Walaupun Malaysia telah menduduki kerusi Majlis Keselamatan Pertububan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kedudukan itu belum diterjemahkan menjadi satu suara yang lantang untuk membela nasib rakyat tertindas di seluruh dunia terutamanya di Palestin, Syria dan Rohingya.

Kebelakangan ini, rejim Israel meningkatkan tindakan agresif mereka dengan menyerbu ke dalam Masjid Al-Aqsa dengan alasan mahu mengasingkan bahagian yang didakwa milik penganut Yahudi dari keseluruhan Masjid Al-Aqsa. Ini satu tindakan yang tidak menghormati kedudukan Masjid Al-Aqsa sebagai salah satu masjid paling suci bagi penganut agama Islam di seluruh dunia.

Lantaran itu, satu gabungan Selamatkan Al-Aqsa telah ditubuhkan dan dipelopori oleh aktivis-aktivis Palestin di negara ini. Satu demonstrasi mengutuk pencerobohan Al-Aqsa oleh rejim Zionis ini juga akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat, 2 Oktober 2015 selepas solat Jumaat.

KEADILAN menyokong sepenuhnya perjuangan pembebasan rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa dari dicerobohi. Saya telah mengeluarkan Pekeliling kepada semua anggota dan pimpinan untuk turut bersama-sama hadir dalam demonstrasi pada 2 Oktober 2015.

Pada masa yang sama, YB Gooi Hsiao Leung, Ahli Parlimen Alor Setar dan Pengerusi Biro Antarabangsa KEADILAN akan membawa isu ini kepada Menteri Luar, Dato’ Seri Anifah Aman agar Malaysia menggunakan kedudukannya di dalam Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi rakyat Palestin dan mempertahankan Al-Aqsa dari dicerobohi.

Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia untuk menyertai demonstrasi esok demi mengangkat perjuangan sejagat membela rakyat Palestin yang telah ditindas sekian lama.

 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN