7 September 2010
Pada 6 September 2010 Biro Politik Parti Keadilan Rakyat dalam mesyuaratnya telah meneliti setiap satu surat rayuan yang telah dihantar oleh 12 anggota yang terlibat dalam penubuhan Parti Cinta Sabah yang sebelumnya mereka telah disabitkan kesalahan oleh Jawatankuasa Disiplin Parti dengan digantung keanggotaan parti selama setahun berakhir 3 Jan 2011.
Setelah meneliti kesemua pemohonan rayuan, Biro Politik berpendapat bahawa keterlibatan 12 anggota tersebut sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Cinta Sabah (PCS) adalah tindakan yang serius. Serentak dengan itu Parti memandang berat perkara ini dan tidak akan bertoleransi dengan sesiapa yang didapati terlibat dalam aktiviti yang serupa.
Setelah dikaji semula hujah-hujah rayuaan yang diterima, kepimpinan parti mendapati setiap mereka mengakui terbabit dan dengan jelas melafazkan kekesalan atas kesilapan mereka dan memberi jaminan bersedia mendokong perjuangan parti seterusnya jika diberi pertimbangan oleh parti.
Begitupun kepimpinan parti berpendapat mereka yang merupakan pemegang jawatan utama dalam pendaftaran PCS, iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agong , tidak boleh dilepaskan tanggungjawab dalam kesalahan ini.
Oleh yang demikian, Biro Politik dengan kuasa yang dimandat oleh Majlis Pimpinan Pusat berpendapat hukuman penggantungan keanggotaan ke atas 3 anggota tersebut dikekalkan. Mereka ialah Daniel John Jambun, Awang Ahmad Shah & Moses Iking.
Untuk 9 anggota yang lain iaitu Nicholas James Guntobon, Paul Kerangkas, Slyvester Mujim, Innocent Makajil, Nasir Sami, Harry Manisit, Rubbin Guribah, Gosibin Yosundang dan Guandee Kohoi dilepaskan daripada penggantungan setahun dengan amaran keras tidak mengulangi kesilapan sama. Mereka juga diingatkan untuk menunjukkan kelakuan baik pada sepanjang menjadi anggota parti. Parti tidak akan ada sekelumit keraguan untuk memecat sebarang individu sekiranya perkara ini berulang.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agung
| < Sebelum | Seterusnya > |
|---|

















