KENYATAAN MEDIA

TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA LETUPAN BOM DI JAKARTA

Kita dikejutkan laporan berita tentang siri letupan bom di Jakarta, Indonesia pagi ini yang telah mengakibatkan 6 orang terbunuh sehingga kini.

Tragedi ini cukup mengharukan, dan saya bersama Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini yang juga merupakan satu jenayah kemanusiaan. Kami berharap agar pihak berkuasa Indonesia akan dapat menangkap penjenayah dan pembunuh yang terlibat di dalam kejadian ini dan agar mereka segera dihadapkan ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama saya ingin merakamkan ucapan takziah buat kesemua keluarga mangsa insiden keganasan ini.

Saya berdoa agar Presiden Joko Widodo dan rakyat Indonesia akan diberi kesabaran dan kekuatan oleh Allah SWT untuk menghadapi dugaan di saat yang cukup getir ini.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden KEADILAN

14 Januari 2016