Menitis air mata ketika pertama kali mendengar kisah pengorbanan Baginda Rasulullah S.A.W dan perjuangan dakwah Baginda ke kota Taif. Sirah Baginda penuh dengan sejarah hiba dan sayu.

Rasulullah S.A.W ditemani Saidina Zaid Ibnu Harithah berjalan menempuhi panas terik matahari melebihi 90km.

Hawa panas padang pasir tidak sedikit pun melemahkan semangat juang mereka malah terus mengukuhkannya. Rasulullah S.A.W berdakwah dan bertemu dengan pemuda-pemuda Bani Tsaqif. Bukan sahaja dakwah Baginda tidak diterima, malah diherdik dengan kasar oleh pemuda-pemuda Bani Tsaqif. Tidak cukup dengan itu mereka mengupah kanak-kanak nakal yang membaling dan menghujani batu kepada Baginda sehingga kaki Baginda luka dan berdarah.

Apabila Rasulullah S.A.W merintih, Jibril diutuskan oleh Allah S.W.T dan menawarkan untuk menelangkupkan bukit dan memusnahkan kota Taif. Rasulullah S.A.W tidak membenarkan Jibril untuk bertindak malah menguatkan iltizam untuk bersabar terhadap mereka. Baginda hanya mendoakan supaya Allah memberikan petunjuk kepada penduduk Taif dan supaya Allah akan melahirkan dari zuriat mereka orang-orang yang beriman.

Setiap kali datangnya 12 Rabiul Awal, umat Islam seluruh dunia menyambut tarikh junjungan mulia Rasulullah S.A.W dilahirkan. Namun perlu diingati bahawa tanggungjawab mengingati Baginda haruslah setiap waktu. Ini selari dengan Firman Allah dalam Al Ahzab ayat 56 yang menganjurkan kita untuk sering berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah.” (Al-Ahzab: 21).

Terdapat banyak pedoman yang kita boleh amati dan perhalusi dari peristiwa Kota Taif. Saya menyeru semua dan diri saya sendiri untuk sama-sama mengambil teladan dari Rasulullah S.A.W dalam mengamalkan pendekatan dakwah serta urusan yang lain untuk mengambil sikap pemaaf dan penyayang. Kita jauhi dari sikap kasar, menghukum dan membenci. Ingatlah bahawa Islam adalah agama rahmat buat seluruh alam.

“Maka dengan rahmat Allahlah kamu menjadi lemah lembut terhadap mereka dan jika kamu berkeras hati niscaya mereka akan lari darimu.” (Ali-‘Imran: 159)

Perjuangan dalam menegakkan keadilan di muka bumi Allah ini penuh dengan rintangan dan cubaan namun apalah jika ianya dibandingkan dengan pengorbanan Rasulullah S.A.W.

Marilah kita terus mengukuhkan iltizam, memperhalusi semula kaedah dalam berdakwah dan berkomunikasi dengan menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai suri teladan yang terbaik.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN DAN PENGARAH PILIHANRAYA KEADILAN