KEADILAN KECAM PENANGKAPAN RAFIZI

Kita dikejutkan dengan penangkapan YB Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan merangkap Naib Presiden serta Setiausaha Agung KEADILAN di hadapan pintu keluar Parlimen petang tadi. Saya difahamkan beliau ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi berkaitan sebuah dokumen yang berada di bawah akta tersebut.

KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tangkapan YB Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi dengan cara ala Gestapo ini, di mana YB Rafizi telah ditarik keluar dari kereta beliau oleh sekumpulan sepuluh orang anggota polis seolah-olah YB Rafizi seorang penjenayah berat atau pembunuh yang cuba melarikan diri.

KEADILAN percaya tangkapan ini berkemungkinan besar berkaitan dokumen yang ditunjuk YB Rafizi di dalam satu sidang media beberapa hari lalu, yang berkaitan laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB yang bakal dibentang di Parlimen pada Khamis ini. Setelah laporan akhir itu dibentang di Parlimen, dokumen tersebut tidak akan lagi diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi. Oleh itu, tindakan menangkap YB Rafizi dengan cara ini adalah keterlaluan.

Pendirian KEADILAN mengenai Akta Rahsia Rasmi adalah konsisten dan jelas: KEADILAN menentang penggunaan akta kuku besi ini untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan musuh-musuh politik rejim UMNO-Barisan Nasional.

Tatkala negara dilanda pelbagai masalah integriti seperti urus tadbir 1MDB dan skandal “RM2.6 bilion”, ahli-ahli politik seperti YB Rafizi, yang cukup dikenali rakyat sebagai seorang yang berani melawan kebobrokan dan salah guna kuasa pemerintah untuk selamatkan Malaysia, sepatutnya bukan ditangkap tetapi dirai kerana bangkit mempertahan integriti demokrasi negara kita.

Oleh itu, KEADILAN menggesa agar YB Rafizi Ramli dibebaskan pada kadar segera.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN