Semalam Rakyat Malaysia terus dikejutkan dengan kenyataan jujur YAB Perdana Menteri Najib Razak.
Siri-siri kegagalan retorika Perdana Menteri diteruskan dengan jayanya oleh beliau, kali ini dengan kenyataan orang Melayu akan terbangsat sekiranya Umno kehilangan kuasa. Kenyataan ini dikeluarkan oleh beliau sewaktu merasmikan Mesyuarat Agong Umno di dua bahagian di Negeri Perlis semalam.
Saya melihat kenyataan ini merupakan satu lagi kegagalan perhubungan awam Najib, yang semakin hari semakin merendahkan kredibiliti beliau.
Umno telah tewas di Kelantan usai tahun 1990. Umno juga tewas di Selangor pada tahun 2008. Kedua-duanya negeri majoriti Melayu, dan kedua-duanya masih ditadbir oleh Menteri Besar Melayu secara muafakat PAS, KEADILAN dan DAP. Ironinya di kedua negeri ini orang Melayu makin terangkat wibawa dan upaya mereka melalui penggemblengan ekonomi dan sosial. Tidak hatta seincipun kebangsatan membelenggu orang Melayu di bawah muafakat KEADILAN, PAS dan DAP.
Hakikatnya yang sedang berlaku ialah Umno yang membangsatkan orang Melayu. Di bawah kepimpinan Najib Razak, pembangsatan itu semakin ketara dari hari ke hari. Malah pembangsatan ini bukan sekadar membelenggu orang Melayu, tapi rakyat Malaysia keseluruhannya!
Hakikatnya, menjangkau usia 60 tahun Malaysia dipimpin Umno-Barisan Nasional, enam Perdana Menteri menerajui tampuk pemerintahan yang merangkumi 2 Rancangan Malaya, 11 Rancangan Malaysia, 5 Rangka Rancangan Jangka Panjang,  dan 57 belanjawan atau bajet, masih wujud persoalan besar: ke mana hala tuju Melayu hendak di bawa oleh Umno?
Jika ada kegagalan dan kelemahan terhadap kedudukan dan agenda Melayu serta bumiputera hari ini setelah 60 tahun maka Umno dan pemimpinnya yang perlu dipersalahkan. Mereka hakikatnya bertanggungjawab atas setiap kelompongan yang ada.
Umno hari ini sudah dipimpin oleh golongan “princelings” bukan lagi golongan “pioneers”. Golongan ini merasakan  kepimpinan sebagai suatu hak warisan atau “entitlement” bukannya amanah.
Budaya feudalistik, taqlid buta, anti ilmu, anti intektual, ampu, kesetiaan buta tuli dan parasit telah menjalar ke dalam urat saraf Umno.
Maka bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila pemimpin ulung Umno yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdul Ghafar Baba di hujung hayatnya pernah mengatakan bahawa Umno tidak ubah seperti gajah berkaki plastik, besar secara fizikal tetapi berpotensi rebah pada bila-bila masa.
Pembangsatan Najib ke atas umat Melayu Malaysia ini bukan sesuatu yang boleh diraikan, malah tidak juga menimbulkan ketakutan. Maka ini sewajarnya menjadi satu asas yang jelas mengapa Bersih 4 pada hujung minggu ini harus menjadi satu platform bagi umat Melayu menunjukkan protes kepada Najib Razak dan Umno.
Hanya suara rakyat yang mampu menghentikan pembangsatan Najib dan Umno ke atas umat Melayu dan rakyat Malaysia. Usah risau, yang terbangsat kelak dengan kejatuhan Umno hanyalah Najib dan juak-juaknya.
24 Ogos 2015
Shamsul Iskandar Mohd Akin
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Bukit Katil