Setiap pagi Sabtu, sudah menjadi kebiasaan untuk saya membaca akhbar The Edge Weekly. Rencana-rencana mengenai perniagaan, ekonomi dan politik di Malaysia amat teliti dan ditulis dengan cermat. Rencananya menyumbang kepada suatu perbincangan yang ilmiah bagi memastikan demokrasi di Malaysia diamalkan secara sihat.

Namun hari ini, saya, seperti juga ribuan ahli-ahli perniagaan malah rakyat Malaysia amnya, tidak dapat menjalani rutin ini lagi. Pentabiran negara yang ala-kuku besi kelihatan seperti bukan sahaja takut kepada kebenaran, malah begitu takut kepada rakyat yang berani mempersoalkan kewibawaan kerajaan.

Tatkala Rakyat mendambakan jawapan, nampaknya hak kebebasan rakyat untuk bersuara diinjak-injak. Tidak syak lagi serangan terkini ke atas kebebasan bersuara dan kebebasan media akan merosakkan lagi imej Malaysia di mata dunia.

Saya amat kecewa dan sedih dengan keputusan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak untuk menggantung penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily hanya kerana kedua-dua akhbar tersebut menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai media. Serangan terkini ini adalah rentetan dari banyak lagi serangan ke atas media di Malaysia; stesen radio dan laman berita online telah diberi amaran, dan wartawan juga telah ditangkap dan disiasat di bawah Akta Hasutan. Jangan kita lupa betapa ramai lagi ahli-ahli politik, aktivis, malah juga kartunis yang sedang dihadap ke mahkamah dibawah Akta Hasutan hanya kerana mereka berani bersuara.

Apakah hari ini kita di berada di tepi jurang yang terbina akibat dekad-dekad keangkuhan, rasuah dan keruntuhan sistemik asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang? Walaupun hari-hari mendatang kelihatan kelam, saya menyeru supaya rakyat Malaysia tidak patah semangat. Inilah satu-satunya Malaysia yang kita ada. Ketepikan perbezaan dan marilah kita sama-sama bangkit untuk menyelamatkannya.

Ada pihak-pihak yang mahu memecahbelahkan kita, yang mahu kita berhenti berusaha. Namun kita tidak akan menyerah kalah. Kita akan bangkit untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik bersama.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN

25 Julai 2015