Teks Ucapan Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong

Oleh YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Ketua Pembangkang Malaysia

Pada hari Selasa 8 Mac 2016

 

Bismillahir Rahmanir Rahim.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin Segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui apa yang terang dan yang tersembunyi dalam hati-hati manusia.

 

Salam Selawat kepada Junjungan Besar Rasullullah dan Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW, yang menjadi tauladan membawa Rahmat ke seluruh Alam.

 

Tan Sri Yang DiPertua,

 

Izinkan saya memulakan ucapan dengan satu peringatan untuk diri saya dan semua yang hadir di dalam Dewan Mulia ini tentang Kemulian seperti firman Allah swt mafhumnya;

 

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allah lah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula di angkatnya naik (sebagai amal yang makbul – yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapat kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan) akan rosak binasa” (Surah Fathir: Ayat 10)

 

Terlebih dahulu, saya melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya, saya selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh merangkap Ketua Pembangkang  dengan penuh tanggungjawab berdiri di sini untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat parlimen ketiga belas 2016.

 

Saya mengucapkan terima kasih pada Tan Sri Yang Dipertua kerana memberikan kesempatan dan peluang pada saya untuk membahaskan usul tersebut.

 

Pada kesempatan ini juga, saya menyarankan usaha kerajaan diteruskan untuk mencari dan menyiasat sepenuhnya tragedi MH370 dan MH17 yang menyambut penuh sedih ulangtahun kedua tahun ini.

 

Tan Sri Yang DiPertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat yang dimuliakan,

TITAH NASIHAT YANG DIPERTUAN AGONG UNTUK SEMUA

 

  1. Titah baginda Yang DiPertuan Agong yang dipetik, “Dalam negara demokrasi berpelembagaan, kita boleh berlainan pandangan. Raikanlah ruang tersebut namun bukan saling menjatuhkan, bermusuhan dan fitnah-memfitnah yang akhirnya menjerumus negara kepada kehancuran. Elakkan juga daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa,” adalah satu nasihat yang cukup bermakna untuk mana-mana pihak.

 

  1. Kami juga berterima kasih kerana memang sepatutnya wakil-wakil rakyat yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk ‘berpolitik’ dalam sistem demokrasi berparlimen juga mahu ‘politik sempit berubah menjadi politik meluas’. Luas dengan memperkukuhkan amalan demokrasi seperti pilihan raya bebas, institusi-institusi kenegaraan bebas, media bebas, sistem Parlimen ditambahbaikan agar ‘ruang demokrasi yang lebih luas’ dapat kita raikan bersama.

 

  1. Sudah pasti sebagai Payung kepada semua warganegara saranan itu kami sambut kerana rakyat juga tidak mahu ‘bermusuhan dan fitnah-memfitnah’.

 

  1. Justeru itu adalah menjadi satu keperluan utama untuk meredakan badai syak wasangka fitnah mengenai ribut 1MDB, kami menjunjung kasih agar tuanku akan memperkenankan ditubuhkan segera satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja dengan mandat seluasnya untuk menyiasat isu 1MDB termasuk isu anak syarikat ketika itu, SRC International yang dikatakan terlibat dalam pemberian sumbangan bersama derma kerajaan asing ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri untuk tujuan mempengaruhi pilihan raya umum ke 13. Kami yakin pihak kerajaan juga sedia menyambut titah tuanku agar fitnah-memfitnah dapat dihentikan dengan penubuhan suruhanjaya tersebut.

 

  1. Begitu juga kami menyambut baik titah tuanku agar, “Elakkan juga daripada memburukkan negara di mata masyarakat antarabangsa.” Justeru itu adalah amat membantu jika Perdana Menteri menyaman pihak media antarabangsa yang dikatakan terus memburukkan nama Perdana Menteri dan sekaligus kerajaan dan negara sehingga wujud siasatan di enam buah negara asing mengenai 1MDB. Dengan menyaman Wall Street Journal di mahkamah dalam atau luar negara tanpa bertumpu kepada isu pampasan kewangan demi mempertahankan maruah negara di mata rakyat dan mata dunia antarabangsa.

 

  1. Dengan tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan diRaja dan saman ke atas Wall Street Journal juga akan memenuhi maksud tersurat lagi tersirat tuanku agar kerajaan berusaha “menangani persepsi negative rakyat berkaitan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.”

 

Tan Sri Yang Dipertua,

 

  1. Pada 7 Oktober 2015 yang lalu, Majlis Raja-raja melalui Pejabat Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan akhbar dalam isu 1MDB. Dengan izin Tan Sri Yang Dipertua: “Berkenaan dengan isu 1MDB, jika terbukti terdapat sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang, kerajaan hendaklah mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. Semua pihak adalah bertanggungjawab untuk memberikan kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha dan maksud siasatan tersebut mencapai kejayaan”.

 

  1. Bersandarkan kepada kenyataan ini, maka adalah terlalu awal dan menambahkan pula persepsi buruk bagaimana kes RM 2.6 bilion kaitan Perdana Menteri dilepaskan begitu sahaja oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali pada 26 Januari 2016.

 

  1. Rakyat musykil bagaimana penyiasatan rapi oleh SPRM selama 7 bulan boleh diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara dengan bersandarkan alasan bahawa wang RM 2.6 bilion kepada YAB Pekan adalah sumbangan yang dikatakan daripada seorang putera Arab Saudi dengan dibersihkan Perdana Menteri daripada pertuduhan rasuah dan mengarahkan SPRM supaya menutup penyiasatan terhadapnya.

 

  1. Rentetan daripada itu, perkembangan maklumat dan laporan antarabangsa membuktikan sebaliknya dari apa yang dijelaskan oleh Peguam Negara.

 

  1. Pada 5 Februari 2016, The New York Times dengan tajuk “ No End to Scrutiny Over Millions Sent to Malaysian Leader’s Accounts” melaporkan Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir memberitahu dalam satu wawancara bahawa beliau tidak fikir wang RM 2.6 bilion datangnya dari kerajaan Arab Saudi. Katanya lagi ia dipercayai dana untuk pelaburan di Malaysia dan bukan derma politik.

 

  1. Berdasarkan kepada laporan The New York Times 5 Februari 2016 tersebut jelas wujud percanggahan fakta dari kenyataan media Peguam Negara pada 26 Januari 2016.

 

  1. Dalam kenyataannya disebut “dana yang dimasukkan ke dalam akaun YAB Pekan berjumlah USD681 juta (RM2.08 bilion) di antara tarikh 22.03.2013 dan 10.04.2013 adalah merupakan sumbangan peribadi kepada YAB Pekan daripada keluarga Diraja Arab Saudi”.

 

  1. Pendirian saya ini adalah sejajar dengan aduan polis yang dikemukakan oleh bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara pada hari Rabu 2 Mac 2016.

 

  1. Untuk rekod pada 5 Mac 2016, Malaysiakini melaporkan, bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain telah membuat laporan polis terhadap Peguam Negara berhubung dengan isu derma. Datuk Mat Zain dalam laporan polisnya mendakwa Peguam Negara disyaki telah “menyalahgunakan kuasanya, menyembunyikan maklumat, dan menggunakan keterangan palsu” apabila membersihkan Perdana Menteri daripada sebarang salah laku.

 

 

  1. Pada 25 Februari 2016 saya telah mengemukakan usul di bawah Peraturan 27 (1), (2) dan (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan mencadangkan Dewan ini menerima usul secara ringkas bahawa ‘Peguam Negara Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali telah melanggar Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap kes derma RM2.6 bilion dan mengambil maklum juga tindakan-tindakan Peguam Negara di atas telah menyebabkan hilang kepercayaan rakyat terhadap institusi peguam negara. Justeru Dewan ini tidak ada kepercayaan terhadap Tan Sri Dato’ Sri Haji Mohamed Apandi bin Ali sebagai Peguam Negara’.

 

  1. Usul itu telah saya kemukakan secara bersurat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 26 Februari 2016 dan telah diperakui penerimaannya. Saya berharap Tan Sri Yang Dipertua, akan memberi pertimbangan terhadap usul yang saya kemukakan agar ianya dapat dibahaskan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang.

 

  1. Pada 6 Februari 2016, Peguam Negara telah mengumumkan cadangan bahawa Akta Rahsia Rasmi akan dipinda. Ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk menutup akses maklumat yang benar berkenaan penyelewengan dan kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Pekan.

 

Tan Sri Yang Dipertua,

 

  1. Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tindakan ini tidak akan menjejaskan kerjasama yang menyeluruh membantu siasatan antarabangsa melibatkan Peguam Negara Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Hong Kong, Singapura daan Australia terhadap dakwaan rasuah (bribery), penyelewengan dana (misappropriation of funds) dan pengubah wang haram (money laundering) yang membabitkan 1MDB dan Perdana Menteri.

 

  1. Malangnya buat negara, 1MDB kini menjadi simbol hina yang memalukan Negara di persada antarabangsa. Dengan izin, ‘1MDB is a symbol of national disgrace in the eyes of the international community. 1MDB has emerged as an international benchmark for illicit financial outflow and official corruption in its most perfect form.’

 

  1. Pada hari ini, Bloomberg Business melaporkan dalam laman web rasminya dengan izin Tan Sri Yang Dipertua “Ex-Goldman Banker to Malaysia Fund Subpoenaed in U.S. Probe” melaporkan bekas Pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner yang sebelum ini mengendalikan akaun-akaun yang melibatkan bon 1MDB telah diberikan notis sepina oleh Unit Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi Jabatan Keadilan Amerika Syarikat. Sepina itu bertujuan untuk menyiasat sama ada dana yang telah digelapkan daripada 1MDB dan penglibatan beberapa pimpinan politik Malaysia itu telah melanggar undang-undang Amerika Syarikat.

 

 

Tan Sri Yang DiPertua,

 

NEGARA DALAM KRISIS KEARAH NEGARA GAGAL?

 

  1. Baginda turut bertitah, “Dalam negara demokrasi berpelembagaan, kita boleh berlainan pandangan.” Justeru memberi pandangan suara rakyat mesti didengar oleh pemerintah yang memikul amanah rakyat.

 

  1. Malah pandangan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke 240 pada 17 Februari tahun ini yang meminta kerajaan memperhalusi semula Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diterima. Ini adalah apa yang rakyat juga mahukan.

 

  1. Selain itu pada pandangan kami sesungguhnya negara Malaysia yang kita cintai sedang berada dalam krisis yang besar.

 

  1. KRISIS NASIONAL yang terdiri dari Krisis Ekonomi, Krisis Politik, Krisis Perlembagaan, Krisis Defisit Demokrasi, Krisis Defisit Perpaduan, Krisis Defisit Keselamatan dan Krisis Defisit Kepercayaan; meletakkan hala-tuju kita menjurus kepada sebuah negara yang gagal (failed state).

 

  1. Apakah mungkin jawapan yang akan diberikan oleh kerajaan BN yang masih menafikan wujud KRISIS EKONOMI kepada beratus ribu rakyat yang sudah dibuang kerja dan graduan menganggur yang masih mencari kerja?

 

  1. Atau apakah jawapan kepada berjuta lagi yang menunggu jika akan turut dibuang kerja ditambah pula dengan gaji mendatar pada tahap 34% dari KDNK yang terpaksa berhutang menggunung paling tinggi menggunung hutang isi rumah di Asia Tenggara melebihi 87% KDNK yang semata-mata ‘berkais pagi’ untuk menyara kos sara hidup yang tinggi dengan ditambah beban GST, kadar tol lebuhraya yang meningkat, harga rumah yang tidak mampu dimiliki dan tanggungan kesan jatuh merudum nilai matawang ringgit? Kesenjangan pendapatan dan kekayaan kekal melebar.

 

  1. Jika jawapannya adalah kerana semua ini adalah ‘luar kawalan kita’, maka jawapan yang sama akan diberikan bila ditanya mengapa ketirisan khazanah negara dan rasuah berakar sehingga negara dinobatkan menduduki tangga ke 54 Indeks Korupsi Antarabangsa Transparency International 2015?

 

Tan Sri Yang Dipertua,

 

  1. Hutang kerajaan sekitar 53% KDNK tetapi bila ditambah jaminan dan tanggungan hutang ‘contingent liability’ kerajaan ia sudah mencecah 70% KDNK. Malangnya hutang ini juga akan ditanggung rakyat yang melihat orang kaya bertambah kaya dan orang miskin papa kedana.

 

  1. Atau jika jawapan punca KRISIS EKONOMI ini adalah ‘luar jangkaan’ kita, maka segala nasihat dan amaran oleh Pembangkang agar dilaksanakan Reformasi Ekonomi semenjak seawal tahun 2008 melalui Agenda Ekonomi Malaysia dan teguran hala-tuju dan pendekatan berhemah untuk membina daya upaya rakyat dalam penglibatan dan pembangunan ekonomi dalam perbahasan belanjawan mahupun perbahasan RMK-10 dan RMK-11 tidak diendahkan malah keutamaan diberikan kepada konsultan asing yang dibayar beratus juta ringgit yuran dari APCO sehingga Pemandu yang kaya akronim dari 1Malaysia, 1M4U, ETP, GTP, TTP, NTA dan 1MDB.

 

  1. Kelulusan usul Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik atau TPPA yang setebal lebih 6,000 muka surat yang dirundingkan secara rahsia selama lima tahun pula yang diberikan masa hanya dua hari untuk dibaca, dibahas dan diluluskan di Parlimen secara ‘express’ telah dicanang sebagai penyelamat ekonomi negara nanti. Ini pula disamping pengakuan GST juga menjadi penyelamat ekonomi negara.

 

  1. Segala nasihat, teguran dan pandangan konstruktif dari rakyat, masyarakat madani dan pembangkang yang semuanya patriot sebagai pemilik bersama negara tidak diambil kira ibarat masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri tetapi sebaliknya bila menteri bercakap rakyat kena telan bulat-bulat. Ini bukan demokrasi tapi otokrasi sehala namanya.

 

  1. Kerajaan juga mesti jelaskan apakah kesan sosial dan ekonomi kepada rakyat dengan kemasukan 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh memandangkan sudah ada lebih 2 juta pekerja asing tanpa permit dalam negara; dan apakah status sebenarnya perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh?

 

  1. Justeru itu, saya menyokong gesaan MTUC agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja Siasatan Pekerja Asing. Semakan semula dasar pengambilan pekerja asing perlu dilakukan agar Malaysia tidak kekal menjadi negara lambakan pekerja asing. Dasar pembangunan ekonomi Negara harus dikaji semula agar tidak lagi melampau berorientasikan buruh tidak mahir sebaliknya ia harus lebih berorientasikan pekerja tempatan berkemahiran tinggi.

 

 

 

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Defisit Demokrasi dengan penggunaan berbagai undang-undang drakonian dan anti-demokratik seperti POTA, SOSMA, Akta Hasutan, OSA dan yang paling mencabul hak rakyat dan menimbulkan KRISIS PERLEMBAGAAN adalah apabila kedaulatan Yang DiPertuan Agong dalam Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) terjejas apabila kuasa luas diberi kepada Perdana Menteri yang mengatasi kuasa baginda tanpa wujud hak semakan perundangan atau ‘judicial review’ keatas cabang esekutif. Jika kuasa sudah melebihi Yang DiPertuan Agong dan proses perundangan mungkin ini dikatakan ibarat kuasa seorang Maharaja?

 

  1. Justeru saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri jika pengumuman darurat malah penangguhan pilihan raya adalah antara kemungkinan yang bakal berlaku jika akta ini dikuatkuasakan? Lain tujuannya, lain gunanya nanti.

 

  1. Alhamdulillah, mujur rakyat masih dapat bernaung dibawah payung Raja Berperlembagaan dengan titah agar Akta MKN yang diluluskan tergesa-gesa diperhalusi. Namun, kita mengharap ia dibatal dan dimansuhkan sahaja.

 

Tan Sri Yang DiPertua dan ahli-ahli dewan yang dimuliakan,

 

PUNCA KRISIS NASIONAL SUDAH TERANG LAGI BERSULUH

 

  1. Pemusatan Kuasa akibat Defisit Demokrasi adalah punca utama mengapa negara dilanda berbilang KRISIS secara bertubi-tubi tanpa putus dan nampaknya tanpa penghujung yang mungkin dinafikan kerajaan BN dengan hujah-hujah yang hanya menyedapkan telinga mereka sahaja tetapi amat dirasakan bahananya oleh rakyat jelata.

 

  1. Sebuah negara dikatakan gagal apabila tidak memenuhi syarat-syarat demokrasi tulen serta melanggar perjanjian ‘aqad-dun-daulah’ iaitu perjanjian kenegaraan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang secara amnya ‘menjanjikan hak rakyat dalam satu negara Demokratik Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan’.

 

  1. Oleh kerana kita mungkin mudah lupa, saya ingin memetik dari Deklarasi Pemasyhuran Kemerdekaan Malaya 1957 dan Deklarasi Pembentukan Malaysia 1963 yang dibaca oleh Perdana Menteri Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj;

 

“Dan bahawasanya kerana suatu perlembagaan bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah ditentukan menjadi suatu kanun yang muktamad baginya.

Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu  (Malaysia pada 1963) dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan Demokrasi cara Parlimen.”

 

  1. Negara adalah milik rakyat yang diamanahkan kepada pemerintah menjadi kerajaan dan bukan milik segelintir manusia yang lupa kepada perjanjian dalam Perlembagaan Persekutuan yang juga saya petik dari doa didalam perenggan akhir Deklarasi Permasyhuran Kemerdekaan;

 

“….dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

 

  1. Apa yang diucapkan Bapa Kemerdekaan adalah benar. Ini janji kemerdekaan kepada semua warganegara.

 

  1. Mana mungkin rakyat jemu untuk terus berjuang menuntut hak dan janji kemerdekaan yang belum tertunai, masih tertangguh dan sekarang mungkin sudah tergadai dengan perjanjian TPPA ala-Perjanjian Pangkor termasuk akibat derma warga kerajaan asing dalam urusan pilihan raya dalam negara?

 

  1. Justeru, para pemerintah yang diamanahkan atau dipinjamkan kuasa memerintah mesti menunaikan semua perjanjian-perjanjian termasuk ‘Janji Kemerdekaan’ seperti firman Allah mafhumnya, “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad (perjanjian-perjanjian) itu….” (Surah Al Maidah: Ayat 1)

 

  1. Begitu juga kita diperingatkan oleh patriot negara Allahyarham Dr.Burhanuddin Helmi tentang ‘Hak Rakyat’ dalam sebuah sajak yang berbunyi;

Di atas runtuhan Kota Melaka,

Kita bangunkan jiwa merdeka.

Bersatu-padulah seluruh baka,

Membela hak keadilan pusaka.

 

  1. Oleh demikian demi membela ‘hak keadilan pusaka’ saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri apabila ruang demokrasi disempitkan dengan pilihan raya tidak bersih dengan dakwat kekal tidak kekal, media dibisukan, kehilangan mandiri serta kebebasan institusi-institusi kenegaraan seperti institusi kehakiman, pasukan polis, Bank Negara, SPRM, Pejabat Peguam Negara dari pengaruh melampau cabang esekutif, apabila para patriot dipenjarakan malah apabila Tan Sri Speaker sendiri telah memohon agar adanya penambahbaikan sistem Parlimen; adakah semua ini memenuhi syarat sebuah negara demokratik tulen dan adakah ini semua menunaikan perjanjian kemerdekaan seperti termaktub dalam Deklarasi Permasyhuran Kemerdekaan yang dibaca oleh Bapa Kemerdekaan pada 1957 dan 1963?

 

Tan Sri Yang DiPertua,

MUAFAKAT NASIONAL SELAMATKAN MALAYSIA

 

  1. Kita semua wajib bersyukur, Alhamdulillah kerana pada detik ini satu peluang besar wujud untuk semua warganegara Malaysia dari semua lapisan masyarakat termasuk dari semua parti-parti dan fahaman politik tidak kira dari dalam atau luar kerajaan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang patriot untuk bukan sahaja ‘Selamatkan tetapi Membina Malaysia yang lebih baik untuk Semua’.

 

  1. Saat dan ketika ini Negara berada dalam persimpangan yang akan mencorak masa depan untuk anak-anak kita. Sejarah akan mencatatkan bagaimana kita berjaya ketepikan perbezaan demi melakarkan satu lembaran baru kenegaraan melalui satu MUAFAKAT NASIONAL yang akan mengumpulkan semua suara-suara rakyat untuk merangka satu KONSENSUS NASIONAL.

 

  1. Daripada begitu banyak deklarasi-deklarasi suara rakyat-suara keramat bermula dengan kedua-dua Deklarasi Permasyhuran Kemerdekaan 1957 dan Malaysia 1963; Deklarasi Permatang Pauh 1998; Deklarasi Parlimen Rakyat 2008; Deklarasi Perisytiharaan Kuching 2012; Deklarasi Tujuh Kebebasan Demi Negara 2015 dan terkini Deklarasi Rakyat 2016, maka aspirasi, perjuangan dan tuntutan rakyat agar mempertahankan dan memperkukuhkan negara Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen masih berterusan.

 

  1. Deklarasi-deklarasi suara rakyat adalah suara keramat dan suara ‘buah fikirian patriotik’ yang selaras dengan saranan tith baginda, “Berikanlah contoh teladan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan dalam melahirkan buah fikiran yang bermanfaat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara yang berterusan”.

 

Tan Sri Yang Dipertua,

 

  1. Kita mesti ada ‘political will’, ‘political courage’ dan ‘political conscience’ yang memerlukan kita jujur dan ikhlas menjadi ‘negarawan-negarawan’ atau ‘statesmen’ dan bukan ‘politikus-politikus’ kerana kita mahu merangka satu Konsensus Nasional yang bersifat jangka panjang, luas dan kekal.

 

  1. Kita mesti insaf kepada firman Allah mafhumnya; “….Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…”

(Surah ar-Rad: Ayat 11)

 

  1. Kita mesti mengubah nada dan prinsip politik kenegaraan, kita mesti mengubah segala prasangka, kita mesti mengubah mitos-mitos lapuk yang memecah belahkan kita, kita mesti mengubah ketakutan, keraguan dan keresahan antara kita; demi membina Malaysia yang lebih baik dan menjadi contoh kepada dunia bahawa kita mampu melahirkan sebuah negara demokratik yang berbilang bangsa dan agama; menjadi ‘dawlah mithali yang berwasatiyah’ memberi harapan kepada bangsa negara lain ketika dunia tidak sunyi dari sengketa bahawa semua manusia diseluruh dunia mampu hidup dengan penuh maruah, aman dan adil.

 

  1. Kesimpulannya, saya ingin mempertegaskan kembali tuntutan Deklarasi Rakyat 2016 bahawa Malaysia perlu diselamatkan daripada malapetaka kepincangan kepimpinan dibawah teraju Perdana Menteri sekarang. YAB Pekan nyata gagal mentadbir Negara. Beliau perlu memikul tanggungjawab atas skandal 1MDB yang sangat menjejaskan imej Malaysia. Ini berlaku apabila terdapat pemusatan kuasa melampau kepada Perdana Menteri. Ia berlaku sebagai rentetan kegagalan institusi kewangan, institusi keadilan dan institusi penguatkuasaan dalam menjalankan tugas dengan bebas.

 

  1. Tindakan-tindakan politik yang rakus yang berlaku sekarang hendaklah dihentikan. Kerosakan institusi-institusi pemerintahan hendaklah dihentikan. Rakyat tidak harus lagi dibiar terbeban dengan kegawatan ekonomi akibat kelemahan dasar dan perancangan kerajaan yang berkuasa. Tuntutan perubahan tidak dinafikan amat diperlukan. Ini melibatkan reformasi institusi-institusi utama dalam Negara yang sudah parah dan retak di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri. Perubahan ini berhajat kepada peralihan kuasa yang bermakna.

 

  1. Ia bukan sekadar peralihan bagi menggantikan Perdana Menteri semata-mata tetapi ia berhajat kepada perubahan sistem secara menyeluruh agar dikembalikan maruah dan hak rakyat yang gagah berdiri dalam sebuah Negara yang merdeka lagi berdaulat.

 

 

  1. Oleh demikian, saya mencadangkan – Pertama, diwujudkan satu Majlis Permuafakatan Nasional yang melibatkan semua lapisan masyarakat untuk mencari satu Konsensus Nasional Baru.

 

  1. Kedua; saya juga mencadangkan agar satu Jawatankuasa Terpilih Parlimen diwujudkan untuk merangkakan satu AKTA JAMINAN DEMOKRASI yang akan menggariskan semua langkah-langkah perlu untuk reformasi dan memperkukuhkan demokrasi dalam semua cabang kenegaraan serta semua institusi-institusi berkaitan termasuk menjamin Pilihan Raya Bebas dan Adil untuk dibentangkan dalam Parlimen dalam enam (6) bulan dari sekarang. Penglibatan Majlis Permuafakatan Nasional juga menjadi syarat cadangan untuk menggubal akta ini.

 

  1. Saya yakin dengan kemampuan kerajaan menyeragamkan dengan kadar pantas semua undang-undang agar selaras dengan perjanjian Perlembagaan Persekutuan dalam AKTA JAMINAN DEMOKRASI yang dicadangkan seperti mana pantasnya Usul menerima perjanjian TPPA termasuk usaha untuk seragamkan 26 atau lebih undang-undang persekutuan dan negeri-negeri agar selaras memenuhi tuntutan perjanjian TPPA akan dilaksanakan.

 

  1. Ketiga; saya mencadangkan diwujudkan satu ‘Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasasi’ atau ‘Truth and Reconciliation Commission’; kerana untuk negara bergerak maju kehadapan kita mesti menghadapi dan mencari jalan perdamaian melalui ‘muhasabah’ tentang masa silam negara kita. Ini adalah harga yang terlalu kecil untuk dibayar berbanding dengan harga besar dan berat yang akan kita hadapi jika hala tuju negara tidak berubah.

 

  1. Keempat, adalah dimohon semua tahanan politik dan tahanan mangsa konspirasi salah guna kuasa termasuk dengan tuduhan fitnah yang mengaibkan yang dinafikan hak Qazaf diutamakan dibebaskan dengan izin melalui Pengampunan DiRaja.

 

  1. Dan kelima, dengan penuh rasa tanggungjawab dan kepedulian kepada kehidupan rakyat yang semakin sukar, GST segera dimansuhkan.

 

  1. Akhir sekali, saya mempertegaskan perubahan ini harus berlaku dalam keadaan aman menurut perlembagaan dan undang-undang Negara. Mensejajari itu saya menggesa ahli-ahli dewan bersama kami dalam usaha perubahan tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi dan meletakkan keutamaan mengembalikan karamah insaniah dan menyelamatkan Negara Malaysia yang tercinta ini.

 

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum.