Pembentukan satu lagi jawatankuasa kabinet yang diketuai Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai enam menteri serta badan bukan kerajaan (NGO) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi bukan penyelesaian bagi masalah harga barang naik yang melanda negara kita.

 

KEADILAN ingin mengingatkan Timbalan Perdana Menteri bahawa PEMANDU dalam NKRA ketujuh “Meringankan kos sara hidup” juga telah menubuhkan satu jawatankuasa pada Julai 2011, jawatankuasa ini juga dipengerusikan oleh TPM. Apakah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan selepas berjuta-juta ringgit dibelanjakan dalam makmal tersebut? Berapakah banyak lagi jawatankuasa yang ingin ditubuhkan?

 

Einstein pernah berkata “Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang-ulang tetapi mengharapkan hasil yang berbeza”. (Insanity is doing the same thing over and over again but expecting different outcome).

 

Hakikatnya, fenomena harga barang naik pada masa sekarang adalah kegagalan dasar ekonomi kerajaan UMNO/BN. Pelaksanaan cukai GST, pemotongan subsidi, pengurangan rebat tarif elektrik, kenaikan tol lebuh raya, dan kenaikan harga tiket pengangkutan awam semua diputuskan oleh kerajaan UMNO/BN sendiri.

 

KEADILAN tidak menaruh harapan kepada jawatankuasa baru ini kerana pertama sekali, kerajaan pusat akan terus dasar pemotongan subsidi kepada rakyat miskin dengan membatalkan RM150 juta subsidi elektrik, RM528 juta subsidi beras, RM950 juta subsidi minyak masak, dan RM150 juta subsidi tepung gandum pada tahun 2016.

 

Kedua, kerajaan juga telah membuat pengumuman bahawa harga gas asli akan dinaikkan hampir 10% atau RM1.50 untuk setiap MMBtu mulai Januari 2016. Ini sudah pasti akan melonjakkan lagi tarif elektrik kerana separuh penjanaan elektrik di negara kita menggunakan gas asli sebagai bahan api. Kesan daripada kenaikan harga gas asli dan kenaikan tarif elektrik ialah kos pengilangan dan pembuatan yang lebih tinggi; akibatnya, barang akan dijual pada harga yang lebih tinggi lagi.

Ketiga, kerajaan juga dijangka akan menaikan kadar tol di 8 lebuhraya termasuk Lebuhraya Utara Selatan.

 

KEADILAN menjangkakan satu ‘tsunami inflasi’ yang bakal menimpa negara kita pada tahun 2016 dengan pemotongan pelbagai subsidi oleh kerajaan pusat. Oleh itu, pembentukan jawatakuasa yang baru serta mesyuarat dan dialog yang berterusan tidak akan menyelesaikan masalah harga barang naik selagi dasar ekonomi UMNO/BN tidak berubah.

 

Kerajaan pusat harus mencontohi Kerajaan Selangor yang mementingkan rakyat. Di Selangor, kerajaan negeri yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah mengumumkan pengecualian cukai taksiran kepada rumah kos rendah dan rumah kampung bagi tahun 2016; pengecualian bayaran lesen juga diberikan kepada peniaga kecil seperti peniaga pasar malam, peniaga pasar tani dan penjaja untuk tahun 2016. Langkah-langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat negeri Selangor. Ini adalah langkah-langkah konkrit meringankan beban rakyat.

 

 

Sim Tze Tzin

Pengarah Strategi

Parti Keadilan Rakyat (Keadilan)

Ahli Parlimen Bayan Baru