KEADILAN Mengecam Kenyataan Kuantan Port Consortium, Dakwaan Pencemaran Di Pelabuhan Kuantan Adalah Benar

Biro Alam Sekitar KEADILAN merasa kecewa dengan dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Operasi Kuantan Port Consortium (KPC) Datuk Khasbullah A Kadir yang dilihat sebagai cubaan untuk mengelakkan diri daripada tanggungjawab syarikat tersebut dalam isu pencemaran laut dan sungai di sekitar Pelabuhan Kuantan akibat daripada aktiviti perlombongan bauksit.

KPC dalam kenyataannya cuba untuk melepaskan tanggungjawab dengan membuat dakwaan bahawa sungai yang mengalir ke laut di kawasan Pantai Balok dan Pantai Batu Hitam tidak bersambung dengan Sungai Pengorak. Namun, ini tidak bermaksud pencemaran tidak berlaku di kawasan Pelabuhan Kuantan, malahan di Sungai Pengorak.

Maka, saya melampirkan bersama gambar yang diambil di Pelabuhan Kuantan dan mencabar pihak KPC memberi penjelasan tentang keadaan yang berlaku di dalam gambar ini. Adakah pihak KPC berpendapat bahawa keadaan pelabuhan yang digambarkan di bawah ini tidak mencemarkan air laut di sekitar Pelabuhan Kuantan?

Saya turut ingin mengingatkan pihak KPC bahawa pendedahan telah dibuat pada bulan Oktober dimana air cucian sekitar Pelabuhan Kuantan yang mengandungi bauksit dibiarkan mengalir ke dalam laut dengan begitu sahaja. Bukan kali pertamanya pencemaran berlaku di pelabuhan dan adalah amat tidak bertanggungjawab bagi pihak KPC membuat rumusan bahawa pencemaran di Pantai Balok bukannya berpunca daripada pencemaran di sekitar pelabuhan.

Saya juga ingin menuntut penjelasan KPC tentang laporan kandungan merkuri setinggi 0.0224 di Sungai Pengorak yang dilaporkan sebelum ini. Seandainya perlombongan bauksit bukan puncanya pencemaran logam berat di sungai ini, apakah punca sebenar yang mengeluarkan sisa toksik ke dalam Sungai Pengorak?

Adakah ini bermaksud terdapat industri lain atau aktiviti lain yang sedang mencemarkan laut dan sungai di sekitar Kuantan tanpa disedari kita? KPC wajib menjawab kemusykilan ini dengan segera.

KEADILAN menegaskan bahawa semua segala aktiviti perlombongan perlu dihentikan dengan kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk. Kami juga mendesak Menteri Besar Pahang Adnan Yaakob yang kelihatan membisu dalam isu bauksit supaya menyelesaikan isu ini dengan segera. Rakyat Pahang malahan seluruh Malaysia masih menanti-nantikan jawapan daripada MB Pahang yang masih membisu sehingga sekarang ini.

Lee Chean Chung
Ketua Biro Alam Sekitar KEADILAN
Ketua Penerangan AMK Pusat
ADUN Semambu