Di dalam satu temubual panjang yang telah disiarkan akhbar The Star semalam, Menteri UMNO, Rahman Dahlan, telah mengakui bahawa satu draf kertas dakwaan yang telah tersebar luas di internet mungkin sememangnya sah dan Perdana Menteri Najib Razak terpaksa mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan.

Pendedahan oleh Menteri ini bukan sahaja membuktikan bahawa ada kebenaran juga di dalam kisah itu – walaupun mula-mulanya dinafikan – tetapi ia juga menunjukkan penyalahgunaan kuasa sekali lagi oleh Perdana Menteri semata-mata untuk kekal di atas.

Rahman Dahlan dengan penuh lagak memberi alasan bahawa Perdana Menteri wajar berbuat begitu demi menghentikan satu tindakan jenayah dikenakan ke atas beliau. Adakah kita perlu percaya bahawa Perdana Menteri boleh lakukan ikut suka beliau, sedangkan sebarang tindakan hanya akan diambil oleh pihak pendakwaan yang berkuasa?

Jika benar sekalipun Perdana Menteri mungkin dikenakan tindakan undang-undang melalui jalan yang sah – iaitu tindakan mahkamah – kenapa Perdana Menteri boleh menghentikannya sesuka hati hanya kerana beliau tidak berkenan? Jika Peguam Negara tidak mempunyai bukti yang kukuh, buktikanlah perkara itu di mahkamah.

Tindak-tanduk Najib yang bermatlamat menjaga kesejahteraan politik beliau kini membawa kesan-kesan yang buruk kepada negara terutamanya dengan kemusnahan institusi-institusi awam termasuklah Jabatan Peguam Negara, SPRM, BNM dan juga Polis negara, yang mana kesemuanya telah dikompromi demi politik.

Perlu saya ingatkan di sini bahawa sehingga kini tidak satu bukti pun dikeluarkan oleh Rahman Dahlan dan kerajaan BN, bahawa terdapat dokumen yang telah diubah berkenaan 1MDB atau bukti bahawa terdapat percubaan untuk menggulingkan kerajaan. Kita juga perlu ingat bahawa sebarang pendedahan jenayah berkenaan Perdana Menteri tidak patut disamakan dengan serangan ke atas kerajaan mahupun negara.

Malahan, Perdana Menteri sepatutnya mempunyai tanggungjawab ketelusan yang tertinggi di negara ini, tetapi di dalam kes ini kita hanya dapat lihat yang sebaliknya.

Pendedahan terbaru ini, dan juga persoalan yang masih tidak terjawab berkenaan pemindahan duit sebanyak RM2.6 billion ke akaun peribadi Perdana Menteri telah mengundang lebih banyak kontroversi yang memburukkan nama negara. Kita jelas boleh lihat betapa terdesaknya mereka untuk menjaga kepentingan sendiri dan dengan itu telah mengorbankan kemakmuran negara.

Oleh itu saya hendak menyarankan agar semua orang menunjukkan ketidakpuashatian terhadap penyalahgunaan kuasa yang melampau ini, dan pastikan kerajaan tahu bahawa kita mahukan tahap akauntabiliti yang tinggi di dalam semua perkara.

Saya juga hendak menjemput kepada rakyat Malaysia agar menunjukkan sokongan kepada Bersih 4.0 yang sedang menumpukan usaha untuk memperkasakan demokrasi negara dan institusi-institusi awam, serta memanggil undi tidak percaya kepada Najib Razak secara terus daripada rakyat Malaysia.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

17 Ogos 2015