan reformasi politik dan pentadbiran.
54. Suasana yang kondusif akan diwujudkan yang secara langsung membolehkan perubahan-perubahan ekonomi berlaku bila mana sistem pentadbiran dan dokongan adalah telus, amanah, bertanggungjawab dan berasaskan kerangka tata kelola yang baik.
55. Akhirnya, perbezaan ketara di antara Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat yang mengangkat Kesejahteraan Untuk Semua, dengan belanjawan yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri adalah dari segi siapa yang boleh melaksanakan reformasi-reformasi ekonomi ini dengan berkesan.
56. Sebab itu kita tidak boleh lari dari pengajaran Kitab al-Muqaddimah oleh Ibn Khaldun, yang antara lain menggambarkan kemusnahan apabila pimpinan kerajaan bergelumang dengan "salah laku, buruk akhlak, ketidakikhlasan dan tipu daya untuk mengaut kekayaan. Hati mereka memikirkan dan mencari jalan untuk menggunakan semua helah bagi tujuan itu. Akibatnya rakyat pun turut terheret dengan penipuan, perjudian, kecurian dan riba".
57. Rakyat berhak mempersoalkan keikhlasan dan komitmen Barisan Nasional untuk menjalankan reformasi – baik reformasi politik, ekonomi atau sosial kerana rekod caca merba dan tipu daya mereka yang bergantung sepenuhnya kepada kepercayaan mereka bahawa rakyat mudah lupa. Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi kemudiannya menyebut pula akta gantian – maknanya perkara yang sama, Cuma sanggul dan cincin yang berbeza sebagai hiasan.
58. Dalam kehangatan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13, rakyat juga tidak boleh alpa dengan pelbagai laporan dan bukti yang mempersoalkan ketulusan dan integriti daftar pemilih. Kalau selama ini kita percaya pelbagai helah digunakan untuk membenarkan pengundi hantu merosakkan amalan demokrasi di negara ini, pengesahan terbaru mengenai pemberian hak mengundi kepada warga negara Bangladesh mengukuhkan lagi persepsi rakyat bahawa Suruhanjaya Pilihanraya adalah tidak telus.
59. Oleh yang demikian, seluruh rancangan ekonomi perlu dijalankan seiringan dengan proses reformasi politik dan pentadbiran. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat akan melaksanakan perkara-perkara berikut untuk mengukuhkan lagi arus reformasi rakyat:
a. Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;
b. Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;
c. Melaksanakan serta-merta semua tuntutak BERSIH2.0;
d. Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan bersabit tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawa terus kepada Parlimen;
e. Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan
f. Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.
PENUTUP
60. Malaysia adalah sebuah negara yang dirahmati dan diberkati. Rakyatnya telah membuktikan bahawa semua cabaran yang getir boleh diatasi bersama melalui muafakat, persefahaman dan hormat-menghormati.
61. Belanjawan 2012 oleh Pakatan Rakyat melihat rakyat sebagai aset pertama negara dan sewajarnya diangkat martabat rakyat untuk sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan semua. Rakyat adalah tuan punya negara ini, rakyat bukannya khadam atau pekerja yang membanting tulang menagih ehsan pemerintah atau golongan mahakaya.
62. Belanjawan 2012 ini juga memberi gambaran sebuah negara yang berbeza di bawah Pakatan Rakyat. Berbeza ekonominya, rancak proses demokrasinya dan telus pentadbirannya.
63. Saya memohon doa supaya Belanjawan 2012 ini memberi peluang untuk semua pihak memainkan peranan bersama-ama membawa Malaysia ke tempat yang lebih sejahtera, lebih aman dan lebih adil.
Sekian, terima kasih.
1. Selamat datang ke Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat Kali Ke Tujuh pada tahun ini. Pada Kongres ke enam yang lalu, kita bertandang di Kota Bharu. Kali ini, kita merasa cukup bertuah kerana kita diterima pula sebagai tetamu Selangor Darul Ehsan pula. Perhimpunan kali ini, adalah bagaikan kembalinya semula kita ke pengkalan. Selepas melalui pelbagai pertempuran di pelbagai medan, kita berkumpul kembali di sini, memperkemas dan mempersiap diri menghadapi pertempuran baru yang akan mendatang. Kita rakamkan jutaan terima kasih atas kesudian Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana sudi menerima kita di sini. Alhamdulillah, beliau telah berjaya mengangkat martabat negeri, membuat pelbagai perubahan dan penambahbaikan pengurusan, memberi keselesaan kepada rakyat dan seterusnya berjaya mempertahankan Negeri ini ditangan Pakatan Rakyat sehingga ke hari ini. Paling utama, Selangor adalah kubu utama Parti Keadilan Rakyat. Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih.
MENITI KEMATANGAN PERJUANGAN
2. Usia Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) masih muda. Ia baru sahaja meraikan ulangtahun ke 12 sejak ditubuhkan pada 4 April 1999. Namun, dalam usia semuda ini, kita telahpun mencapai banyak kejayaan yang diluar dari kebiasaan. Bersama-sama
dengan Pakatan Rakyat, kita telah berjaya menawan 5 buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam PRU 12 yang lalu. Dalam usia semuda ini, kita telah bergerak pantas mewarnai iklim politik negara secara drastik. Maka itu, usahlah kita gundah dan gulana dengan segala pancaroba. Demi perjuangan menegak keadilan, kita perlu terus melangkah dan mara. Membujur lalu melintang patah. Perjuangan membela rakyat perlu terus membara.
3. Sesungguhnya, di tahap ini, kita masih berada di peringkat awal dalam kelok pembelajaran (the learning curve), dalam perkembangan menuju kemantapan dan kematangan. Apatah lagi khususnya, kita ini adalah sebuah parti politik. Fitrah setiap 'learning curve' adalah pengalaman jatuh bangun dan naik turun. Setiap kali jatuh, kita perlu terus bangun, menilai dan memperbaiki kelemahan. Kemudiannya, segera terus melangkah kehadapan secara lebih berani dan berkeyakinan. Inilah yang dinamakan "sunnanulkaun"atau"thelawofnature". Jatuhdansilapdalammengaturlangkahtidak perlu dijadikan kesalan. Tidak perlu kita menjadi pesimis melulu hingga melupakan hakikat potensi untuk menjadi lebih baik di masa hadapan.
4. Sesungguhnya, perjuangan dan cita-cita kita adalah amat besar. Demi membela nasib rakyat,kitainginmembinabudayabarudalampolitiknegara. Justeru,reformasidan perubahan dimulakan dalam diri kita dahulu. Martabat setiap ahli diangkat tinggi. Setiap ahli diberi peluang sama rata untuk bersuara dan memberikan sumbangan. Maka kita secara berani meluluskan dasar Satu Anggota Satu Undi dalam menentukan barisan kepimpinan. Tiada suatu parti lain di negara ini dan di Asia Tenggara yang berani melakukannya. Malah kita memulakannya di saat pihak musuh begitu fobia dengan demokrasi. Keadilan bergerak cergas menyuburkan demokrasi. Disebaliknya, UMNO dan BN tanpa segan silu berterusan merencatkan demokrasi. Seluruh agensi dan aparatus yang boleh memperkasakan demokrasi telah dikembirikan. Pelbagai akta menyekat kebebasan rakyat terus diwujud dan dilaksanakan. Semua ini dilakukan demi mengekalkan jaminan mereka terus berada di tampuk kekuasaan dan meneruskan penindasan dan kezaliman kepada rakyat.
5. Alhamdulillah, demi memenuhi tekad merealitikan demokrasi dalam Parti, kita baru sahaja selesai mengadakan pemilihan kepimpinan Parti di peringkat Cabang dan Pusat. Sesungguhnya, perlu kita akui bahawa umumnya pemilihan tersebut telah mencapai matlamatnya. Lebih 70,000 orang ahli parti telah melibatkan diri dan keluar mengundi. Percubaan pertama ini sudah pastilah ada kelemahannya. Terpulang kepada kita untuk menafsirkan. Adakah kelemahan itu sebagai kegagalan atau peluang. Jika kita tidak berani memikirkannya secara positif, sehingga bila kita boleh berkembang dan maju ke hadapan? Lebih baik melakukan sesuatu yang tidak sempurna dari tidak berbuat apa-apa yang sudah pasti tidak cacat. (Better to do something imperfectly than to do nothing perfectly, Robert H Schuller). Sekian lama kita mahukan demokrasi sebenar, maka kita perlu mulakan dengan diri kita dahulu (You must be the change you want to see in the world, Mahatma Ghandi).
6. Pemilihan ini telah meningkatkan kematangan kita dalam amalan demokrasi. Ahli-ahli KEADILAN telah mempamerkan keupayaan menilai, membicarakan dan memilih barisan kepimpinan yang sesuai. Kita semua telah berjaya melalui pelbagai ujian dan cabaran psikologikal - mental, fizikal, emosional dan rohaniah. Untuk itu saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada anda semua di semua peringkat dan lapisan.
BERSAMA KONGSI KEMENANGAN
7. Dengan kejayaan ini, marilah bersama kita menginsafi suatu hakikat. Sesungguhnya, tiada siapa yang kalah. Kesemua kita adalah pemenang. Saya ulangi: Kesemua kita adalah pemenang. Yes, we all are the winners!!! We all are the winners!!! Yang tewas adalah musuh- musuh kita. Merekalah sebenarnya yang gagal. Yes, they are the losers!!! Terbukti merekalah yang gagal melaksanakan demokrasi sebenar dalam parti mereka sendiri. Mereka juga telah gagal untuk melihat parti kita gagal melaksanakannya. Mereka harus berasa malu dengan diri.
8. Bagi mereka yang dianggap menang perlu bersama menginsafi bahawa kepimpinan adalah merupakan suatu amanah. Kepimpinan adalah taklif (tanggungjawab) bukan tasyrif (kemuliaan). Kegagalan melaksanakan amanah akan menatijahkan hukuman yang amat berat di sisi Tuhan. Sehubungan ini, Nabi Muhammad SAW pernah menasihatkan seorang sahabat, Abu Dzar Al-Ghiffari:
"Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya". (Hadis riwayat Muslim).
Baginda juga pernah bersabda:
"Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat." Ditanya kepada baginda, "Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?" Rasulullah bersabda: "Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!"
9. Hakikatnya, rakan-rakan kita yang dianggap tidak menang juga telah memberikan sumbangan besar dalam mengangkat martabat parti kita ke mercu lebih tinggi. Mereka sebenarnya telah memberi jasa besar melibatkan diri bertanding dan membuatkan anda menang. Justeru, siapa jua yang di anggap pemenang perlulah menghargai rakan-rakan lain yang dianggap kalah. Ayuh, mari kita bersama-sama berkongsi kemenangan itu. Tanpa mengira siapa, kesemua kita perlu memiliki psikologi pemenang dalam menghadapi PRU 13 akan datang.
MENJANA SAF PERJUANGAN
Saudara-Saudari yang dikasihi sekalian,
10. Proses pemilihan telahpun selesai. Tanpa kecuali, tiada siapa di antara kita yang dapat mengelak diri dari amanah besar bersama mengemudi parti ini dalam menghadapi PRU 13 akan datang. Posisi dan peranan kita mungkin berbeda. Namun, natijah kita perlu sehala. Tanggungjawab kita amat berat, sumber yang ada pula amat terhad. Lantaran itu, kesemua pemimpin yang telah dipilih di setiap peringkat perlu memanfaatkan setiap sumber yang kita miliki. Potensi setiap ahli perlu digembeling dan diperkasakan tanpa mengira kelompok dan kabilah. Kepentingan Parti perlu lebih diutamakan berbanding dengan kabilah dan diri sendiri. Jangan biarkan apa yang ada di kendong keciciran dan yang dikejar belum tentu dapat. Jagalah dan perihatinlah kepada setiap ahli dan rakan di sekeliling kita. Merekalah saudara seperjuangan kita. Terimalah mereka semua seadanya untuk dibaja, dipupuk dan dikembangkan.
11.Sesungguhnya, tiada siapa antara kita yang sempurna. Justeru bersamalah memperkasakan silaturrahim dan perhubungan yang ada. Sehubungan ini, setiap cabang dan ranting perlu diperkasakan dengan memperbanyakkan program-program yang dapat meningkatkan keprihatinan rakyat dan semangat kerja berpasukan. "TEAM: Together Everyone Achieve More." Bersamalah semarakkan ruh muafakat sesama kita supaya ia menjadi teladan setiap ahli di peringkat bawahan. Ia juga akan melonjakkan keyakinan dan penghormatan rakyat kepada parti kita yang dicintai ini.
12. Dikesempatan ini juga, kita perlu memberikan penghargaan dan merakamkan terima kasih kita kepada pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat yang diketuai Dr. Molly Cheah dengan dibantu oleh seluruh pasukan tenaga jenteranya, atas kerja keras dan kejayaan menguruskan agenda besar menjayakan demokrasi dalam parti kita ini. Kita juga ingin merakamkan penghargaan yang sama kepada Sekretariat Pengurusan yang diketuai Setiausaha Agung Sdra Saifuddin Nasution, bersama para pembantu beliau, yang turut memberikan dokongan dalam melaksanakan misi ini. Mata yang memandang sudah tentu tidak seberat bahu yang memikul.
13. Dalam melaksanakan proses pemilihan ini, memang banyak juga aduan dan rungutan telah diterima. Ada yang berpandangan bahawa siapa yang menang tidak penting. Apa yang lebih penting adalah proses pemilihan yang adil. Wujud juga persepsi bahawa JPP tidak bertindak pantas terhadap rungutan yang kukuh. Semua pandangan seperti, kita sedia menerimanya secara terbuka. Kita juga bersedia sebarang maklumbalas dan cadangan penambahbaikan. Bagi kes yang jelas dengan bukti yang nyata, kita telahpun bertindak melakukan siasatan. Sudah pasti ini semua akan memakan masa. Kita juga tidak boleh menghukum sesiapa hanya melalui tuduhan-tuduhan yang lemah asasnya. Kita yang memperjuangkan keadilan perlu juga berlaku adil dalam menghukum rakan- rakan kita sendiri.
14. Oleh itu, andai ada sebarang ketidakpuasan, gunakan saluran Parti untuk dileraikan. Usah serahkan tengkok kita kepada pihak media musuh dengan mendedahkan kelemahan kita. Biar membara di hati, tetapi tetap dingin di kepala (Bapak Muhammad Natsir). Selesaikanlah masalah kita bagaikan menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus dan tepung jangan berselerak. Sesungguhnya, setiap diri kita tidak penting. Parti ini adalah lebih penting. Parti ini adalah sandaran seluruh rakyat segala lapisan yang memerlukan pembelaan. Kita tidak rela sama sekali melihat Parti ini lemah dan hancur. Andai terdapat sebarang bukti kukuh terdapat amalan yang melanggar dasar dan peraturan, tanpa mengira waima siapa, kita akan bertindak tegas.
IDEALISME DAN TERAS PERJUANGAN
15. Setiap orang di antara kita wajar menyemak, melihat kembali helaian sejarah parti ini yang berdiri atas pengorbanan, keringat dan air mata rakyat. Parti ini "parti rakyat". KEADILAN mempunyai asas-asas perjuangan yang jelas. Tujuh belas asas perjuangan kita, adalah amat mulia dan keramat. Siapa jua yang ingin menganggotai parti ini perlu memahami dan menghayati idealism perjuangan kita ini. Jika belum lagi, kita takut nafas perjuangan kita dalam Parti ini akan menjadi pendek. Hanya dengan sedikit dugaan dan cabaran, kita bakal kecundang dan tersungkur di tengah jalan.
16. 12 tahun yang silam, semasa KeAdilan ditubuhkan, musuh sering memperlekeh kita. Kata mereka: "KEADILAN, parti berbilang kaum (multi-racial party) takkan berjaya..." Apa yang terjadi kini adalah sebaliknya. Ternyata hari ini, KEADILAN muncul sebagai parti berbilang kaum yang digeruni. Sesungguhnya, sedari mula kita amat percaya kepelbagaian adalah suatu keindahan dan kekuatan. Kita percaya bahawa kepelbagaian itu adalah suatu rahmat dan gambaran kebesaran Tuhan. Anugerah besar Tuhan ini tidak boleh sama sekali disesiakan. Maka itu, fahaman dan amalan ala-penjajah yang mengamalkan sistem pecah dan perintah melalui agama dan perkauman perlu dilenyapkan dari bumi tercinta ini. Kita juga pernah dilabel sebagai parti nyamuk. Ternyata hari ini kita bagaikan sarang tebuan yang mampu menyerang dan menyengat. Mungkin kerana amat gementar, pemimpin mereka melaungkan kata-kata akan mempertahan Putrajaya walaupun dengan darah dan nyawa.
17. Hakikatnya, dalam mengamalkan demokrasi, mereka telah tercicir jauh di belakang. Maka, untuk menutup kelemahan, maka diwujudkan dasar keanggotaan terus, demi menyaingi dasar kepelbagaian kaum kita. Kita sebenarnya sedang mendepani zaman dengan idea-idea politik baru. Mereka mencela kita didepan serta cemburu dan dendam kesumat di belakang. Maka itulah, kita hari ini diserang setiap waktu dan saat. Kalaulah kita ini memang benar-benar lemah seperti yang digembar-gemburkan, apa perlunya kita dipedulikan? Percayalah, mereka menyerang kerana KEADILAN ini adalah sebuah parti yang kuat dan gagah membelah lautan politik negara.
TONGGAK REFORMASI RAKYAT
Saudara-saudari yang dikasihi,
18. Mereka amat menyedari bahawa KEADILAN dan pemimpin utamanya Saudara Anwar Ibrahim adalah faktor ancaman paling membahayakan kedudukan dan survival mereka. Dalam sejarah politik tanah air, tidak pernah wujud pemimpin dan parti lain yang dapat menggugat mereka separah hari ini, melainkan KEADILAN dan Saudara Anwar Ibrahim. Maka itu, mereka sentiasa berusaha mencari jalan tanpa henti bagaimana Parti kita dan Pakatan Rakyat dapat dihancurkan. Mereka pernah cuba melaga-lagakan para pemimpin Parti kita dan rakan-rakan kita PAS dan DAP. Setakat ini, mereka ternyata telah gagal. Malah, gabungan Pakatan Rakyat semakin kukuh dan mantap. Pakatan Rakyat wujud sebagai pembangkang terkuat dalam sejarah politik negara sehingga hari ini. Kemuncak muafakat pakatan ini adalah kejayaan mengemukakan dasar bersama pada 19 Disember 2009 yang ditandatangani bersama oleh pimpinan-pimpinan utama ketiga-tiga Parti yang berkaitan. Sejak dari itu, Pakatan Rakyat tidak mampu digugat lagi dan terus meluncur ke hadapan. Inilah yang cukup menggerunkan musuh kita.
19. Selepas ternyata gagal dan kecewa untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat, mereka kembali kepada strategi lama mereka iaitu dengan meneruskan percubaan untuk melumpuhkan parti kita ini. Mereka pernah berjaya dengan strategi ini untuk menyekat reformasi rakyat pada tahun 1998. Mereka percaya bahawa cara mudah untuk membunuh KEADILAN adalah dengan melangsungkan fitnah dan serangan terhadap Penasihat Parti, Saudara Anwar Ibrahim.
20. Serangan-serangan mutakhir terhadap Saudara Anwar Ibrahim dari segi sahsiah dan kerjaya politik menampakkkan satu usaha bersepadu dibawah naungan satu dalang. Faktor Saudara Anwar Ibrahim menjadikan mereka merasa cukup derita dan sengsara hingga dihinggapi kebimbangan, kerisauan dan ketakutan yang tidak menentu. Hakikatnya, mereka amat takut akan kehilangan segala kuasa dan rahsia penyelewengan dan salah guna kuasa yang tersorok bakal terbuka.
21. Jelaslah kesemuanya itu adalah kerana kewibaan kepimpinan DSAI yang terserlah sejak zaman remajanya lagi. Beliau sentiasa dikenali sentiasa bersifat amanah, tegas dan berani. Beliau juga tidak mementingkan diri dan sentiasa istiqamah (consistent) membela rakyat termiskin (mustad'afin). Ketrampilan kepimpinan beliau juga amat disenangi kesemua lapisan rakyat merentasi kaum, agama, dan budaya. Lebih jauh ketokohan beliau telah diterima dengan cukup baik di peringkat antarabangsa sejak seusia muda beliau lebih 4 dekad yang lalu. Justeru, dalam ketika Negara kita sedang berhadapan dengan krisis keyakinan kepimpinan dan imej Negara yang terus menjunam, maka kepimpinan beliau terus diperlukan.
22. Apa yang tidak pernah di alami oleh Saudara Anwar? Ditangkap, di ISAkan, dipukul, disiksa, diaibkan dan dihumban ke penjara. Sejak merdeka, tidak pernah ada tokoh negara lain yang difitnah, dihina dan disiksa secara berterusan seperti yang dialami Saudara Anwar. Namun, beliau tetap gagah dan tabah meneruskan perjuangan bersama kita. Apakah rahsia sebenar hingga beliau tetap kental sehingga ke hari ini. Jawapan saya adalah Saudara Anwar Ibrahim adalah seorang insan hebat yang memang di anugerahkan Tuhan untuk kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat. Jika beliau insan biasa seperti kita, sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlalu.
23. September 1998 memang menjadi titik hitam kepada keluarga saya. Namun, Alhamdulillah di sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia telah bangkit menghulurkan tangan, memberikan dokongan. Itulah titik peralihan cerah susur galur politik negara. Lebam mata Saudara Anwar, menjadi simbol terbukanya mata rakyat Malaysia dengan cengkaman dan kezaliman penguasa. Pukulan ganas yang mencederakan Saudara Anwar, telah menyentak anak-anak muda negara. Sengsara saya dan anak-anak, diganti dengan kegembiraan melihat lahirnya satu gerakan rakyat yang berterusan mendepani perjuangan mengangkat maruah bangsa dan negara.
24. Makanya, terbentuklah gerakan reformasi yang menyatukan pelbagai kaum, anutan, daerah, fahaman dan latar pengalaman. Kita disatukan oleh keinginan menyelamatkan negara dan keazaman mengembalikan maruah rakyat. Apabila parti ini ditubuhkan sebagai wadah perjuangan itu, ada yang bersama di dalam, tetapi ramai juga yang berjuang di luar. KEADILAN juga didokong oleh pelbagai NGO dan para bloggers yang turut terlibat membantu berjuang menurut cara masing-masing. Hakikatnya parti ini lahir dari gerakan reformasi rakyat dan relevan kita berkait langsung dengan roh reformasi rakyat.
25. Justeru, simbolisme KEADILAN dan gerakan reformasi adalah umpama akrabnya Saudara Anwar dengan gerakan rakyat. Beliau bukan sahaja pemimpin kita di dalam KEADILAN, yang lebih penting beliau adalah pimpinan yang diangkat oleh rakyat baik di dalam KEADILAN, PAS, DAP hatta tidak berparti sekalipun.
26. Marilah bersama kita sedari bahawa KEADILAN ini bukanlah sebuah parti politik biasa; yang perjalanan dan urusannya hanyalah milik anggota rasminya sahaja. KEADILAN adalah milik dan simbol gerakan reformasi. Maka, sebagai seorang anggota KEADILAN kita harus menyedari simbolik ini. Setiap rakyat yang inginkan perubahan dan mahukan pembelaan memberikan perhatian kepada KEADILAN. Justeru, kita perlu berhati-hati dalam segala langkah dan kata. Jika kita silap percaturan dan rakyat mendapat persepsi yang mengecewakan, dokongan dan sokongan mereka mungkin akan hambar dan beralih. Ini perlu menjadi perhatian serius kita bersama.
BANGSA BERMARUAH
Saudara-saudari sidang Kongres sekalian,
27. Saya, sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, berkeyakinan bahawa tidak akan ada satu bangsa pun yang akan menjadi agung dan dihormati hanya apabila menggelar diri sendiri sebagai "tuan". Kitab al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan telah menghancurkan kaum dan bangsa-bangsa yang bermegah-megah konon menjadi "tuan" dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum yang lain. Sesungguhnya, semulia- mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling tinggi taqwanya (amalan baik dan kebajikannya kepada insan lain). Nyatalah bahawa sesuatu bangsa dan kaum itu hanya akan menjadi agung dan dipandang tinggi apabila mereka bermaruah. Lalu, andai sesuatu bangsa itu mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah mereka termasuk kepada orang Melayu.
28. Sebenarnya, dalam tradisi orang Melayu, mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi oleh orang lain. beberapa ungkapan pantun klasik di bawah:
a. Tenang-tenang air laut Sampan kolek mudik ke tanjung Hati terkenang mulut menyebut Budi baik rasa nak junjung
b. Kapal belayar dari Arakan Ambil gaji jadi jemudi Mati ikan kerana umpan Mati saya kerana budi
Mari kita merenung sejenak
c. Jika belayar ke tanah Aceh Singgah dulu di kota Deli Jika hendak orang mengasih Hendaklah baik bicara budi
d. Bunga melati bunga di darat Bunga seroja di tepi kali Hina besi kerana karat Hina manusia tidak berbudi
e. Tingkap papan kayu bersegi Sampan sakat di Pulau Angsa Indah tampan kerana budi Tinggi darjat kerana bahasa
f. Pulau Pandan jauh ke tengah Gunung Daik bercabang tiga Hancur badan dikandung tanah Budi yang baik di kenang juga
g. Cuaca gelap semakin redup Masakan boleh kembali terang Budi bahasa amalan hidup Barulah kekal dihormati orang
h. Tuan Puteri membeli ginseng Singgah di pasar mencari kari Jangan ikut budaya samseng Kelak menyesal di kemudian hari
29. Justeru itu, konsep "Ketuanan Melayu" ini wajib dibakul sampahkan; supaya anak-anak kita membesar dengan visi "Bangsa Bermaruah" atau "Melayu Bermaruah". "Ketuanan Melayu" adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah manusia yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi.
30. Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Melayu dan bumiputera, masih tetap terabai. Orang Melayu dan Bumiputera sedang mengalami nasib hidup yang sangat menyedihkan. Mereka sedang dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan. Kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu- Bumiputera gagal dicapai. Daripada RM54 bilion ekuiti dan saham untuk bumiputera, hanya RM2 bilion kekal di tangan. Di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak, kelompok paling miskin, dhaif dan terbiar melarat, adalah kaum bumiputera. Buruh bumiputera di Batu Sapi, hanya dibayar RM9.50 untuk kerja mereka selama sehari. Malah, bagi setiap empat keluarga yang pendapatan isi rumahnya kurang dari RM2,000 setiap bulan, tiga keluarga itu adalah keluarga Melayu.
31. Kerajaan Umno-Barisan Nasional juga tidak mempedulikan nasib dan kedudukan Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kehidupan mereka masih terbiar dan tidak mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Kedhaifan hidup mereka bagai sengaja dirancang untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu di saat dan ketika yang mereka perlukan. Tidak ada langsung peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin kepentingan merupakan kaum pribumi di negara ini. Kedudukan mereka tidak terjamin kerana hak mereka tidak dimasukkan dalam tafsiran Perkara 153 dan Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Fasal (2) Perkara 160 hanya menafsirkan Orang Asli adalah Orang Asli Semenanjung Tanah Melayu manakala dalam artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, ianya hanya merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja. Kita berjanji akan mengambil satu tindakan yang berani dan bertanggungjawab untuk menjamin kedudukan Orang Asal ini dalam kerangka keupayaan kita.
32.Semua ini membuktikan bahawa para pemimpin UMNO bukan berjuang untuk membela orang Melayu. Parti itu hanya berminat untuk menjaga kepentingan tauke- tauke tertentu. Umno adalah "parti tauke" dan jauh sekali untuk berwajah sebagai "parti rakyat". Maka itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik untuk semua orang Melayu dan seluruh rakyat.
KEADILAN PENYELESAI ISU SURVIVAL MELAYU & ISLAM
33. UMNO yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya kini semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Gelombang sokongan orang bukan Melayu, rakyat Sabah dan Sarawak pula kini sudah beralih ke Pakatan Rakyat.
34. Sesungguhnya, mereka telah gagal melaksanakan amanah rakyat untuk membina negara Malaysia yang bermaruah, mempamerkan keadilan Islam, menerapkan ajaran Islam dan gagal memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan. Perlaksanaan undang-undang kerajaan sentiasa tidak konsisten dan berubah-ubah mengikut selera mereka. Cara UMNO mengendalikan isu penggunaan kalimah Allah begitu menjelikkan hingga menjadi bahan jenaka masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. Judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana. UMNO tidak pernah mempedulikan kedudukan hukum qazaf. Mahkamah syari'ah dipersendakan mengikut kehendak pemimpin politik mereka.
35. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. UMNO ditolak hasil dari segala kemungkaran dan kezaliman diri mereka sendiri. Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah, di 'faraid' dan dikhianati semahunya dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan. Ekonomi negara menguncup teruk dan para pelabur menjauhkan diri dari kita.
36. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Lantaran itu, demi survival diri, tanpa segan silu politik Michevelli yang dianuti selama ini dimanfaatkan. Maka, isu survival orang Melayu dan agama Islam dikumandangkan sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. UMNO sengaja menjadikan rakyat Malaysia yang terdiri dari kalangan masyarakat majmuk menjadi keliru, bimbang dan cemas. Keadaan kritikal ini menjadikan rakyat merasa terancam, semangat toleransi menjadi 'fragile' dan akhirnya melarat kepada krisis dan ketegangan agama dan kaum yang berpanjangan. Fenomena seperti inilah yang mengupayakan UMNO masih mampu meneruskan nafasnya sehingga ke hari ini.
37. Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai- nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai- berai..." (Ali-Imran: 103)
38. Isu survival Melayu dan agama Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka.
39. Bagi kita Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat, kita mahukan wujudnya sebuah masyarakat majmuk yang dapat hidup bersama dengan saling lengkap melengkapi dan bekerjasama ke arah Negara yang makmur dan aman damai. Islam yang sebenar mengajar umatnya agar bersikap adil, sederhana dan sentiasa menghormati bangsa dan agama lain.
40. Oleh yang demikian, kita menyeru kepada seluruh orang Melayu, umat Islam dan masyarakat Malaysia umumnya agar tidak mudah diperkotak katikkan oleh UMNO dengan mengatakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan suara jika Negara diperintah oleh Pakatan Rakyat. Kita juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar dapat berfikir dengan rasional dan fakta yang jelas serta tidak keliru dengan dakwaan mereka. Jelas terbukti bahawa Umno BN telahpun mengkhianati mereka di masa silam. Apakah yang dapat menjamin mereka tidak akan berlaku curang lagi di masa hadapan jika amanah kuasa terus diberikan kepada mereka?
41. Menyedari hal di atas, kita melihat bahawa Parti ini perlu menyediakan kerangka tindakan konkrit bagaimana persoalan kebimbangan mengenai kedudukan dan survival rakyat Malaysia dalam konteks pelbagai agama dan kaum ini dapat ditangani secara meyakinkan. Agenda tindakan ini perlulah direalitikan secepat mungkin. Kita mahu melihat agenda konkrit para usahawan kita bersama-sama membangunkan kumpulan usahawan muda baru tanpa mengenal batas agama dan perkauman. Kita mahu melihat para doktor memberikan khidmat rawatan percuma di kampong-kampung baru dan kampong tradisi yang dhaif dan miskin tanpa mengambil kira kedudukan agama dan kaum seseorang. Marilah bersama kita buktikan kepada seluruh rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak, bahawa pendekatan KEADILAN dan Pakatan Rakyatlah benar- benar mampu menyelesaikan pelbagai masalah masyarakat majmuk di Malaysia ini secara menyeluruh dan total ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera. Semoga kongres kita dapat mencari formula yang benar-benar kontrit untuk direalitikan bersama.
DASAR PENDIDIKAN UNTUK RAKYAT
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
42. Adalah suatu kenyataan bahawa dasar pendidikan negara kini sedang berada dalam situasi krisis dan memerlukan perhatian serius dan tindakan jitu oleh kesemua pihak. Mutu pendidikan negara di segenap peringkat dan bidang sedang mengalami kemerosotan yang teruk. Akta Universiti dan Kolej telah mengongkong kebebasan berfikir dan akademik para pendidik dan pelajarnya. IPT negara terkeluar dari kumpulan IPT terbaik dunia. Manifestasi dari krisis di atas adalah berleluasanya kemacetan pemikiran, kebejatan moral, kemerosotan keselamatan sosial, kerapuhan perpaduan dan tahap kemiskinan yang tinggi.
43. Kegagalan pendidikan negara telah telah menghasilkan pelbagai gejala buruk yang sedang membarah – peningkatan kadar jenayah, amalan rasuah, politik wang, pecah amanah, perlanggaran hak asasi manusia, ketidakadilan di dalam sistem kehakiman, keruntuhan akhlak remaja, kebanjiran pelacur-pelacur asing, gejala aids dan dadah.
44.Tahap pendidikan, ekonomi dan pembangunan negara kita jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan jiran-jiran kita yang telah melangkah jauh kehadapan seperti Singapura, Thailand, Taiwan, Korea Selatan, Cina dan India. Keadaan ini adalah manifestasi dari kegagalan sistem pendidikan negara melahirkan generasi dan masyarakat yang dapat memacu pembangunan ekonomi negara. Ranking universiti-universiti di Malaysia yang jatuh teruk mengakibatkan moral kakitangannya merosot dan mutu pelajar yang dilahirkan juga tidak berupaya menghadapi cabaran masa depan.
45. Di samping itu, kita melihat berleluasanya ketidakadilan pengagihan pendidikan. Hanya mereka yang berpengaruh dan kaya sahaja yang mampu mendapat pendidikan berkualiti. Sebahagian besar rakyat miskin terbiar dan sekadar menerima kualiti pendidikan pinggiran. Melebarnya jurang pendidikan di intitusi pendidikan awam dan swasta. Ini memberi kesan memberi kesan buruk sampingan seperti kerapuhan perpaduan antara pelbagai kaum dan agama. Bagi rakyat Sabah dan Sarawak, meskipun mereka telah lebih 45 tahun merdeka bersama Malaysia, rakyatnya masih masih jauh tercicir dari segi pendidikan terutama di luar bandar dan kawasan pendalaman.
46.Kita merasa bimbang, melihat Bahasa Melayu gagal dilaksanakan sebagai bahasa pengantar utama dan sekaligus sebagai bahasa ilmu dan perpaduan dalam membangunkan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik dan kaum. Isu dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) masih belum selesai hingga ke hari ini. Meskipun dasar tersebut akan diubah, namun kesan yang dialami amat buruk dan bakal memerlukan kos pemulihan yang amat tinggi.
47.Sewajarnya pihak berkewajipan menerimapakai prinsip utama bahawa pendidikan bukanlah pelajaran. Pendidikan bukan sekadar proses memindah ilmu (transfer), tetapi lebih utama lagi ialah proses membentuk atau membina (transform) insan dan masyarakat umumnya kearah kesempurnaan. Namun demikian prinsip yang sedia wujud ini telah tidak dilaksanakan dengan sempurna. Oleh itu, penukaran nama Kementerian Pendidikan untuk digantikan dengan Kementerian Pelajaran adalah merupakan kesilapan besar negara dalam bidang pendidikan. Falsafah Pendidikan Negara, telah jelas meletakkan asas pembangunan manusia berasaskan prinsip pembangunan JERI – Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek. Namun, perlaksanaan pendidikan negara tidak menampakkan secara tegas mengenai prinsip ini.
48. Polisi pendidikan negara dilihat sentiasa berubah apabila menterinya bertukar. Mereka dilihat seakan tidak memahami falsafah dan dasar pendidikan yang telah diasaskan lebih awal. Malah seolah-olah menyanggah apa yang dilaksanakan oleh dasar sebelumnya. Umpamanya, dasar-dasar pendidikan yang dibuat Menteri pada 1996 lebih banyak merobek dasar-dasar pendidikan bersepadu berasaskan falsafah pendidikan negara yang diasaskan oleh Menteri sebelumnya. Perubahan-perubahan dasar pendidikan berlaku tanpa kajian menyeluruh dan mendalam dan tidak pula merujuk mereka yang benar- benar pakar dalam bidang pendidikan. Inilah yang berlaku semasa dasar PPSMI dibuat.
49.KEADILAN telah bermuafakat dan beriltizam bagi menjadikan PENDIDIKAN sebagai satu wahana teras dalam merealisasikan prinsip perjuangan KEADILAN bagi menegakkan kebenaran, mewujudkan keamanan, memperkasakan perpaduan, menyuburkan kemakmuran serta memberi kesejahteraan hidup kepada seluruh warga Malaysia terutama bagi golongan yang terpinggir dan miskin. Menegaskan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab asasi negara dan perlu diberikan perhatian utama dan tanpa toleransi oleh kerajaan yang memerintah.
50.Kita juga perlu mengkaji semula pelaksanaan dan perancangan dasar pendidikan, meneroka mekanisme baru serta mengemukakan cadangan tindakan demi mencapai sistem pendidikan bersepadu yang bermutu, adil lagi demokratis serta agar harapan baru dalam bidang pendidikan dapat diperkukuh semula. Kesemua pihak perlu mengembalikan semula roh Falsafah Pendidikan Negara yang telah termaktub dalam Akta Pendidikan 1986.
AMANAH MEMBELA RAKYAT
Saudara-saudari sekalian,
51. Kita berkumpul pada hari ini di dalam kongres yang terakhir sebelum pilihanraya umum ke-13, kalau desas-desus yang kuat bertiup itu benar. Apa pun, kita tidak punya pilihan kecuali untuk bersiap sedia secukupnya kerana kita memikul amanah besar untuk membela rakyat. Kalau ada yang pernah luka, hilangkanlah parutnya. Kalau ada yang sedikit tercalar, gilaplah supaya semangat juang kembali tinggi untuk berdepan dengan musuh. Yang menang memikul tanggungjawab memimpin, yang kalah bersiap sedia merempuh musuh; bak kata pepatah biduk lalu kimbang bertaut. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
52. Amanah membela rakyat dan mengangkat martabat negara adalah lebih besar dari parut atau calar kita. Apatah lagi, dalam suasana rakyat di bawah yang terus ditindas dengan kemelut sara hidup yang tinggi. Pemerintah Pusat tidak pernah jemu dengan rancangan ekonomi bersaiz mega dan ungkapan-ungkapan yang memukau. Mulanya dengan NEM, kemudian beralih kepada ETP, lantas jadi pula EPP. Jutaan wang rakyat dibazirkan untuk membayar entah berapa ramai juru runding untuk memilih huruf-huruf besar ini, tetapi kesannya kepada rakyat kecil sekali.
53. Para perancang ekonomi mereka seperti terpisah dari realiti keperitan hidup di bawah. Sedang mereka tenggelam dalam impian membina bangunan tinggi 100 tingkat di bilik mesyuarat mereka, rakyat miskin di bandar-bandar dan di desa terlantar lara tidak mampu memiliki sebuah rumah. Bukan sahaja jumlah rumah kos rendah atau mampu milik tidak mencukupi, kalau pun permohonan mereka diterima, mereka berdepan pula dengan masalah mendapatkan pembiayaan akibat syarat-syarat yang terlalu ketat.
54.Mereka bercakap tentang lonjakan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi; tetapi pelaburan asing terus merudum dan mereka berpura-pura tidak perlukan pelaburan asing untuk memacu ekonomi. Kita baru saja menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara merosot sebanyak 81 peratus dari RM23.47 bilion pada tahun 2008 kepada RM4.43 bilion pada tahun 2009. Ini merupakan kemasukan FDI paling rendah sejak 20 tahun lalu selain tahun 2001 di mana negara mencatat kemasukan FDI RM1.54 billion. World Investment Report 2010 baru-baru ini turut melaporkan yang negara mengalami kemerosotan ketara dalam kemasukan FDI serta peningkatan dalam pengaliran keluar FDI yang menunjukkan ketidakyakinan pelabur dalam pengurusan ekonomi negara kita.
55. Di kalangan negara-negara Asean, hanya Malaysia mengalami aliran masuk pelaburan yang negative (negative inflow). Meskipun Thailand bergelumang dengan pelbagai kacau bilau politik dan boikot sepanjang 2009 dan 2010, ekonomi Thailand dijangka tumbuh pada kadar 6.5 hingga 7.5 peratus; iaitu setanding atau lebih baik dari sasaran Malaysia, 6 peratus. Singapura pula katanya, dijangka berkembang pada kadar 13 peratus hingga 15 peratus, iaitu dua kali ganda lebih pantas dari kadar pertumbuhan ekonomi negara.
56.Pertumbuhan ekonomi jiran kita Indonesia kekal 6 peratus. Ia adalah lebih baik berbanding Malaysia yang meskipun dijangka mencapai 7 peratus, namun ia adalah pertumbuhan ekonomi negara selepas penguncupan. Kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah setara dengan Cambodia, Myanmar, Brunei, Laos dan Timor-Leste. Ini merupakan pertama kali dalam sejarah FDI Filipina mengatasi Malaysia FDI negara- negara Asean yang lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam jauh meninggalkan Malaysia. Lebih membimbangkan kita, laporan terbaru Bank of America dan Merill Lynch turut tidak menyenaraikan Malaysia sebagai 10 destinasi kemasukan pelaburan asing berbanding dengan China.
Para perwakilan yang dihormati,
57.Kita perlu terus meletakkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat terulung dalam perancangan ekonomi negeri-negeri yang kita kuasai. Hatta, pendekatan merakyatkan ekonomi yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat perlu dijunjung menjadi dasar-dasar teras dalam kerangka ekonomi kita. Isu-isu pokok yang kini membelenggu rakyat seperti isu perumahan dan peluang pekerjaan perlu dirungkai oleh Keadilan dan Pakatan Rakyat. Malaysia memerlukan proses reformasi yang radikal untuk menyelesaikan segera permasalahan rakyat terbanyak, bukannya transformasi kosmetik yang tenggelam di sebalik kempen-kempen public relations yang mahal.
58. Dalam kesempatan ini, saya mahu mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor yang tabah membela rakyat melalui konsep Merakyatkan Ekonomi yang telah menjadi trademark KEADILAN. Istilah "merakyatkan" ini cukup besar pengaruhnya, sehinggakan Kerajaan Terengganu di bawah lawan kita senyap-senyap menciplak istilah ini untuk dipaparkan di papan tanda di seluruh negeri.
59. Amanah kita untuk membela rakyat dengan mengembalikan hak mereka dan meletakkan kesejahteraan mereka sebagai matlamat keramat adalah amanah yang besar. Amanah ini memerlukan persiapan kita; baik dari segi keupayaan kita mendengar masalah mereka, kebolehan kita menterjemahkan dasar-dasar yang berkesan untuk menyelesaikan masalah mereka; dan ketabahan kita melakukan perubahan demi rakyat walaupun berdepan dengan tentangan. Oleh itu saya mengingatkan para perwakilan untuk menumpukan sepenuh perhatian mencari inovasi baru untuk membela rakyat terutamanya dalam bidang ekonomi, supaya kita dapat menyelamatkan negara dan rakyat dari terus ketinggalan berbanding jiran-jiran.
MENDOKONG ASPIRASI PAKATAN RAKYAT
60. Di penghujung pembicaraan saya di sini, izinkan saya untuk mengulangi iltizam kita untuk kukuh berdiri bersama-bersama rakan-rakan kita di dalam gabungan Pakatan Rakyat untuk menyediakan suatu rencana dasar dan kebijakan untuk membawa keluar bangsa dan negara dari kemelut yang semakin meruncing ini. KEADILAN bersama rakan-rakan kita di dalam Pakatan Rakyat telah berikrar untuk bersama-sama menghayati dan melaksanakan agenda politik baru ke arah menggembleng tenaga rakyat dari pelbagai kaum, agama dan budaya yang dilihat sebagai satu kekuatan.
61. Dasar yang telah diputuskan bersama ini telah dibina berasaskan kepatuhan kepada Perlembagaan dan prinsip-prinsip keadilan sejagat akan menjamin keluhuran undang- undang dan kebebasan sistem kehakiman, sebagaimana ia menjamin hak-hak asasi manusia dan maruah rakyat kekal terbela dan dimartabatkan. Kita yakin, ia adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
62. Maka itu, demi manfaat dan garis pandungan perbincangan di dalam kongres ini, saya perturunkan kembali garis kasar muafakat Pakatan Rakyat yang telah dipersetujui bersama para pemimpin utamanya, pada 19 Disember 2009 yang lalu. Sebahagian perbincangannya, telahpun saya sentuh dalam ucapan saya di atas.
PENUTUP
Saudara-saudari yang dihormati,
1. Sesungguhnya, perjuangan kita bersama KeAdilan ini sungguh mulia di sisi Agama dan kemanusiaan yang universal. Halatuju perjuangan kita dan jelas dan nyata. Kita berjuang atas keinginan kita melihat Malaysia Baru yang rakyatnya yang terdiri dari masyarakat yang majmuk ini, hidup atas dasar persaudaraan yang utuh, aman, harmoni, makmur dan sejahtera. Kita bertekad untuk menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan yang kita bina berasaskan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati kita semua.
2. Berdasarkan visi di atas, kita mengajak seluruh rakyat Malaysia turut bersama memberi dokongan dan bersama kita mencipta muafakat baru yang berteraskan keadilan untuk semua berasaskan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini adalah agenda yang mesti dilakukan untuk mengembalikan maruah bangsa, kebebasan rakyat dan kemuliaan insan. Hanya dengan keadilan semua rakyat akan makmur dan bersatu padu.
3. Sebagai parti yang dihidupkan oleh ruh dan semangat reformasi, kongres seperti ini merupakan kesempatan yang terbaik terbaik untuk barisan pimpinan di atas, mendengar nada suara dan denyut nadi ahli-ahli kita dari peringkat akar umbi. Kongres ini juga merupakan wacana keemasan untuk kita menyatukan hati, muhasabah diri, mencari muafakat, menguatkan iltizam dan akhir sekali, membulatkan tekad untuk kekal dalam perjuangan. Semoga kita dapat berbicara dan berbahas secara intelektual, membina dan matang.
4. Akhir kata, tahniah dan terima kasih kepada Setiausaha Agong dan Sekretariat kerana berjaya menganjurkan kongres pada kali ini dengan baiknya. Terima kasih kepada MPN Selangor serta Kerajaan Negeri Selangor yang sudi menerima dan meraikan kehadiran kita di Negeri yang maju dan indah permai ini. Juga terima kasih kita kepada siapa jua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan Kongres ini. Semoga usaha kita semua diberkati Allah jua.
Selamat bersidang.
Terima kasih.
Sekian, wassalamualaikum wbth.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail
Presiden, Parti Keadilan Rakyat ( KEADILAN )
Kongres Nasional Tahunan ke-7 2010 Petaling Jaya, Selangor.
27 November 2010