Dalam banyak pertuduhan yang tidak terjawab kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, rombakan kabinet bukanlah satu petanda yang baik buat UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Reputasi negara yang semakin merudum tidak dapat diselamatkan dengan hanya membuat penukaran beberapa menteri kabinet termasuklah pemecatan Timbalan Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, penukaran ini mungkin satu-satunya cara untuk menyelamatkan status Perdana Menteri yang semakin tercemar. Cara kotor ini amat terkenal dalam sejarah Perdana Menteri Malaysia seakan-akan sejarah hitam 1998 berulang kembali. Dua ahli PAC yang menerima perlantikan di barisan baru menyebabkan siasatan 1MDB perlu dihentikan sehingga perlantikan baru dibuat pada bulan Oktober nanti.

Samada perlu atau tidak tindakan yang diambil demi menutup suara-suara yang tidak puas hati atau kononnya untuk menyelamatkan negara ini, perkara yang lebih penting adalah Perdana Menteri sepatutntya mengambil cuti sementara perkara-perkara berbangkit disiasat dan diselesaikan dengan kadar segera. Ini akan menjadi satu penghormatan dan satu langkah yang mulia bagi mana-mana pemimpin yang berani melakukannya.

Tidak dapat disangkal lagi, bahawa Najib hanya mengikut jejak langkah Tun Mahathir yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri. Budaya politik wang telah menjadi satu tabiat buat BN-UMNO semata-mata untuk mengekalkan kedudukan mereka yang mana susah untuk mereka bertahan tanpa jumlah wang besar. Mahathir perlu disalahkan kerana membawa budaya ini sehingga menjadikan negara dalam keadaan sangat kritikal kini.

Seperti yang diakui sendiri oleh Najib, wang yang dijana melalui 1MDB telah digunakan “bukan untuk kegunaan peribadi”. Ini adalah jawapan yang sangat terang lagi jelas dan jujur dari seorang Perdana Menteri bagi mempertahankan UMNO. Walaupun rakyat  sepatutnya mendapat manfaat seperti yang dijanjikan pada PRU-13, namun hak penerimaan bagi sesetengah mereka adalah tidak sama menjurus kepada ketidakadilan bagi rakyat Malaysia.

Walaupun “nasi sudah menjadi bubur”, Najib telah melakukan satu perkara yang betul dengan mengubah kabinetnya. Ini telah memberi isyarat akhir bagi #nothingtohide. Dengan semua menteri baru yang diletak, seolah-olah Kapten dan anak kapalnya menanti masa untuk dikaramkan seperti kapal Titanic.

YB Zuraida Kamaruddin

Ahli Parlimen Ampang

Ketua Wanita Keadilan