Carian
November 1, 2022

KEADILAN akan bertanding di 101 parlimen di seluruh negara dalam PRU15.

HASNI ABAS CALON KEADILAN/PH DI PARLIMEN SEMBRONG

KEADILAN akan bertanding di 101 parlimen di seluruh negara dalam PRU15.

72 calon di Semenanjung telah diumumkan pada 28 Oktober yang lalu. 10 calon untuk kerusi- kerusi di Sabah telah diumumkan semalam di Kota Kinabalu oleh Saudara Anwar Ibrahim, manakala baki 16 kerusi yang akan ditandingi di Sarawak akan beliau umumkan hari ini di Miri, Sarawak.

Dari 75 kerusi yang akan ditandingi di Semenanjung, 3 kerusi tidak diumumkan pada 28 Oktober kerana berlaku pertindihan hasil dari rundingan kerusi. Kerusi-kerusi itu adalah Sembrong (Johor), Sungai Siput dan Tapah (Perak).

Ketiga-tiga kerusi ini telah diperuntukkan kepada KEADILAN di akhir proses rundingan kerusi di peringkat Top 4+4 (presiden-presiden parti dan ketua perunding dari setiap parti).

Saudara Anwar telah mengumumkan K Saraswathy (Naib Presiden KEADILAN) sebagai calon yang akan bertanding di Tapah, manakala S Kesavan akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya di Sungai Siput.

Hari ini, saya memegang amanah untuk mengumumkan Saudara Hasni Abas, Setiausaha Pengelola KEADILAN Johor dan Ketua Cabang Parit Sulong sebagai calon KEADILAN di Sembrong.

Beliau mendapat pendidikan awal di Batu Pahat, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang sastera dan sains politik. Beliau juga memegang ijazah sarjana dalam bidang sastera dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saudara Hasni merupakan seorang pegawai kanan di Dewan Bahasa dan Pustaka sepanjang kerjaya beliau dan dikenali sebagai seorang aktivis bahasa Melayu di kalangan golongan sastera di negara ini. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Perancang Bahasa Kanan di DBP.

Beliau adalah presiden Kesatuan Sekerja Pekerja-pekerja DBP semasa beliau bertugas di DBP.

Selain itu, beliau juga adalah Pengarah Eksekutif, Yayasan Pendidikan Orang Asli Kuala Lumpur dan Setiausaha Agung, Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia Kuala Lumpur.

Saudara Hasni adalah tokoh nasional dalam bidang sastera dan aktivisme bahasa Melayu.

Selain dikenali sebagai seorang penyajak, beliau adalah Setiausaha Gerakan Mansuh PPMSI yang berjaya mendorong keputusan kerajaan untuk menghentikan dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Inggeris yang cacamarba dan mengakibatkan keciciran pendidikan rendah anak-anak Melayu luar bandar.

Saudara Hasni akan menggalas tanggungjawab yang berat untuk menewaskan Dato’ Seri Hishamuddin Hussin di Sembrong.

Pun begitu, rekod KEADILAN di Sembrong adalah menggalakkan dengan keupayaan mengurangkan majoriti Hishamuddin dari satu PRU ke PRU seterusnya, hingga Sembrong kini menjadi sebuah kerusi marginal (walaupun mempunyai jumlah pengundi Felda yang tinggi).

Bagi pihak KEADILAN, saya mengucapkan selamat berusaha dan berkhidmat kepada Saudara Hasni.

RAFIZI RAMLI

Related Posts
crossmenuchevron-up