Kita dan saya percaya rakyat di Kuantan sambut baik penutupan sementara atau moratorium tiga bulan ke atas operasi pelombongan bauksit di Kuantan.

Namun pemantauan rapi wajib dilakukan supaya moratorium benar-benar dipatuhi dan tidak hanya indah khabar dari rupa.

Malah pihak Kementerian tidak boleh berlepas tangan hanya kepada pihak industri untuk bertindak mengawal pencemaran. Sebaliknya usaha yang menyeluruh dan segera daripada semua pihak perlu digerakkan supaya pencemaran dapat dikawal dan dicegah sepenuhnya. Sebagaimana yang saya tegaskan dalam kenyataan semalam, kepentingan kemanusiaan dan alam wajib menjadi keutamaan tertinggi dalam apa juga tindakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Wan Jaafar hari ini berkata operasi bauksit dihentikan selama tiga bulan bermula 15 Januari untuk mengawal pencemaran. Jika pencemaran masih gagal dikawal selepas tiga bulan maka moratorium akan dilanjutkan.

Menariknya, Menteri sendiri akui laut tercemar (laut berwarna merah) kerana stok simpanan bauksit tidak diangkut keluar dari pelabuhan, bertentangan dengan penjelasan sebelumnya oleh Konsortium Pelabuhan Kuantan (KPC).

Saya nasihatkan pihak yang terlibat untuk menyemak insiden yang berlaku sebelum mengeluarkan jawapan yang tidak tepat.

Rakyat tidak mudah dikelirukan dan akan terus memantau sehingga isu bauksit ini selesai.

Syed Ibrahim Syed Noh
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat