Carian
October 14, 2016

Persempadanan Semula Tanpa Reformasi Pilihan Raya Hanya Akan Menyebabkan Keputusan Yang Tidak Adil

Persempadanan Semula Tanpa Reformasi Pilihan Raya Hanya Akan Menyebabkan Keputusan Yang Tidak Adil

Persempadanan semula kawasan pilihanraya akan mewujudkan keputusan pilihan raya yang tidak adil sekiranya reformasi pilihan raya tidak dilaksanakan.

Sebagai sebuah badan yang sepatutnya bebas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi negara secara efektif.

Merujuk kepada laporan Projek Integriti Pilihan Raya (2014), Malaysia terletak di kedudukan yang rendah dalam aspek integriti apabila berada di tangga 66 daripada 73 negara yang menjalankan pilihanraya parlimen dan presiden dari Julai 2012 hingga Disember 2013. Kajian ini secara spesifik mengkaji kesan persempadanan kawasan dan kaitan undang-undang pilihan raya di setiap negara. SPR tidak boleh mengambil mudah kesan persempadanan semula demi kepentingan pihak tertentu.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan rakyat Malaysia hilang kepercayaan terhadap kewibawaan SPR sebagai sebuah badan bebas yang mengendalikan pilihan raya di Malaysia.

Baru-baru ini, Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai, Raja Nong Chik mengatakan keperluan persempadanan semula dilakukan di Lembah Pantai. Tindakan ini hanya akan mengukuhkan penguasaan UMNO.

Sebarang cubaan untuk memanipulasi pilihan raya dilihat sebagai langkah melindungi dominasi politik dan kroni kapitalisme yang sedang memusnahkan ekonomi negara.

Perkara ini dapat dibuktikan dan dinyatakan sendiri oleh Raja Nong Chik yang menyatakan bahawa “Rezeki saya lebih baik semasa Tun M. Saya dapat lebih banyak perniagaan semasa zaman Tun M. Sekarang susah nak dapat jaringan perniagaan”.

Cadangan untuk melaksanakan proses persempadanan semula selalunya akan mengakibatkan peralihan undi kepada UMNO, membenarkan dan menambah baik prospek perniagaan Raja Nong Chik sendiri di bawah pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak.

Adakah rakyat Malaysia, khususnya masyarakat di Lembah Pantai mahukan pemimpin yang hanya mementingkan kantung duitnya sendiri, sementara rakyat masih bergelut dan cuba menampung kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat?

Pada 13 Ogos 2016, Datuk Seri Idris Haron, Ketua Menteri Melaka telah menyatakan bahawa pihak SPR perlu melakukan persempadanan semula bagi tujuan mengekalkan kemenangan UMNO. Idris Haron berhajat untuk menambah tiga kerusi parlimen iaitu di kawasan Parlimen BN iaitu di Tangga Batu dan buah dua kerusi di parlimen Bukit Katil, dimana kawasan parlimen telah dimenangi oleh parti KEADILAN.

Perkara ini merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pimpinan UMNO yang jelas berkompromi dengan badan pilihan raya yang sepatutnya bebas daripada bebanan demi memuaskan sifat tamakkan kuasa dan meluaskan kuasa mereka yang tidak bertanggungjawab serta mengkesampingkan hasrat sebenar rakyat.

Walaupun Raja Nong Chik tidak bersetuju dengan kenyataan Idris Haron mengenai persempadanan semula supaya mengekalkan penguasaan UMNO untuk menjadi kerajaan, tetapi pengalaman lalu membuktikan persempadanan yang dilakukan oleh SPR melalui pemindahan pengundi hanya akan memberikan kelebihan kepada parti pemerintah. Begitu juga terbukti dalam Pilihan raya Negeri Sarawak tiga bulan lalu, apabila SPR melakukan persempadanan semula yang menambah 15% kerusi kawasan DUN, daripada 71 kepada 82 kerusi, ternyata 9 daripada 11 kerusi untuk memenangkan BN semata-mata.

Secara dasar nya, apakah perbezaan kenyataan antara Raja Nong Chik dan Idris Harun tentang hasrat persempadanan semula? SPR perlu melaksanakan reformasi pilihan raya,kerana amalan persempadanan semula SPR hanya akan dilihat seperti mempersendakan prinsip satu undi untuk setiap warganegara dalam pilihan raya Malaysia.

Persempadanan semula tidak menterjemahkan demografi pengundi sebenar, tetapi akan hanya menguntungkan BN dan memperlihatkan kerajaan Persekutuan sekarang tidak ikhlas untuk membela nasib rakyat dengan meneruskan legasi rejim yang terus menerus melakukan korupsi.

Terbukti bahawa parti pemerintah di Malaysia menggunakan kaedah persempadanan semula, pemindahan pengundi tanpa notis pemberitahuan, diburukkan lagi dengan media arus perdana yang berat sebelah dan mengamalkan taktik kotor untuk membeli undi yang hanya menguntungkan BN.

Ketika pemimpin UMNO gigih memanipulasi sistem pilihan raya negara demi keuntungan mereka, saya membuka ruang kepada pihak SPR untuk menyatakan tindakan pendirian mereka berhubung kenyataan Raja Nong Chik dan Datuk Seri Idris Haron mengenai persempadanan semula, seperti yang telah dibangkitkan oleh Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar dalam kenyataan media beliau.

Atas semangat menyuburkan sistem demokrasi yang matang, kita perlu membantah sekeras-kerasnya kaedah persempadanan semula yang dijalankan oleh SPR sehingga mereka melaksanakan cadangan-cadangan yang telah diajukan oleh Jawatankuasa Parlimen Reformasi Pilihan raya pada tahun 2012. Jawatankuasa parlimen ini telah menyarankan penubuhan tiga suruhanjaya bebas yang berbeza – bertanggungjawab menguruskan pilihan raya, pemutihan daftar pemilih dan menyemak semula kawasan pilihan raya.

Malaysia mendambakan pendekatan reformasi pilihan raya untuk memastikan pilihan raya umum akan datang tidak dirompak oleh puak-puak kleptokrat.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden dan Pengarah Pilhan Raya KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up