KEADILAN hari ini menggesa pihak yang ingin menganjurkan“Himpunan Rakyat Bersatu” atau “Himpunan Maruah Melayu” yang dijadualkan berlangsung pada 16 September 2015 untuk tumpu kepada penyelesaian kemelut ekonomi dan politik negara yang dihadapi oleh rakyat.

Sementara penganjuran perhimpunan aman dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Perhimpunan Aman 2012 namun tujuan dan motif perhimpunan atas dasar perkauman tidak wajar dilakukan.

Ia boleh mengakibatkan kebejatan keharmonian dan kaum, apatah lagi dicadang untuk dilakukan di kawasan majoriti kumpulan etnik Cina iaitu Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Lebih malang lagi, dilaporkan ada pimpinan UMNO yang menggesa ahli-ahlinya untuk turut serta perhimpunan berkenaan.

Pihak polis wajib bertindak untuk menghentikan sebarang tindakan provokasi perkauman seperti yang dipaparkan oleh poster-poster di Kuala Lumpur yang berkait dengan himpunan berkenaan.

Malaysia sedang hadapi krisis kepimpinan. Skandal yang tidak berkesudahan. Ekonomi yang terus merudum. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia berganding bahu untuk bangkit mendepani kepincangan yang merencatkan masa depan kita.

Himpunan ‘baju merah’ dengan motif perkauman, jika dibiarkan, boleh membawa kejatuhan kepada nilai masyarakat dan kewarasan.

Atas dasar itu, KEADILAN tidak membenarkan ahli-ahlinya menyertai himpunan berkenaan.

Hari ini KEADILAN turun ke Bukit Bintang menghulurkan mesej keamanan kami kepada semua kumpulan etnik untuk kita sama-sama menyelamatkan negara sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN