KEADILAN merasa terkejut dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa permohonan pekerja asing akan diluluskan dalam masa 48 jam.

 

Ahmad Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan semalam bahawa semua permohonan untuk mengambil pekerja asing perlu dibuat secara dalam talian dan semua permohonan yang memenuhi syarat-syarat akan diluluskan dalam 48 jam.

 

Namun, saya mendapati bahawa Ahmad Zahid dalam pengumumannya semalam tidak memaklumkan kepada orang ramai bahawa syarikat mana yang “dihadiahkan” konsesi kerajaan ini dan berapakah kos yang akan dikenakan terhadap majikan yang ingin membuat permohonan.

 

Persoalan yang ditimbulkan, adakah konsesi kerajaan bagi menguruskan permohonan pekerja asing dalam talian ini dibuat melalui tender terbuka dan syarikat manakah yang mendapat konsesi kerajaan ini?

 

Awal tahun ini, syarikat Bestinet Sdn. Bhd. milikan Bekas Menderi Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Azmi telah memonopoli semua pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing dan permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) melalui sistem FWCMS. Adakah pekara yang sama akan berlaku kali ini?

 

Sebelum ini, syarikat Real Time Networking milikan adik Zahid Hamidi telah dilaporkan sedang membida untuk menguruskan kemasukan 1.5 juta pekerja warga Bangladesh secara sistem atas talian. Timbul kemusykilan mengapa kerajaan UMNO Barisan Nasional membuat keputusan secara terburu-buru mewajibkan semua permohonan pekerja asing dibuat secara atas talian dan adakah wujudnya percanggahan kepentingan (conflick of interest) seandainya Zahid Hamidi sebagai Menteri KDN meluluskan konsesi kerajaan kepada syarikat adiknya?

 

Saya turut merasa terkilan dengan pengumuman Zahid bahawa permohonan pekerja asing akan diluluskan dalam masa 48 jam sahaja. Kelulusan permohonan pekerja asing dalam masa 2 hari sahaja kelihatan terlalu tergesa-gesa dan dijangka akan menimbulkan pelbagai isu berkenaan dengan keselamatan negara.

 

Dengan ini, saya mendesak Kementerian Dalam Negeri menjawab soalan-soalan saya yang berikut:

  1. Syarikat manakah yang akan menguruskan semua permohonan warga asing melalui talian ini?
  2. Adakah konsesi kerajaan ini diberi berdasarkan sistem tender terbuka?
  3. Berapakah nilai kontrak tersebut dan berapakah kos yang akan dikenakan kepada majikan yang ingin membuat permohonan?

 

 

Lee Chean Chung

ADUN Semambu

Ketua Penerangan AMK Pusat