25 Februari 2016

 

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh tidak seharusnya bersembunyi di sebalik alasan bahawa penamatan perkhidmatan 156 orang profesor di universiti awam baru-baru ini ialah kuasa autonomi pihak universiti, kerana keputusan tersebut jelas berkait langsung dengan kesuntukan kewangan ekoran pemotongan peruntukan kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam Bajet 2016 kerajaan pusat. Pemotongan Bajet IPTA adalah kegagalan terbesar dalam Bajet 2016, di mana kualiti universiti dan mahasiswa dimangsakan.

 

Dalam Bajet 2016, pemotongan peruntukan kepada IPTA adalah sebanyak RM1.4 bilion, dan antaranya Universiti Malaya mengalami pemotongan terbesar iaitu pengurangan 27.3% berbandingan dengan peruntukan tahun lepas.

 

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sebelum ini telah menyeru kerajaan agar tidak memotong peruntukan kepada IPTA tetapi seruan itu langsung tidak diendahkan. Ahli-ahli Parlimen kami juga cuba menghalang bajet yang tidak mesra rakyat itu daripada diluluskan di Parlimen tetapi tidak berjaya kerana sokongan kuat daripada Ahli Parlimen BN terhadap Bajet 2016. Natijahnya, yang menjadi mangsa sekarang ialah kaum pelajar kita di IPTA kerana bilangan profesor telah berkurangan, dan di antara profesor yang dipecat itu sudah tentu termasuk mereka yang sudah bersara tetapi sangat berpengalaman.

 

Pemotongan bajet kepada IPTA adalah keputusan yang tidak bijak kerana ia menjejaskan qualiti pendidikan tinggi negara kita, dan seterusnya menimbulkan sekatan terhadap kemaraan kita menuju negara maju.

 

Pada masa sekarang, pergantungan IPTA kepada kerajaan adalah pada kadar 85-90%. Kerajaan pusat telah menyasarkan untuk menurunkan pergantungan IPTA kepada kerajaan sehingga 70% sahaja menjelang 2020. Dasar seperti ini adalah tidak munasabah dan tidak bertanggungjawab kerana ini bermaksud memindahkan beban kewangan daripada pihak kementerian/kerajaan kepada pihak universiti masing-masing. Berikutan itu, IPTA kita akan menyimpang daripada sasaran pendidikan mereka dan sibuk dengan usaha mencari pendapatan baru seperti membuka hotel dan sebagainya, seperti apa yang berlaku sekarang.

 

Sekali lagi ingin KEADILAN menyeru Kementerian Pengajian Tinggi agar tidak mengorbankan kepentingan pendidikan golongan muda dan kaum pelajar akibat kelemahan pengurusan kewangan kerajaan pusat seperti kerugian yang disebabkan oleh syarikat 1MDB.

 

Kerajaan pusat kini masih boleh membantu para pelajar IPTA yang mula ditimpa impak negatif ekoran kesilapan dalam Bajet 2016 dengan membatalkan pemotongan peruntukan kepada IPTA. Langkah itu boleh dilaksanakan melalui pemotongan kos operasi kerajaan, umpamanya pengurangan saiz kabinet terutamanya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang kini mempunyai 11 orang menteri dalam jabatan itu, belum lagi mengambil kira timbalan menteri di JPM, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri sendiri. Adalah lebih baik kos operasi gergasi di JPM dipotong sedikit untuk memanfaatkan golongan muda dan kaum pelajar.

 

Sim Tze Tzin

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat

merangkap Ahli Parlimen Bayan Baru