Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengumumkan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi calon lepasan STPM/Setaraf untuk sesi akademik 2015/2016 semalam.

Berulang setiap tahun, ramai pelajar lepasan STPM yang berkelayakan gagal mendapat tempat ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Begitu juga ramai pelajar yang cemerlang gagal memasuki kursus yang dipilih. Ini menjadi satu trajedi kepada masa depan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada keluarga yang kurang berupaya menampung kos pendidikan IPTS yang tinggi. Kami jangkakan keadaan ini akan berulang tahun ini juga.

Untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik tersebut, pada tahun 2014, Parti KEADILAN telah melancarkan laman web Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP)untuk membantu. Kami mendapat sambutan hangat akibat ramai pelajar gagal mendapat tempat ke IPTA atau mendapat kursus yang amat mengecewakan. Sepanjang 10 hari pembukaan laman web HEAP, kami telah mendapat aduan daripada 254 pelajar dari pelbagai kaum, negeri dan agama, terutamanya pelajar dari keluarga berpendapatan rendah. Pengadu-pengadu terdiri daripada 2 kategori besar:

 

  1. Pelajar Cemerlang dapat kursus luar pilihan & luar biasa (54 kes)

 

Contoh 1: Teoh Nien Hwei dari Pulau Pinang mendapat PNGK Matrikulasi 4.0, SPM 10A, memohon kursus Farmasi dan Pergigian. Tetapi beliau ditawarkan Sains dan Pengurusan Tumbuhan dari UNIMAS.

 

Contoh 2: Pelajar Hazig Farhan bin Mohd Helmy Rizal dari Ampang Selangor, PNGK 3.42 memohon kursus undang-undang, tetapi ditawarkan kursus Perlancongan. Kursus yang langsung beliau tidak berminat.

 

  1. Pelajar Cemerlang gagal dapat sebarang tawaran (52 kes)

 

Contoh 1: Pelajar Ginitha A/P Thiyagarajan dari Selangor mendapat keputusan Matrikulasi 3.96, SPM 10A memohon kedoktoran dan doktor pergigian, tetapi langsung tidak mendapat apa-apa tawaran. Oleh sebab Matriks hanya diiktiraf IPTA, dan kurang pengiktirafan di IPTS, maka Ginitha menemui jalan buntu. Mungkin tidak dapat melanjutkan pelajaran lagi.

 

Contoh 2: Pelajar Muhammad Aizuddin bin Badrol Hisham mendapat Diploma dari politeknik tempatan dengan PNGK 3.61, memohon kejuruteraan awam dari IPTA, tetapi gagal mendapat sebarang tawaran.

 

Selepas kami membantu membuat rayuan kepada UPU, lebih kurang 25% daripada pelajar yang kurang bernasib baik tersebut mendapat penawaran yang baru.

Memandangkan kejayaan tahun lepas, kami ahli-ahli Parlimen, ADUN dan Angkatan Muda KEADILAN ingin meneruskan usaha HEAP untuk tahun 2015.

Kami menggalakan semua pelajar yang tidak puas hati dengan sistem UPU menghantarkan aduan kepada kami melalui borang di laman web. Kami janji akan meneliti semua kes-kes yang dihantar. Kami akan mengenalpasti kes-kes yang kritikal akan diutamakan dan bantuan diberi walaupun kemampuan dan bidang kuasa kami sebagai ahli Parlimen adalah terhad.

Kami akan menggunakan 3 strategi utama:

  1. Pertemuan – bertemu dengan pihak UPU untuk mendengar penjelasan tentang system yang digunapakai
  2. Aduan – menyerlahkan kes-kes serius yang diterima kepada pihak UPU, Universiti dan Pihak Naib Canselor.
  3. Perubahan – kami akan menganalisis data-data yang diterima dan mencadangkan reformasi kepada sistem yang songsang

Kaedah kami amat berbeza dengan sesetengah parti politik kerajaan yang hanya berulang-ulang merayu kepada UPU setiap tahun, tanpa memikirkan reformasi yang perlu dijalankan terhadap sistem yang songsang.

Hakikatnya, masalah yang sama berulang saban tahun sejak zaman persekolahan kami 20 tahun yang lalu, membuktikan kelemahan yang serius dalam sistem UPU. Ia perlu perubahan yang segera.

Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP)

Laman web ini dibuka untuk semua pelajar lepasan STPM/setaraf yang ingin mengadu kepada ahli-ahli Parlimen KEADILAN. Mereka hanya perlu mengisi borang aduan di laman HEAP.

https://heap.keadilanrakyat.org

Sejurus selepas kami menerima aduan daripada pelajar-pelajar, kami akan mengumpulkan data-data yang kami terima untuk dianalisis. Tarikh tutup penghantaran aduan kepada kami adalah 21 Ogos 2015.

Harus ingat,  mereka wajib merayu kepada UPU sebelum 21 Ogos 2015 melalui laman web UPU.http://upu.moe.gov.my/web/pendaratan.php Merayu kepada laman web HEAP adalah kaedah tambahan sahaja.

Ahli-ahli Penal HEAP termasuk:

YB Sim Tze Tzin – MP Bayan Baru

YB Nik Nazmi – Exco Kerajaan Negeri Selangor

YB Wong Chen – MP Kelana Jaya

YB Manivannan – MP Kapar

Sdr Akmal Nasir – Pengarah Strategi AMK Pusat