Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Saiz Teks
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size

Kenyataan Media

Model Ekonomi Baru dan Penarikan Subsidi: Bukti Dasar Barisan Nasional Yang Berbolak Balik dan Berat Sebelah

KENYATAAN MEDIA
4 DISEMBER 2010

 

Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua
berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato'
Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa
barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen),
diesel(kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair(kenaikan
sebanyak 5 sen).

Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah
kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang
terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari
Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada
rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap
6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada
masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya
dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.

Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan
termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang
dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun
sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan
keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya,
bukannya kroni.

PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada
tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor
bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas
untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM
4.65 per mmbtu(million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.
Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi
buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion
setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 per
mmbtu(untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika
dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38
per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari
kekuranganpengeluaran).

Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi
penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi
minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan
tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama
kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak
menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang
rapat dengan pemerintah.

Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan
perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan
komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita
berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi
memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan
berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan
dengan kos sara hidup yang meningkat.

PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi
begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula
subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.

Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan
perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja
dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan
untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah
menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka
sentiasa gagal.

Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi
adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat
dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan
hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang
tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.

Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan
balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih
kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU
sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di
mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil
RM 126juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada
penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta
pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.

Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru
dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya
untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi
kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka
yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi
sektor swasta.

Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan
pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen
kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita
ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri
telekomunikasi.

Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat
dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita
sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari
bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana
awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal
berkuasa.

Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannya
bertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah
membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak
boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam
masa setahun lagi.

 

Anwar Ibrahim
Ketua Pembangkang

Isu Ketuanan Melayu: Jangan Lari dari Persoalan Rekod Pembelaan Rakyat Terbanyak

KENYATAAN MEDIA
7 DISEMBER 2010

 

Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat berkenaan isu ketuanan rakyat, terutamanya dari kalangan pimpinan Umno.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada pimpin an Umno, PERKASA dankaum-kerabat mereka yang tidak pernah gagal mengingatkan rakyat Malaysia bahaya politik perkauman sempit. Dalam satu minggu yang
lepas, segala usaha pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak melalui kempen 1Malaysia yang menelan belanja puluhan juta ringgit menggunakan wang rakyat; hancur musnah apabila pimpinan-pimpinan Umno dan PERKASA
menunjukkan kembali wajah sebenar mereka. Tidak kira berapa banyak wang yang dibayar kepada perunding antarabangsa sekalipun, budaya perkauman sempit yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional tidak akan
hilang kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Pun begitu, saya melahirkan rasa kesal kerana Umno dan PERKASA tidak mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh KEADILAN dalam Kongres Nasional Ke-7 baru-baru ini. Gagasan tersebut, seperti yang
disampaikan oleh Presiden parti Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu. Persoalan yang dilontarkan oleh Dato' Seri Dr Wan Azizah adalah mudah;
iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?

Kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib
orang Melayu. Konsep "Ketuanan Melayu" yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan
politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas.

Sebab itu, saya menganggap bahawa tindakan Umno dan PERKASA mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan "Ketuanan Melayu" sebagai "Ketuanan Sultan" adalah satu tindakan yang bacul di pihak
Umno dan PERKASA. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi
Raja-Raja Melayu. Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno. Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka. Ada beza yang besar diantara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.

Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas
mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan.

Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) "Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153"; dan Fasal 1 Perkara a(ii) "Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan".

Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik "Ketuanan Melayu" ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Dato' Seri Dr Wan Azizah Ismail – iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir.

Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang bermaruah?

Apakah "Ketuanan Melayu" yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?

Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk menjadi pemimpin antarabangsa?

Persoalan yang dibawa oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Kaedah "Ketuanan Melayu" yang dibawa oleh Umno dan PERKASA bukan sahaja terbukti gagal membina jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak (terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu) terabai.

Sehingga kini, selepas 3 dekad "Ketuanan Melayu", 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40% paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selepas 3 dekad "Ketuanan Melayu", rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana bebas) tidak disentuh. Umno dan PERKASA tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.

Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik "Ketuanan Melayu" ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat. Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat melalui bangsa yang bermaruah – kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan PERKASA.

 

Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agung

Kenyataan Ketua Cabang Bayan Baru YB Sim Tze Tzin berkenaan Zahrain

KENYATAAN MEDIA
1hb Disember 2010


Parti Keadilan Rakyat Cabang Bayan Baru berasa kesal ke atas kenyataan Dato Seri Zahrain yang mendesak pingat Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Wan Azizah ditarik balik.


Parti KEADILAN Bayan Baru berpendapat bahawa ini adalah politik murahan Zahrain yang sekarang ini menjadi pencacai UMNO dan Barisan Nasional. Beliaulah pengkhianat besar dalam sejarah politik Malaysia.


Beliau mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada beliau sebagai ahli Parlimen di bawah Parti KEADILAN dengan melompat keluar parti. Beliau mengkhianati prinsip perjuangan Parti KEADILAN yang memperjuangkan politik pelbagai kaum dan keadilan untuk semua. Beliau mengkhianati rakyat kerana tidak lagi bekerja untuk kawasan Bayan Baru tetapi asyik berkali-kali mengikut Dato Seri Najib ke Amerika Syarikat. Beliau mengkhianati persahabatan Dato Seri Anwar yang lama. Beliau mengkhianati pingat "Dato Seri" yang dianugerahkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang berprinsipkan politik pelbagai kaum Pakatan Rakyat.


Kalau ingin dipertikaikan kelayakan penerimaan pingat, Zahrain harus dilucutkan pingat beliau terdahulu.
Parti KEADILAN Cabang Bayan Baru walau bagaimanapun tidak ingin memperlekehkan isu pingat. Pingat penghargaan adalah hak dan kuasa Raja-raja.


Parti KEADILAN Cabang Bayan Baru ingin mengingati semua pemimpinan UMNO-Barisan Nasional dan juga Zahrain jangan memainkan sentimen perkauman sempit. Jangan jadi jaguh kampung melaung-laungkan sentimen perkauman tetapi Negara tergadai.


Parti KEADILAN memperjuangkan prinsip "Ketuanan Rakyat" dan Keadilan untuk Semua. "Ketuanan Melayu" adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah pimpinan UMNO yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi.


Selama 53 tahun mereka berkuasa, nasib Orang Melayu, Bumiputra Sabah dan Sarawak, orang India, Orang Asli dan segelintir Orang Cina masih tetap terabai. Pakatan Rakyat memperjuangkan "Ketuanan Rakyat" untuk membela nasib semua rakyat Malaysia yang terpinggir bukan pembesar-pembesar UMNO-BN.


Zahrain harus bertaubat. Kalau beliau betul-betul memperjuangkan hak Melayu, mengapa pula lompat parti akibat tidak dapat kontrak? Sedangkan ramai lagi rakyat yang susah di kawasan Parlimen Bayan Baru. Apakah program dan khidmat yang beliau lakukan kepada rakyat sejak menjadi ahli Parlimen? Rakyat Bayan Baru sudah tertanya-tanya di mana Zahrain sekarang. Mereka asyik Nampak beliau di Amerika bersama Najib, tetapi tidak pula Nampak di kawasan mereka.

 

Sim Tze Tzin
Ketua Cabang Bayan Baru

 
Muka 1 daripada 53