UCAPAN DATO’ SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Perjanjian Pakatan Harapan

BismillahiRahmaniRahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Saudara Syed Ibrahim, pengerusi majlis,
YAB Dato’ Seri Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor,
YAB Saudara Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang,
Yang Berbahagia Saudara Mohamad Sabu, Presiden AMANAH,
YB Saudara Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP,
Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Abdullah, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan,
Yang Berbahagia Saudara Salehuddin Ayob, Timbalan Presiden AMANAH, Pimpinan-pimpinan dari KEADILAN, DAP dan AMANAH,
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian.

1. Alhamdulillah buat pertama kali kita berjaya mengumpulkan 50 pimpinan tertinggi dari KEADILAN, DAP dan AMANAH dalam satu Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan. Kita gunakan kesempatan ini untuk meletakkan mercu tanda baru dalam sejarah politik tanahair apabila satu pakatan politik bersetuju menandatangani satu perjanjian kesatuan politik yang meneruskan janji awal kita membawa REFORMASI membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.

2. Saya dengan penuh rasa rendah diri dan amat prihatin bahawa tanggungjawab dan amanah menjadi Ketua Pembangkang Malaysia perlu dilaksanakan dengan penuh gigih, ikhlas dan berhikmah. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ilahi, dengan kerjasama semua peringkat terutamanya barisan kepimpinan dari tiga buah parti politik, kita akan dapat meneruskan tanggungjawab secara kolektif, secara tersusun dan secara mantap lagi mampan.
3. Kelahiran Pakatan Harapan bukanlah tanpa kontroversi. Ada yang mempersoalkannya, ada yang masih menunggu adakah kita bersedia meneruskan arus perubahan dan meningkatkan aras pembangunan negara yang nyata sekali amat diperlukan, sangat dinantikan dan sudah tiba masanya dilaksanakan.

4. Sudah terang lagi bersuluh negara memerlukan persaingan politik yang sihat dan mampu memberikan rakyat pilihan antara madu dan racun dengan sistem 2-parti atau 2-gagasan politik dalam urusan memerintah tanpa kompromi, bahawa rakyat itu tuan dan parti politik itu pemegang tanggunjawab serta amanah satu ‘ketuanan rakyat’ dalam erti kata memerintah demi kepentingan rakyat bukan kepentingan segelintir yang memusatkan kuasa dan menghimpunkan kekayaan diatas nama yang dipinjam, nama yang disalahgunakan dan nama yang telah dijaja walhal masih dijajah dibawah satu bentuk ‘Ketuanan Perkauman’.

5. Justeru itu, kita yang berhimpun pada hari ini mesti bangkit merapatkan saf serta melangkah yakin bahawa perjuangan kita ini benar, kesatuan kita ini jujur dan kepimpinan kita mampu menggalas tugas dan beban membawa perubahan gelombang perdana walau difitnah, dicerca, diadu domba, diuji, dicabar dan dipenjara.

6. Ingat lagi kuat, lagi hebat dan lagi dasyat tentangan yang kita hadapi hanya bermakna satu perkara iaitu jalan kebenaran yang kita sama-sama perjuangkan sudah mengugat, sudah mengoncang, sudah mengancam dan tentunya sudah menghampiri penghujung jalan iaitu kemenangan yang tidak boleh lagi ditolak dan dihancurkan. Kejayaan rakyat sudah dekat, kemenangan rakyat sudah pasti.

Saudara-saudari sahabat-sahabat yang saya kasihi

7. Realiti politik Malaysia ialah kita perlukan satu gabungan politik untuk melawan dan menumpaskan Umno/Barisan Nasional. Bukanlah sebab Umno/Barisan Nasional itu hebat, tetapi kerana semua sumber kerajaan dan negara disalahgunakan untuk terus berkuasa. Kalau dulu kita berdepan dengan media mereka, wang saguhati pilihanraya mereka – kini kita bukan sahaja berdepan dengan itu semua, kita juga berdepan dengan derma RM2.6 bilion mereka.

8. Sebab itu kita perlu menghargai keperluan membina sebuah gabungan politik yang kuat jika kita ingin membebaskan rakyat dari cengkaman Umno/Barisan Nasional.

9. Satu lagi realiti politik tanahair ialah kita memerlukan satu parti pembangkang gergasi yang menggarap semua kekuatan di dalam sebuah parti. Justeru untuk membina satu gabungan pembangkang yang kuat, kita perlu mendekatkan dan mendamaikan pelbagai parti-parti yang punya pelbagai sejarah, latar belakang dan asas perjuangan supaya parti-parti ini bersama di dalam satu pasukan melawan Umno/Barisan Nasional.

10. Maka tugas membentuk dan mengharmonikan satu pakatan pembangkang yang kuat, mampan dan kekal lama bukanlah tugas enteng. Alhamdulillah Saudara Anwar Ibrahim berjaya merapatkan jurang-jurang ini untuk membina satu pakatan yang bersatu sehingga kita menafikan kemenangan dua pertiga di dalam Pilihanraya 2008.

11. Saya cukup yakin bahawa Saudara Anwar Ibrahim yang dipenjara, mahukan kita belajar dari pengalaman lepas, ambil iktibar dari kesilapan maupun kelemahan untuk kita bermuafakat dengan iltizam baru untuk bersama-sama kita mendamai dan mengharmonikan keadaan agar tumpuan kita bukan kepada unsur-unsur dalaman-parti atau antara-parti atau kepada satu individu tetapi tumpuan kita mesti jitu hanya untuk kemenangan dan kesejahteraan rakyat.

12. Namun perjalanannya masih panjang sebelum Saudara Anwar boleh kembali memimpin kita. Maka sebelum itu, wajarlah kita melakukan yang terdaya untuk kita meneruskan usaha membina sebuah pakatan politik yang kuat dalam menjatuhkan Umno/Barisan Nasional.

Saudara-saudari sahabat-sahabat yang saya kasihi

13. Oleh sebab itu, kita wajib menwujudkan satu kerangka yang jelas mengenai prinsip dan kaedah penyatuan politik di dalam Pakatan Harapan ini supaya kita dapat memastikan Pakatan Harapan boleh berfungsi dengan teratur, mengikut sistem dan berpandukan kepada prinsip-prinsip yang kita persetujui bersama.

14. Dengan adanya Perjanjian Pakatan Harapan ini, In Sya Allah jika ada pun sebarang pertikaian selepas ini, saya berharap kita kembali kepada prinsip-prinsip dan kaedah yang sama-sama kita meterai pada hari ini. Saya mencadangkan supaya kita tidak lagi mengeluarkan kenyataan terbuka mengenai parti-parti rakan yang boleh disalahtafsir sebagai berlakunya pergolakan di dalam Pakatan Harapan.

15. Kerana setiap gerak geri kita diperhatikan. Kajiselidik-kajiselidik terkini secara umumnya sepakat bahawa rakyat sedang menolak Umno/Barisan Nasional tetapi mereka juga kurang selesa dengan kejituan Pakatan Harapan sebagai pengganti Umno/Barisan Nasional kerana disifatkan sering bergolak.

16. Marilah kita mengambil iktibar dari harapan rakyat tersebut dengan membuktikan bahawa kita boleh menampilkan kesatuan politik yang paling jitu di antara semua parti-parti politik yang ada sekarang. Saya yakin bila kita berjaya mencapai kesatuan politik tersebut, maka lebih mudah untuk kita membawa agenda perubahan untuk membela rakyat.

Saudara-saudari pimpinan

17. Tugas kita adalah berat dan saya suka mengumumkan bahawa Pakatan Harapan telah merancang satu pelan yang saya kira cukup berkesan untuk kita mendapatkan sokongan rakyat dalam keadaan Umno/Barisan Nasional terumbang-ambing.

18. Dengan termeterainya Perjanjian Pakatan Harapan hari ini, ia akan memberi laluan kepada kita untuk menumpukan usaha kita membangunkan satu kerangka dasar-dasar bersama Pakatan Harapan yang lebih jitu, realistik dan radikal sebagai antidote kepada pelbagai kerosakan yang dimulakan oleh Umno/Barisan Nasional.

19. Pakatan Harapan akan mula membentangkan program-program politik, ekonomi dan sosialnya bermula Mac 2016 secara berperingkat-peringkat sehinggalah kemuncaknya yang dijangkakan dalam Jun 2016 dengan pelancaran Dasar-Dasar Bersama Pakatan Harapan semasa Konvensyen Pakatan Harapan 2016.

20. Tujuan kita membuat pembentangan polisi secara berperingkat-peringkat adalah untuk memastikan rakyat dan pimpinan dapat menghadamkan idea-idea ini dengan lebih berkesan kerana kita tahu polisi-polisi ini kini menjadi begitu penting akibat keadaan genting dalam negara berikutan pelbagai kerosakan yang berlaku di bawah pentadbiran sekarang.

Saudara-saudari sahabat-sahabat yang saya kasihi

21. Cabaran kita besar. Cabaran Pakatan Harapan adalah untuk membina satu kesatuan politik yang boleh mendapatkan sokongan terbesar dari segenap lapisan masyarakat untuk menolak Umno/Barisan Nasional dalam keadaan suasana politik yang tidak menentu.

22. Cabaran KEADILAN adalah untuk terus kekal menjadi penghubung dan jambatan kepada kelompok-kelompok pimpinan dan masyarakat yang berbeza pandangan, latar belakang dan pendirian; supaya mengenepikan prejudis dan rasa kurang senang masing-masing demi menumpukan seluruh tenaga untuk menumpaskan Umno/Barisan Nasional.

23. Cabaran DAP adalah untuk melawan stereotaip perkauman yang digunakan untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu secara berkesan.

24. Cabaran AMANAH adalah untuk melebarkan sayapnya terutamanya di kalangan pengundi Melayu/Islam secepat mungkin dengan mengenengahkan satu gagasan Islam yang serasi dengan semangat Islam Rahmatan Lil ‘Aalamin yang sama-sama kita dakwahkan.

25. Cabaran saya pula adalah untuk mengingatkan diri saya terlebih dahulu dan semua ahli dan kempimpinan Pakatan Harapan – agar kita dapat bersabar, ada sifat tawaddhu’, cekalkan hati , beristiqamah dan bertolak ansur untuk kita terus suburkan semangat adik-beradik di dalam keluarga besar Pakatan Harapan. Kerana perjuangan kita panjang dan sudah tentu akan terus ada perbezaan pendapat – bak kata pepatah lagikan lidah pun tergigit, inikan pula sama ahli politik.

26. In Sya Allah saya yakin pada hari ini kita telah mencapai kematangan politik itu sesama kita dan bila kita terus membela rakyat, menumpaskan Umno/Barisan Nasional bukanlah satu perkara yang mustahil. In Sya Allah dengan kemenangan itu kelak – kita akan boleh membebaskan rakyat dan kita akan membebaskan Anwar Ibrahim.

27. Saya ucapkan selamat berjuang dan selamat berkorban. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.